KelabMama

Elak Lakukan 5 Perkara Ini Dalam Hari-hari Terakhir Bulan Ramadan

Kredit gambar: Aisyaqilumaranas / Shutterstock.com

Bayangkanlah dalam 12 bulan kalendar hijrah, hanya ada satu sahaja bulan yang Allah berikan ganjaran berganda. 

Rugilah kalau kita sia-siakan peluang yang Allah kurniakan. Inilah masa untuk kita gandakan amal kebaikan demi menjemput keberkatan bulan Ramadan, terutamanya dalam hari-hari terakhir bulan yang penuh barokah ini.

Mama Siti harap kita tidak berputus asa untuk meneruskan puasa dan juga melakukan amal ibadat sehingga ke hari terakhir bulan Ramadan dan kemudian diteruskan pada hari-hari mendatang. Cumanya bulan ni kan lebih berganda keberkatannya, jadi sebab itu kita sentiasa dinasihatkan untuk menambahkan amal ibadat dan amalan-amalan mulia.

Jom kita lihat bagaimana kita boleh memanfaatkan baki beberapa hari lagi di bulan Ramadan ini.

5 Perkara Yang Merugikan Orang Islam Jika Diamalkan Semasa Bulan Ramadan

1. Banyak Tidur

Kalau hari-hari biasa bila lapar, boleh terus makan. Kisahnya lain kalau dalam bulan puasa ini. Kalau lapar tidak dibolehkan makan. Akhirnya ada yang mengambil jalan dengan tidak melakukan aktiviti apa sahaj dan sebaliknya hanya tidur sepanjang hari. 

Dari segi hukum macam mana ya? Sah atau tidak puasa mereka?

Menurut laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, ibadah puasa bagi golongan ini adalah sah. Hadis riwayat Imam al-Nawawi;

وَلَوْ نَامَ جَمِيعَ النَّهَارِ، صَحَّ صَوْمُهُ عَلَى الصَّحِيحِ الْمَعْرُوفِ

“Dan jika tidur seseorang itu sepanjang siang hari, maka sah puasanya menurut pendapat yang sahih lagi diketahui.”

Namun begitu, perbuatan banyak tidur ketika berpuasa tidak bersesuaian dengan tujuan asal syariat ini dijalankan. Umat Islam menahan lapar dan dahaga untuk merasai kesusahan orang miskin yang tidak mampu menikmati makanan setiap hari. 

Dari Abu Hurairah dia berkata, Rasulullah SAW bersabda,

Lihatlah kepada orang-orang yang lebih rendah daripada kalian, dan janganlah kalian melihat kepada orang-orang yang berada di atas kalian, karena yang demikian itu lebih patut bagi kalian, supaya kalian tidak meremehkan nikmat Allah yang telah dianugerahkan kepada kalian.”

Allah mensyariatkan manusia berpuasa sebagai cara untuk bersyukur dengan pemberianNya.

2. Tidak Membaca Al-Quran

Kebiasaannya, setiap orang yang membaca satu huruf dari mushaf Al-Quran akan diberikan 10 pahala. Kadang-kadang dalam satu ayat pun boleh menjangkau sehingga 100 huruf. 

Maha baiknya Allah mengurniakan kebaikan kepada hambaNya walau dengan sekecil amalan. 

Daripada Ibnu Mas’ud r.a. ia berkata;

“Barangsiapa yang membaca satu huruf daripada Al-Quran maka baginya satu kebaikan, satu kebaikan menyamai dengan sepuluh pahala, aku tidak bermaksud: Alif, Lam, Mim ialah satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.”  (Sunan Tirmizi)

Memandangkan Ramadan adalah bulan penuh keberkatan, maka Allah juga menggandakan pahala bagi mereka yang melakukan amalan kebajikan. 

Setiap yang melakukan amalan sunat diberikan pahala amalan wajib manakala untuk mereka yang mendirikan amalan wajib dikurniakan pahala dengan 70 kali ganda.  

Daripada Salman r.a. Dia berkata: telah berkhutbah Rasulullah S.A.W. pada hari terakhir bulan Sya’ban dan sabdanya: “Sesiapa yang mendekatkan dirinya kepada Allah pada bulan itu dengan melakukan amalan kebajikan (amalan sunat) maka ia mendapat pahala seperti melaksanakan perintah yang wajib dan sesiapa yang melakukan suatu amalan yang wajib pada bulan Ramadhan maka ia mendapat pahala seperti orang yang melakukan tujuh puluh (70) amalan fardhu.”

Mari kita imbas kembali ke 1400 tahun dahulu di waktu kitab suci ini diturunkan. Al-Quran diturunkan dalam bulan Ramadan, pada malam Lailatul Qadar dan kepada penghulu segala nabi dan rasul. Ia diturunkan dalam bulan keberkatan, pada malam yang lebih baik dari 1000 bulan dan kepada Nabi Muhammad SAW sebagai panduan bagi umatnya sebagai umat terbaik. 

Alangkah beruntungnya kita jika dapat melazimkan bacaan Al-Quran serta mendalami maknanya. Mudah-mudahan kita dapat menjadi hamba yang soleh.

3. Tidak Memperbaiki Amalan

Langkah yang sepatutnya kita lakukan setelah solat, puasa dan amalan wajib lain telah lengkap dilakukan ialah perbaiki kualiti setiap satunya.

