KelabMama

Hati Berlemak, Kanser Hati: Bahaya yang Mungkin Tidak Disedari

hati berlemak dan kanser hati

Anda mungkin berasa sihat sepenuhnya, mempunyai berat badan normal dan tidak menunjukkan sebarang gejala ketara, namun masih menghidap penyakit hati berlemak. Keadaan ini sering dikesan ketika pemeriksaan kesihatan rutin dan boleh berkembang secara senyap sehingga menyebabkan parut pada hati, sirosis, kanser hati atau kegagalan hati.

Istilah perubatan bagi penyakit hati berlemak ialah metabolic dysfunction-associated steatotic liver disease (MASLD), iaitu penyakit hati berlemak berkaitan disfungsi metabolik. Penyakit ini bukan hanya berlaku kepada individu yang mempunyai berat badan berlebihan atau mengambil alkohol. Ia juga dikaitkan dengan diabetes, tekanan darah tinggi dan paras kolesterol tinggi. Oleh itu, pengesanan awal amat penting, khususnya bagi mereka yang mempunyai faktor risiko berkenaan.

Di Malaysia, satu kajian berdasarkan data Kementerian Kesihatan 2023 menganggarkan bahawa 28.2% orang dewasa, atau kira-kira 6.7 juta orang terjejas akibat MASLD.

Pakar Perunding Gastroenterologi, Dr Ganesalingam Kanagasabai, dan Pakar Perunding Bedah Am dan Hepatobiliari, Dr R. Krishnan Raman, kedua-duanya dari Subang Jaya Medical Centre (SJMC), menjelaskan bagaimana penyakit hati berlemak boleh berkembang menjadi masalah hati serius termasuk kanser hati, kepentingan pengesanan awal serta keadaan yang memerlukan pemindahan hati bagi pesakit yang layak.

Mengapa Hati Berlemak Tidak Boleh Dipandang Ringan

“Penyakit hati berlemak jarang menunjukkan gejala pada peringkat awal,” jelas Dr Ganesalingam.

Dr Ganesalingam Kanagasabai,
Pakar Perunding Gastroenterologi

Keadaan itu lazimnya hanya dikesan apabila ujian darah rutin menunjukkan paras enzim hati tidak normal atau pemeriksaan pengimejan mengenal pasti pengumpulan lemak berlebihan dalam hati.

Individu yang mempunyai berat badan sihat juga boleh menghidap penyakit hati berlemak, khususnya jika mempunyai lebihan lemak di sekitar organ dalaman yang boleh dikenal pasti melalui peningkatan lemak di bahagian abdomen.

Walaupun tidak semua penghidap hati berlemak mengalami komplikasi serius, lebihan lemak boleh mencetuskan keradangan yang dikenali sebagai metabolic dysfunction-associated steatohepatitis (MASH). Jika tidak dikawal, keradangan berterusan boleh menyebabkan pembentukan parut pada hati (fibrosis), yang seterusnya boleh berkembang menjadi sirosis serta meningkatkan risiko kegagalan hati dan kanser hati.

“Sebahagian besar individu yang menghidap penyakit hati berlemak turut mengalami penyakit kardiovaskular dan kanser yang bukan berkaitan dengan hati,” tambah Dr Ganesalingam.

Mengesan Kerosakan Hati Pada Peringkat Awal

Memandangkan penyakit hati berlemak boleh berkembang tanpa menunjukkan gejala, individu yang mempunyai faktor risiko metabolik disarankan berbincang dengan doktor mengenai pemeriksaan hati yang bersesuaian.

Doktor boleh menilai tahap kesihatan hati melalui ujian darah dan pemeriksaan pengimejan. Skor FIB-4 menggunakan umur pesakit, kiraan platelet dan keputusan enzim hati untuk menganggarkan risiko pembentukan parut pada hati. 

Sekiranya pemeriksaan lanjut diperlukan, kaedah Vibration-Controlled Transient Elastography (VCTE) digunakan untuk mengukur tahap kekerasan hati bagi membantu menilai tahap fibrosis. Selain itu, pemeriksaan ultrabunyi abdomen juga boleh mengesan keadaan hati berlemak, walaupun kaedah ini mungkin tidak dapat mengesan kes yang masih ringan.

Bolehkah Hati Berlemak Dipulihkan?

Keadaan hati berlemak lazimnya boleh bertambah baik, khususnya sebelum pembentukan parut yang meluas berlaku. Menurut Dr Ganesalingam, penurunan berat badan antara 5% hingga 7% boleh membantu mengurangkan lemak dan keradangan pada hati, manakala penurunan melebihi 10% berpotensi memperbaiki keradangan serta pembentukan parut hati bagi sesetengah pesakit.

