KelabMama

Perlukah Anda Menjalani Pembedahan? Fahami Bagaimana Osteoartritis Lutut Boleh Dikawal dan Dirawat

lelaki dengan masalah osteoartritis lutut

Osteoartritis (OA) adalah sejenis penyakit sendi degeneratif (penyakit yang menjejaskan fungsi atau struktur tisu atau organ badan hingga semakin merosot mengikut masa) yang menjejaskan kehidupan jutaan orang di seluruh dunia dan terutamanya memberi kesan ketara kepada mobiliti dan kualiti hidup seseorang.

Dikenali sebagai artritis yang paling lazim berlaku, ia dicirikan oleh kerosakan dan akhirnya kehilangan rawan pada sendi, yang boleh menyebabkan kesakitan, kekakuan, kekurangan mobiliti, atau kecacatan. 

Penyakit artritis ini biasanya dilihat berlaku kepada individu yang lebih berusia dan biasanya menjejaskan sendi di bahagian lutut, pinggul, dan tangan. Jenis OA yang paling biasa berlaku ialah osteoarthritis lutut, yang menjejaskan lebih 10-20% populasi dewasa Malaysia.1 

Memahami Osteoartritis Lutut 

Menurut analisis yang dijalankan oleh Beijing Osteoarthritis Study, didapati bahawa orang Asia lebih terdedah untuk mendapat OA lutut berbanding OA pinggul yang lebih biasa berlaku kepada populasi Barat2.

Ini boleh disebabkan oleh pelbagai faktor seperti perbezaan struktur badan, pilihan gaya hidup dan pengaruh persekitaran.

Sebagai contoh, amalan budaya seperti mencangkung dalam komuniti Asia boleh memberikan lebih banyak tekanan pada sendi lutut yang menyumbang kepada berlakunya OA lutut.

Selain itu, tabiat pemakanan, obesiti dan aktiviti berkaitan kerja yang melibatkan pergerakan berulang juga boleh menyebabkan OA lutut kerap berlaku di kalangan orang Asia. 

Walaupun penuaan kekal sebagai faktor risiko utama OA lutut, individu yang lebih muda juga mungkin berisiko jika mereka pernah mengalami kecederaan sendi sebelum ini, seperti patah tulang atau ketegangan, kerana ini boleh mempercepatkan degenerasi rawan.

Menyertai sukan berimpak tinggi seperti larian, bola keranjang dan tenis juga boleh meningkatkan risiko OA lutut dalam kalangan golongan muda kerana aktiviti ini boleh menyebabkan sendi mengalami beban mekanikal yang berlebihan dan ketegangan berulang, menyebabkan kerosakan pada rawan dan sendi seiring masa.

Selain itu, individu yang mempunyai masalah sendi yang sedia ada seperti rheumatoid arthritis, gout atau penyakit metabolik seperti diabetes berisiko tinggi untuk mendapat OA lutut. 

Menurut Dr Yuen Jin Chuan, Pakar Perunding Ortopedik, Trauma, Artroplasti dan Robotik di Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), jantina dan genetik juga boleh menjadi faktor penyumbang kepada OA lutut.

“Sejarah keluarga dengan keabnormalan sendi kecil atau hipermobiliti (mempunyai sendi berganda) boleh meningkatkan risiko seseorang untuk mendapat osteoartritis lutut”, jelas Dr Yuen.

Beliau seterusnya menyatakan bahawa wanita mempunyai risiko yang lebih tinggi berbanding lelaki, yang disebabkan oleh faktor hormon dan perbezaan biomekanik sendi.

Antara simptom OA lutut yang perlu diwaspadai termasuk kekakuan (stiffness) pada lutut, rasa sakit semasa berdiri atau berjalan jarak pendek serta bengkak pada sendi lutut. 

Langkah Pencegahan dan Rawatan Untuk Osteoartritis Lutut 

Terdapat beberapa langkah pencegahan yang boleh diambil untuk mengurangkan risiko OA lutut. Ini termasuk mengekalkan berat badan yang sihat untuk mengurangkan ketegangan sendi dan menambah makanan mesra sendi seperti ikan, kekacang dan sayur hijau dan buah beri ke dalam diet anda.

Tambah Dr Yuen lagi, “Selain daripada pengurusan berat badan dan diet seimbang, pengambilan suplemen seperti asid lemak omega 3 dan glucosamine juga boleh membantu mengurangkan risiko mendapat osteoartritis lutut”. 

Dr Yuen juga menekankan kepentingan menjadikan senaman sebagai sebahagian daripada rutin harian anda untuk mencegah OA lutut.

“Terdapat salah tanggapan umum bahawa pergerakan boleh menyebabkan osteoarthritis menjadi semakin teruk dan kurang bergerak adalah lebih baik. Walau bagaimanapun, melibatkan diri dalam aktiviti berimpak rendah seperti berenang, berbasikal dan yoga sebenarnya boleh membantu mengekalkan fleksibiliti dan kestabilan sendi sambil menguatkan otot tanpa meletakkan terlalu banyak tekanan,” nasihat beliau.

Selain itu, perubahan kecil dalam gaya hidup dan aktiviti seharian seperti mengamalkan postur yang baik, berhati-hati semasa mengangkat objek berat, dan memastikan rehat yang mencukupi juga boleh dibuat untuk mengelakkan OA lutut. 

