KelabMama

Amalan & Doa Ibu Mengandung Yang Baik Untuk Diamalkan Sepanjang Kehamilan

Kredit Foto: Adobe Stock

Tiada perkara yang lebih indah dari memiliki seorang anak dan pastinya sudah menjadi impian setiap pasangan suami isteri untuk memiliki cahaya mata sebagai pelengkap sesebuah keluarga betul tak?

Sebelum mendapat status mama dan papa, banyak dugaan dan cabaran yang suami isteri lalui. Terutamanya wanita yang bergelar ibu.

Ketika seorang isteri mengandung, dia akan bergelut dengan pelbagai cabaran dan kesusahan yang tak diduga.

Muntah-muntah, sensitif dengan bau, sentiasa ‘moody’ dan beremosi adalah termasuk dalam cabaran sepanjang proses kehamilan. 

Mengidam benda-benda yang pelik, menangis tiba-tiba. Sakit badan, pinggang dan pinggul dengan kerap adalah antara perubahan yang ibu hamil lalui.

Buat pasangan suami isteri yang beragama Islam, Mama Siti nasihatkan supaya anda mengamalkan membaca al-quran dan doa yang baik sepanjang kehamilan, terutamanya selepas solat.

Kredit Foto: Adobe Stock

Amalan ibu mengandung ini dapat mententeramkan jiwa sebagai seorang Islam, baik untuk perkembangan bayi dan juga membantu memudahkan proses kelahiran. InsyaAllah.

AMALKAN MEMBACA RUQYAH

Ibu hamil dari sebelum mengandung dan sepanjang mengandung, dinasihatkan agar amalkanlah bacaan Ruqyah. 

Niat dalam hati agar kandungan selamat dan moga Allah lindungi anak kita. Bacaan Ruqyah dapat menghindar dari gangguan ‘makhluk halus’ yang kita tak nampak dengan mata kasar. Ruqyah juga dapat mententeramkan jiwa dan memulihkan emosi.

SURAH-SURAH DAN DOA YANG BAIK KETIKA HAMIL

Jangan risau, ni Mama Siti dah senaraikan doa-doa ibu mengandung yang boleh diamalkan khas untuk bakal ibu semua.

1. Surah Al-Fatihah

Untuk menerangkan hati dan menguatkan daya ingatan.

2. Surah Maryam

Salah satu doa dan surah untuk memudahkan proses bersalin dan memperolehi anak yang sabar dan taat.

3. Surah At-Taubah

Untuk membersihkan jiwa dan memelihara daripada maksiat.

4. Surah Yusuf

Agar anak yang dilahirkan cantik rupa dan cantik akhlaknya.

5. Surah Al-Fatihah, 3 Qul (Surah Al-Ikhlas, An-Nas dan Al-Falaq) dan Ayat Kursi

Bacakan kepada kandungan setiap malam sebelum tidur agar kandungan dilindungi.

6. Surah Yaasin

Untuk ketenangan jiwa dan semoga anak tak mudah terpengaruh dengan godaan syaitan yang mengajak kepada maksiat.

Kredit Foto: Adobe Stock

7. Surah Al-Hujurat

Sebagai doa untuk memperbanyakkan susu ibu dan anak bersifat berhati-hati.

8. Surah Luqman

Agar memperolehi anak yang cerdik akal dan terang hati.

9. Surah Al-Nahl (Ayat 78)

Agar anak yang dilahirkan bersikap rajin dan berdisiplin.

10. Surah Al-Imran (Ayat 38)

Doa agar mendapat zuriat yang soleh dan solehah.

11.Surah Al-Imran (Ayat 8-9)

Doa memohon rahmat.

12. Surah Al-Imran (Ayat 192-194)

Doa memohon keampunan Allah.

13.Surah Ibrahim (Ayat 40-41)

Doa agar anak tetap mengerjakan solat.

14.Surah Al-Baqarah (Ayat 128)

Doa agar anak patuh kepada perintah Allah.

15.Surah Al-Furqan (Ayat 74)

Doa agar dikurniakan zuriat yang menyenangkan hati.

Kredit Foto: Adobe Stock

Amalan-amalan yang Boleh Dilakukan Sepanjang Mengandung

Semasa mengandung, kedua ibu dan bapa sangat disarankan untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan bagus dari segi pemakanan dan juga amalan rohaniah.

Sebagai contoh, amalan berpuasa sunat, jika boleh dilakukan oleh si ibu ketika hamil, sebenarnya dapat membantu anak dalam kandungan supaya lebih kuat hatinya.

Bacaan surah-surah tertentu dan doa ibu mengandung juga mempunyai kelebihan untuk bayi dalam kandungan. Dibawah merupakan antara amalan yang baik untuk diamalkan menurut neraca Islam.

  1. Melazimkan diri membaca Al-Quran.
  2. Membaca buku ilmiah seperti Kisah Para Nabi, Kisah Para Sahabat dan lain-lain.
  3. Menjaga adab dan emosi terhadap suami dan isteri.
  4. Makan makanan yang baik, pastikan makanan dan bahan-bahan adalah yang halal dan dari sumber pendapatan yang halal.
  5. Jauhi daripada sifat dendam dan dengki.
  6. Rajin memberikan senyuman.
  7. Sering berbual-bual dengan anak yang berada dalam kandungan. Pastikan topik bualan itu yang baik-baik sahaja ya Mama.
  8. Banyakkan berdoa kepada Allah SWT, terutamanya setiap kali selepas solat.
  9. Rajin berpuasa sunat (digalakkan suami & isteri berpuasa sunat, seperti puasa sunat hari Isnin dan Khamis).
  10. Lakukan kerja-kerja ringan di rumah sebagai senaman untuk memudahkan proses kelahiran.
Kredit Foto: Adobe Stock

Okay, doa-doa ibu mengandung kita dah ada, doa untuk mudah bersalin pula macam mana? Ha, Mama Siti got your back okay! Jangan berasa gundah wahai mama sekalian, boleh baca DOA MUDAH BERSALIN di sini

Semoga bermanfaat untuk mama-mama semua! Mama Siti doakan agar proses kehamilan semua berjalan dengan lancar dan juga dijauhkan daripada kesusahan dan dipermudahkan segala urusan.