Dalam bulan Ramadan, kita ada peluang untuk memperbaiki diri dengan mudah kerana boleh kata semua orang sedang dalam mood kerohanian. 

Amalan tadarus, menyediakan hidangan berbuka serta menghadiri majlis ilmu adalah medium untuk berjumpa dengan kelompok yang berpotensi mendorong perjalanan hijrah kita. 

Contohnya bila bersama-sama, kita dapat belajar cara berwuduk dengan betul, menyebut lahjah huruf hijaiyah dan memahami tajwid. 

Lebih-lebih lagi, proses ini menjadi lebih lancar jika dikelilingi dengan orang baru. Hal ini disebabkan oleh kekurangan sikap ‘judgemental’ ataupun penilaian terhadap seseorang.

Beginilah cara memperelok amal kebajikan:

  1. Dimulakan dengan niat dan keazaman
  2. Mempunyai matlamat dan perancangan
  3. Sentiasa berusaha keras
  4. Menyesali kesalahan lampau
  5. Memohon bantuan Allah

Mama Siti ingin berpesan bahawa sesungguhnya proses ini mengambil masa dan kesabaran. Beberapa individu pasti akan diuji dengan bermacam-macam perkara sebelum mencapai matlamat. Bahkan ada antaranya berada diluar logik akal manusia.

4. Berbuka Tanpa Berdoa

 Daripada Abdullah bin ‘Amr RA berkata bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ لِلصَّائِمِ عِنْدَ فِطْرِهِ لَدَعْوَةً مَا تُرَدُّ

Maksudnya: “Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu ketika dia berbuka, doa yang tidak akan ditolak.” (Riwayat Ibnu Majah)

Selain dikenali sebagai bulan keberkatan, Ramadan juga adalah bulan keampunan. Hadis diatas jelas menzahirkan bahawa doa-doa orang berpuasa ketika mereka berbuka dikabulkan Allah; tak kisahlah doa buka puasa, doa dimurahkan rezeki dan sebagainya.

Oleh itu, bulan ini dianggap sebagai kelebihan buat manusia sebagai hamba yang selalu terdedah dengan kesalahan – tak kisah sama ada ia adalah dosa yang kita sedari atau tidak. 

Di samping itu, daripada Abu Hurairah RA berkata bahawa Nabi SAW bersabda:

ثَلَاثَةٌ لَا تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ: الْإِمَامُ الْعَادِلُ، وَالصَّائِمُ حَتَّى يُفْطِرَ، وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ

“Tiga golongan doa mereka tidak akan ditolak: Imam yang adil, orang yang berpuasa sehingga dia berbuka dan doa orang yang dizalimi.”  (Riwayat Ibnu Majah)

Orang yang berpuasa adalah salah satu dari tiga golongan yang doanya tidak akan ditolak. Pada anda yang mempunyai hajat seperti ingin mendapatkan zuriat, dipermudahkan urusan perniagaan mahupun ingin meminta jodoh, sangat digalakkan untuk berdoa di waktu ini. 

Tiada sekatan untuk memohon sebarang permintaan kepada Allah. Demikianlah Allah mengiktiraf permohonan umat Muhammad SAW ketika mereka menahan nafsu di bulan mulia ini. 

5. Tidak Bersedekah

Kredit gambar: Giving.sg

Sedekah dari segi makna ialah memberikan sebahagian harta kepada orang yang memerlukan dengan tujuan ingin mendekatkan diri kepada Allah.

Umum diketahui bahawa amal ibadat yang satu ini seakan-akan sakti buat diri seseorang. Jangan salah sangka ya, maksud Mama Siti disini ialah sedekah selalunya membuatkan si pemberi mendapatkan kebaikan yang tidak disangka-sangka. 

Kebaikan itu pula tidak terhad kepada duit semata-mata. Boleh jadi kita terselamat dari kemalangan atau dipermudahkan urusan pekerjaan sebagai ganjaran kepada sikap suka menderma.

Ternyata sangatlah rugi kalau kita tidak berkongsi rezeki lebih-lebih lagi di bulan mulia ini. Diambil dari portal Jabatan Mufti Negeri Kedah bahawasanya orang yang bersedekah di bulan Ramadan mendapatkan kelebihan kerana;

  1. Orang yang berpuasa, bersedekah dan solat malam mendapat jaminan syurga
  2. Memperoleh pahala puasa orang lain

 Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

“Orang yang memberikan hidangan berbuka puasa kepada orang lain yang berpuasa, ia akan mendapatkan pahala orang tersebut tanpa sedikitpun mengurangi pahalanya.” (HR. At Tirmidzi)

  1. Bersedekah di bulan Ramadhan lebih dimudahkan

Oleh kerana syaitan telah ‘diikat’, maka makhluk tuhan itu tidak lagi boleh menghalang manusia menuju jalan yang lurus. 

فَبِمَا أَغْوَيْتَنِي لَأَقْعُدَنَّ لَهُمْ صِرَاطَكَ الْمُسْتَقِيمَ

“Karena Engkau telah menghukum saya tersesat, saya benar-benar akan (menghalang-halangi) mereka dari jalan Engkau yang lurus.” (Qs. Al A’raf: 16)

Ramadan hanya sekali dalam setahun. Moga-moga Allah mengizinkan kita melakukan lebih banyak amalan baik terutamanya sepanjang hari-hari akhir bulan ini. Mama Siti berharap agar usaha kita diberkati tuhan dan kita juga istiqomah dalam mengamalkannya.