KelabMama

Hernia Pada Lelaki – Faktor Risiko Tersembunyi dan Teknik Merawat Secara Moden

simptom hernia pada lelaki

Hernia berlaku apabila sesuatu organ atau tisu yang lain terkeluar melalui kawasan otot atau tisu penghubung yang lemah. Walaupun sering diperkecilkan, sebenarnya ia lebih kerap berlaku daripada yang disangkakan.

Pada tahun 2019 sahaja, sebanyak 32.53 juta kes hernia inguinal, femoral, dan abdomen direkodkan di seluruh dunia, dengan 13.02 juta kes baharu, terutamanya dalam kalangan lelaki berusia antara 50 hingga 69 tahun1.

Dr. Soon Yuen,
Pakar Perunding Bedah Am dan Gastrousus Atas

Kira-kira 25 peratus lelaki daripada kumpulan umur ini pernah mengalami hernia inguinal sepanjang hidup mereka2.

Dr. Soon Yuen, Pakar Perunding Bedah Am dan Gastrousus Atas di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) menjelaskan dengan lanjut mengenai hernia, gejala, faktor risiko, pilihan rawatan, dan manfaat teknik pembedahan yang canggih.

Memahami Punca Utama: Anatomi dan Fisiologi

Peningkatan kerentanan lelaki terhadap hernia pada dasarnya berkait dengan struktur anatomi unik mereka. Semasa perkembangan embrio, testis pada lelaki bermula di dalam abdomen dan turun ke dalam skrotum melalui dinding abdomen3.

Proses penurunan ini mewujudkan pembukaan semula jadi, iaitu saluran inguinal yang kekal berpotensi sebagai bahagian lemah pada dinding abdomen yang menyebabkan lelaki terdedah kepada hernia inguinal.

Dalam kebanyakan kes, saluran ini tertutup dengan betul, sekali gus mengelakkan sebarang komplikasi daripada berlaku.

Hernia terbentuk apabila tekanan dalaman melebihi kekuatan dinding abdomen, lantas menjejaskan bahagian yang sememangnya lemah atau menjadi lemah akibat faktor tertentu. Terdapat beberapa faktor yang boleh meningkatkan risiko, seperti4:

Mengenali Gejala-gejala Hernia

Hernia boleh terjadi dalam pelbagai bentuk. Berdasarkan pemerhatian Dr. Soon, jenis yang paling kerap ialah hernia inguinal dan umbilikal, sementara jenis yang kurang lazim ialah hernia Spigelian dan Lumbar. “Walaupun sesetengah hernia tidak bergejala, namun sesetengah yang lain mungkin menyebabkan kebengkakan, ketidakselesaan, atau kesakitan yang ketara,” kongsinya.

“Pesakit sering mengadu benjolan yang kelihatan atau kesakitan. Menangguhkan rawatan boleh mendatangkan risiko, kerana kira-kira 5% pesakit mengalami hernia terperangkap atau strangulasi, di mana usus terperangkap dan tidak boleh diubah posisi. Ini boleh mengakibatkan komplikasi serius yang memerlukan intervensi pembedahan yang lebih kompleks. Jika tidak, benjolan mungkin bertambah besar, menjadikan pembedahan lebih mencabar,” kata Dr. Soon.

Simptom-simptom utama termasuk benjolan terutamanya di pangkal paha atau abdomen. Ia juga boleh menyebabkan ketidakselesaan atau kesakitan yang bertambah buruk apabila melakukan aktiviti

fizikal, batuk, atau mengangkat berat. Sakit yang serius, loya, atau muntah juga kemungkinan untuk hernia strangulasi5.

Kemajuan dalam Pembaikan Hernia: Era Pembedahan Port Tunggal

“Hernia tidak akan sembuh tanpa rawatan,” tegas Dr. Soon, sambil menekankan kepentingan rawatan yang tepat masa. Kini, rawatan pembedahan moden mengikuti keseriusan dan kerumitan hernia:

Pembedahan port tunggal merupakan teknik pembedahan invasif minimum yang terunggul dan hanya memerlukan satu pemotongan kecil untuk membaiki hernia. “Teknik ini boleh mengurangkan keparutan, sakit selepas pembedahan, dan mengurangkan masa pemulihan berbanding pembedahan tradisional dan laparoskopi,” kata Dr. Soon. “Kebanyakan pesakit boleh pulang pada hari yang sama, meneruskan aktiviti harian dalam tiga hingga tujuh hari, dan ramai tidak memerlukan ubat tahan sakit7.”

Kepakaran pembedahan termoden masih diperlukan untuk kes-kes kompleks seperti hernia yang besar atau berulang. Bagaimanapun, pembedahan satu lubang menandakan pencapaian besar dalam memastikan pemulihan yang lebih cepat dan lancar bagi kebanyakan pesakit.

Mencegah Hernia

Walaupun beberapa faktor risiko hernia seperti anatomi dan umur tidak dapat dielakkan, namun perubahan gaya hidup boleh mengurangkan risikonya8:

Dr. Soon menekankan kepentingan melakukan diagnosis dan rawatan awal untuk mencegah komplikasi. “Rawatan awal boleh meningkatkan hasil pemulihan dan kualiti hidup,” ujarnya.

Memperkasa Pesakit melalui Pengetahuan dan Kerjasama

Pengurusan hernia yang berkesan tidak hanya melalui intervensi pembedahan. Pengetahuan pesakit mengenai penyakit ini juga amat penting, selain kerjasama antara pesakit dan penyedia penjagaan kesihatan mereka.

Dr. Soon menekankan pentingnya memperkasa pesakit dengan pengetahuan yang mereka perlukan untuk membuat keputusan yang termaklum dan mengambil bahagian secara aktif sepanjang menjalani rawatan.

“Apabila pesakit memahami dan mengikuti pelan penjagaan mereka, ia akan meningkatkan hasil rawatan dan meminimumkan kadar untuk hernia berulang kembali,” tambah Dr Soon.

Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, hospital kuaternari swasta terbesar di Malaysia, berada di barisan hadapan inovasi perubatan dan penjagaan pesakit. Ia merupakan hospital pertama di negara ini yang memperoleh tiga akreditasi utama hospital, termasuk Joint Commission International (JCI) Accreditation yang berprestij, Australian Council on Healthcare Standards (ACHS) dan Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH), sekali gus mengukuhkan komitmen untuk memberikan penjagaan kesihatan terbaik kepada pesakitnya.

Rujukan

  1. https://europepmc.org/article/MED/37093073 
  2. https://www.dailymail.co.uk/health/article-2235439/amp/Hernia-surgery-Just-day-hernia-operation-I-gym.html
  3. https://www.hopkinsmedicine.org/health/conditions-and-diseases/hernias/inguinal-hernia
  4. https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/15757-hernia
  5. https://www.hopkinsmedicine.org/health/conditions-and-diseases/how-to-tell-if-you-have-a-hernia
  6. https://www.nhs.uk/conditions/hernia/
  7. https://www.lessscar.co.uk/evidence.htm
  8. https://ketteringhealth.org/5-tips-for-preventing-a-hernia/

Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.


Dapatkan lebih banyak info kesihatan untuk Mama Papa? Klik di SINI.