Untuk rawatan, terdapat pelbagai pilihan untuk merawat osteoartritis lutut.

Pilihan rawatan setempat termasuk ubat-ubatan seperti suntikan kondroitin, steroid dan asid hyaluronik serta prosedur invasif minimum yang dikenali sebagai ablasi radio frekuensi yang menyasarkan saraf di sekeliling sendi.

Walau bagaimanapun, adalah penting untuk menyedari bahawa walaupun rawatan ini boleh memberikan kelegaan simptom, OA lutut adalah penyakit yang progresif.

Untuk merawatnya dengan berkesan dalam jangka panjang, pembedahan Penggantian Sendi Lutut (TKR) adalah alternatif yang tersedia apabila rawatan setempat tidak lagi berkesan.

Pembedahan TKR boleh memberikan pesakit yang mengalami OA lutut yang teruk dengan kelegaan jangka panjang serta fungsi sendi yang lebih baik. 

Pembedahan Penggantian Sendi Lutut Robotik  

Salah pilihan sedemikian ialah melalui pembedahan penggantian sendi lutut robotik yang dilaksanakan menggunakan mesin robotik MAKO.

Berbanding dengan pembedahan tradisional, teknologi MAKO membolehkan perancangan pembedahan yang lebih tepat dan disesuaikan mengikut keadaan pesakit melalui sistem pengimejan 3D yang akan mencipta pelan pembedahan khusus bagi setiap pesakit. 

Lengan robotik akan membantu pakar bedah dalam membuat reseksi tulang, membolehkan penyelarian (alignment) yang lebih baik yang membawa kepada fungsi sendi yang lebih baik dan tahan lama untuk pesakit.

Berbanding dengan pembedahan robotik MAKO, pembedahan TKR konvensional selalunya akan mengubah penyelarian kinematik lutut normal, yang berpotensi mengakibatkan fungsi sendi terjejas.

Walau bagaimanapun, pembedahan robotik mempunyai keupayaan untuk menghasilkan semula kinematik semula jadi lutut dengan tepat seterusna memulihkan penyelarian dan meningkatkan prestasi sendi secara menyeluruh.  

Teknologi MAKO memastikan pembedahan menjadi kurang invasif dan tahap kesakitan berkurangan serta masa pemulihan yang lebih singkat untuk pesakit.

Terdapat juga risiko kegagalan implan yang lebih rendah kerana lengan robot akan memastikan penempatan komponen yang lebih tepat, sekaligus mengurangkan risiko komplikasi dan keperluan untuk pembedahan pada masa hadapan.

Pesakit yang telah menjalani pembedahan penggantian sendi lutut MAKO juga telah menyatakan tahap kepuasan yang lebih tinggi serta fungsi sendi yang lebih baik selepas pembedahan. 

Disebabkan teknologi MAKO ini masih baharu, terdapat banyak salah tanggapan yang mengelilingi teknologi tersebut.

Dr Yuen berkongsi bahawa salah tanggapan yang paling lazim didengari mengenai pembedahan robotik MAKO ialah pembedahan dilakukan sepenuhnya oleh robot dan menjadikan ianya lebih berisiko kerana tidak mempunyai kepakaran pakar bedah. 

“Realitinya, doktor pakar bedah yang menjalankan pembedahan kerana teknologi MAKO ini hanya berfungsi sebagai mesin yang dikawal oleh pakar bedah serta menggabungkan teknologi dengan kemahiran pembedahan. Oleh itu, doktor bedah masih mengawal dan menjalankan pembedahan. Memandangkan Teknologi MAKO boleh memetakan variasi anatomi pesakit dan mencipta plan yang diperibadikan, terdapat lebih kurang komplikasi yang dikaitkan dengan pembedahan robotik ini dan oleh itu, kadar risiko juga menjadi rendah. Mengendalikan mesin robotik MAKO juga memerlukan kepakaran kerana latihan formal dan kemahiran kedua-duanya diperlukan untuk mengendalikan mesin ini dengan berkesan. Pakar bedah memerlukan sijil untuk membolehkan mereka menjalankan pembedahan penggantian sendi lutut robotik menggunakan robot MAKO, dan ini dapat memastikan bahawa hanya pakar bedah terlatih boleh menjalankan pembedahan robotik ini,” tambahnya. 

Dengan kelaziman penyakit osteoartritis lutut dalam kalangan golongan dewasa di Malaysia, penyelesaian inovatif seperti pembedahan penggantian sendi lutut robotik menggunakan mesin robotik MAKO menandakan permulaan era baharu dalam bidang penjagaan ortopedik.

Dengan menawarkan pesakit dengan penyelesaian pembedahan yang diperibadikan, prosedur invasif minimum, hasil pembedahan yang lebih baik dan kadar pemulihan yang lebih cepat, SMCV ingin memperkasakan individu untuk mendapatkan semula mobiliti dan kualiti kehidupan mereka seperti sediakala.

Dengan teknologi MAKO, masa depan rawatan osteoarthritis lutut menjanjikan pesakit prosedur pembedahan dan penjagaan pesakit yang lebih dipertingkatkan. 

Untuk maklumat lanjut, layari laman rasmi Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) dan Facebook SMCV hari ini.


Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.