KelabMama

DILEMA IBU BEKERJAYA. MAHU TAK MAHU KENA HADAP!

Setiap ibu bekerja pastinya berhadapan dengan dilema yang sama; masa untuk mendidik anak, menjaga rumah tangga dan suami. Sebagai wanita yang memikul banyak peranan, pastinya mahukan kesudahan yang baik untuk diri mereka dan setiap ahli keluarga. Malangnya disebabkan kurangnya ilmu pengetahuan dan kepincangan pengurusan masa menyebabkan ibu berhadapan dengan banyak masalah sehingga mendatangkan kesan buruk kepada diri mereka, anak dan seterusnya institusi keluarga mereka.

Ibu yang bekerja menambah tanggungjawab sedia ada di rumah dengan mencari pendapatan di luar rumah. Satu perkara yang sering bermain di fikiran ibu bekerja ialah perasaan bersalah kerana tidak dapat memberi fokus 100 peratus kepada anak-anak. Dilema utama yang sering dihadapi oleh ibu bekerja ialah pembahagian masa. Boleh dikatakan hampir sepanjang hari masa kita berada di pejabat, kita pulang ke rumah selepas pukul6 atau 7 petang.

 

HUBUNGAN DENGAN ANAK

Ibu bekerja memang tiada pilihan selain mencari seorang pengasuh atau mencari sebuah pusat asuhan kanak-kanak sementara ibu menjalankan tanggungjawab di tempat kerja. Apabila anak dididik oleh orang lain yang tidak mempunyai pertalian darah dengan mereka, pastinya ada terdapat sedikit perbezaan tentang cara mendidik anak. Ibu pastinya akan berasa risau jika perangai anak tidak seperti yang diharapkan dan setiap ibu perlulah mengetahui cara penyelesaian bagi masalah seperti ini agar tidak mendatangkan mudarat kepada fikiran dan diri sendiri pada masa akan datang.

Sebagai ibu dalam apa hal sekali pun keluarga mestilah menjadi keutamaan. Malah  jika seorang ibu terlepas peluang untuk menjadi ibu terbaik maka dia boleh dihantui perasaan kesal seumur hidupnya. Walaupun menjadi seorang yang berjaya dalam kerjaya, setiap ibu perlu juga berjaya dalam mendidik anak- anak, perlu tahu keinginan anak. Secara psikologinya, setiap anak terutama yang kecil memerlukan kasih sayang dan perhatian yang lebih untuk diri mereka.

 

LANGKAH MENGURANGKAN DILEMA

 

UTAMAKAN KESIHATAN DIRI, TETAPKAN JADUAL KERJA

Jika di pejabat fokus kepada kerja dan apabila cuti pastikan anda tumpukan kepada anak dan keluarga. Sekiranya bebanan tugas pejabat terlalu banyak, bincanglah dengan ketua anda, begitulah juga dengan tugasan di rumah. Minta bantuan suami agar setiap perkara berjalan dengan lancar.