KelabMama

Ketahui Fakta Bunting Pelamin yang Sebenar dan Elakkan Mitos!

Foto Kredit: Shutterstock

Apa? Bunting pelamin tu hamil waktu bersanding?

Ha…inilah yang selalu menjadi kepercayaan individu yang tidak tahu maksud sebenar bunting pelamin tu. Asal dengar pelamin je terus ‘cop’ mengandung sebelum waktu bersanding. 

Hati-hati, jangan sampai jatuh fitnah ya.

Sebenarnya Mama Siti pun pernah percaya macam tu juga..hihi…tetapi tidak lagi. Kita haruslah sentiasa mengambil tahu ilmu dan fakta yang betul. 

Jadi, Mama Siti nak berkongsi dengan mama-mama semua tentang fakta bunting pelamin yang sebenar!

Apa Itu Bunting Pelamin?

Foto Kredit: Shutterstock

Kebiasaannya bunting pelamin ini dianggap “misnormer” seolah-olah menggambarkan pengantin perempuan telah hamil ketika berkahwin dan itu bukan perkara yang sebenarnya berlaku.

Janganlah kita menghina dan memfitnah ibu bunting pelamin hanya atas alasan umur janin lebih awal dari tarikh perkahwinan mereka. 

Sebagai masyarakat yang berwibawa dan berilmu, adalah penting bagi kita untuk  faham terlebih dahulu konsep usia janin dalam kandungan sebelum menyebarkan sebarang fitnah secara sesuka hati tanpa usul periksa dan bukti.

Perkiraan Usia Kehamilan

Foto Kredit: Shutterstock

Perkiraan usia kehamilan diambil daripada tarikh hari pertama haid yang baru berakhir ataupun last menstrual period (LMP).

Sebagai contoh:

Tarikh hari pertama haid (LMP) isteri :14 Januari 2021
Tarikh bernikah : 28 Januari 2021
Tarikh berjumpa doktor : 28 Februari 2021
Kiraan usia kehamilan : 14 Januari 2021 – 28 Februari 2021 = 6 minggu

Jika diambil perkiraan ini, maka usia kehamilan lebih lama daripada usia pernikahan.

Foto Kredit: MedShop

Kebiasaannya, di Klinik Keluarga dan Pakar Wanita, mereka akan menggunakan alat pengiraan seperti di atas untuk membuat pengiraan tarikh LMP, usia kehamilan, dan tarikh bersalin.

Tarikh obstetrik setiap wanita adalah berbeza dengan tarikh embrio (usia embrio). Tarikh obstetrik selalunya sekitar 2 minggu lebih lama daripada tarikh sebenar embrio. 

Oleh itu, ia adalah penting bagi kita untuk mengetahui cara pengiraan usia kehamilan ini bagi mengelakkan sebarang salah faham atau pertuduhan yang tidak diingini daripada berlaku.

Pesan Mama Siti adalah kita perlu ingat bahawa usia janin dalam kandungan BUKAN dikira dari masa terakhir ‘bersama’ tetapi dikira dari hari PERTAMA datangnya period yang terakhir.

Ini juga akan menjadi soalan pertama yang ditanya oleh pakar sakit puan, iaitu,

Bila hari pertama period terakhir?

Dan bukan,

Bila waktu terakhir anda ‘bersama’ suami?

Hal ini juga kerana selepas habis tempoh haid, ovari akan menghasilkan telur pada waktu yang kita paling subur, iaitu lebih kurang pada hari ke-14 hingga 16.

Foto Kredit: topsante.com

Sebab itu, kalau anda berdasarkan contoh tarikh di atas, jika pasangan suami isteri melakukan hubungan kelamin pada hari perkahwinannya dan pensenyawaan berlaku, ia akan berlaku pada waktu si isteri sangat subur, maka isteri pun berjaya hamil!

Jadi, jangan lupa untuk baca fakta dahulu ya. Dan ini menunjukkan betapa pentingnya untuk menerapkan diri dengan pelbagai ilmu. Jangan biarkan diri dan minda kita diselubungi fakta dan mitos yang tidak betul tau!