Amalan senaman secara berkala, pemakanan seimbang serta pengurusan penyakit seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi juga penting. Dr Ganesalingam turut mengingatkan orang ramai supaya tidak bergantung kepada suplemen detoks hati yang tidak disahkan keberkesanannya kerana produk berkenaan mungkin tidak berkesan atau boleh menyebabkan kecederaan hati.

Bagaimanapun, pesakit yang mengalami pembentukan parut hati yang ketara masih memerlukan pemantauan perubatan walaupun tahap kesihatan hati mereka bertambah baik.

Apabila Penyakit Hati Menjadi Serius

Apabila pembentukan parut semakin teruk, sirosis boleh menjejaskan keupayaan hati untuk berfungsi. Pesakit mungkin mengalami pembengkakan abdomen akibat pengumpulan cecair, pendarahan dalaman, jaundis atau kekeliruan akibat gangguan fungsi hati. Penyakit pada peringkat lanjut juga boleh menyebabkan pesakit berulang kali dimasukkan ke hospital, sekali gus memberikan tekanan besar kepada pesakit dan keluarga.

Sirosis turut menjadi faktor risiko utama kanser hati. Bagi pesakit yang menghidap sirosis, hati berlemak dan mempunyai faktor risiko metabolik, doktor mungkin mengesyorkan pemeriksaan pemantauan secara berkala, lazimnya membabitkan ultrabunyi dan ujian darah alfa-fetoprotein (AFP) setiap enam bulan.  Pengesanan kanser hati pada peringkat awal meningkatkan hasil rawatan pesakit dan berpotensi memperbesar peluang untuk sembuh.

Bila Pemindahan Hati Diperlukan

Bagi pesakit yang mengalami penyakit hati peringkat akhir atau kanser hati, pemindahan hati boleh dipertimbangkan. Menurut Dr Krishnan, prosedur itu mungkin diperlukan apabila kerosakan hati yang teruk menyebabkan komplikasi seperti pengumpulan cecair berulang dalam abdomen (asites), pendarahan serius, gangguan fungsi otak (ensefalopati hepatik) atau jaundis yang semakin teruk.

Dr R. Krishnan Raman,
Pakar Perunding Bedah Am dan Hepatobiliari

“Pemindahan hati ialah prosedur kompleks yang memerlukan kemudahan khusus, lazimnya terdapat di hospital kuaternari, serta penyelarasan rapi antara pasukan pakar pelbagai disiplin.

“Pasukan berkenaan merangkumi pakar bedah, pakar gastroenterologi, pakar bius, pakar radiologi, pakar patologi, pasukan rawatan rapi dan profesional penjagaan kesihatan lain yang bekerjasama sepanjang perjalanan rawatan pesakit, bermula daripada penilaian sehingga proses pemulihan,” kata Dr Krishnan.

Penentuan kelayakan pesakit memerlukan penilaian teliti terhadap keadaan kesihatan, tahap kesihatan keseluruhan dan bagi kes kanser, faktor seperti saiz serta bilangan ketumbuhan. Bagi penderma pula, doktor perlu memastikan proses pendermaan selamat untuk mereka dan jumlah tisu hati sihat yang mencukupi dapat diberikan kepada penerima.

“Jika terdapat sebarang bukti penyakit, khususnya hati berlemak, jumlah tisu hati yang dikekalkan dalam badan penderma menjadi lebih penting,” tambah Dr Krishnan.

Melindungi Hati Bermula Lebih Awal

Penyakit hati berlemak tidak semestinya membawa kepada sirosis atau kanser. Mengenal pasti keadaan itu lebih awal dan mengawal faktor risiko yang mendasarinya boleh membantu mencegah komplikasi yang serius.

Dr Ganesalingam menggalakkan orang ramai mengamalkan pemakanan seimbang, melakukan senaman secara berkala, mengelakkan merokok serta mengehadkan atau mengelakkan pengambilan alkohol, khususnya bagi mereka yang sudah mempunyai penyakit hati. Individu yang menghidap diabetes, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi atau mempunyai berat badan berlebihan disarankan mendapatkan nasihat doktor mengenai tahap kesihatan hati mereka.

Mesejnya jelas: Jangan tunggu sehingga gejala muncul. Pengesanan awal dan rawatan perubatan tepat pada masanya mampu membawa perubahan besar sebelum kerosakan hati menjadi lebih serius.

Untuk maklumat lanjut mengenai pemindahan hati atau perkhidmatan perubatan berkaitan, sila layari: https://subangjayamedicalcentre.com/


Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak Kelab Mama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.


Dapatkan info terkini daripada pakar kesihatan di Malaysia melalui ruang INI.