KelabMama

Elakkan 6 Minuman Ini Ketika Berbuka Puasa & Sahur

Sebagai umat muslim yang berpuasa, kita harus bersedia dari segi mental dan fizikal untuk mengambil makanan yang lebih sihat dan bertenaga ketika sahur dan apabila berbuka. Tambahan pula dengan tempoh berpuasa seharian yang tidak sama di sesetengah negara.

Ada yang harus berpuasa sehingga 21 jam lamanya! Hal ini kerana kedudukan geografi dan jarak kedudukan dari garis waktu yang berbeza. Jadi untuk mengekalkan tenaga berpanjangan sewaktu berpuasa serta mengelakkan badan dipenuhi ‘angin’, anda harus elakkan enam minuman ini ketika waktu sahur mahupun berbuka.

MINUMAN YANG TIDAK DIGALAKKAN

#1 Minuman Berkafein

Minuman berkafein atau kopi sering menjadi pilihan utama di hari-hari biasa bukan? Namun, ketika bulan Ramadan, adalah tidak digalakkan untuk anda minum kopi ketika bersahur mahupun berbuka. Kopi sebenarnya boleh menambahkan lagi rasa haus dan dahaga. Oleh itu, tidak disarankan untuk anda mengambil kopi ketika waktu sahur.

#2 Teh

Teh juga mengandungi kafein, tetapi tidak terlalu banyak seperti kopi. Jika anda mengambilnya dalam kuantiti yang banyak, ia boleh memberi kesan diuretik pada badan kita. Kesan diuretik bermaksud, kita akan kerap membuang air kecil terutamanya jika kita sering minum air Teh. Diuretik juga akan melarutkan lebihan garam dan air dari tubuh badan kita, di mana boleh menyebabkan kita cepat haus dan menyahhidratkan badan kita.

#3 Minuman Manis

Walaupun seharian kita berpuasa dan ‘in need of sugar’ ketika berbuka, elakkan daripada mengambil minuman manis sebagai minuman berbuka. Sebaliknya, berbuka dengan buah kurma dan segelas air suam. Ini adalah lebih baik untuk badan anda serta mengembalikan hidrasi dalam badan.

#4 Susu Berlemak Tinggi

Susu sememangnya baik untuk kesihatan. Namun, elakkan daripada berbuka dengan susu, terutamanya yang berlemak tinggi. Minum susu ketika berbuka akan membuatkan perut kita lagi berangin dan mudah rasa mual atau loya. Lebih baik anda minum atau makan makanan yang lain terlebih dahulu sebelum anda minum sebarang jenis susu.

#5 Soda atau Minuman Bergas

Walaupun minuman bergas atau isotonik sangat menyegarkan serta cepat mengembalikan tenaga kita, ia sebenarnya hanya akan menambahkan angin dalam badan. Sama seperti susu, adalah lebih baik untuk anda minum air bergas selepas makanan atau minuman yang lain.

#6 Jus Oren atau Air Asam

Jus oren merupakan antara minuman yang berkhasiat untuk tubuh badan kita. Namun, elakkan daripada minum minuman ini untuk berbuka kerana ia boleh menyebabkan kita sakit perut.

Bukan tak boleh minum enam minuman ini untuk berbuka, tetapi adalah tidak digalakkan untuk Mama sediakan sebagai minuman utama ketika berbuka. Berbuka dengan makanan sunnah seperti kurma, dan banyakkan minum air masak ketika berbuka. Badan akan menjadi lebih bertenaga dan juga kembali hidrat.