KelabMama

DIET BAIK VS DIET JAHAT

BERAT BADAN NAIK BERTAHUN, DIET SEHARI TAK MUNGKIN TERUS KURUS

 Kita perlu menyasarkan dalam lima hingga 10 peratus penurunan berat badan bergantung kepada berat badan sedia ada. Secara amnya, mungkin dalam tempoh tiga bulan pertama. penurunan berat badan yang selamat adalah dua hingga empat kilogram dalam tempoh sebulan. Dalam mengurangkan berat badan, sasaran perlulah realistik. Sasaran yang terlalu drastik akan membuatkan kita sukar untuk patuh kerana apa yang paling penting ialah menjaga momentum yang berterusan.

                Ramai yang putus asa kerana cara yang tidak betul dan ia boleh menyebabkan keadaan yang dipanggil rebound membuatkan kita makan dalam jumlah yang lebih tinggi daripada sebelum ini. Lagipun, tidak digalakkan turun terlampau cepat kerana selalunya apabila turun berat badan secara drastik, bukan lemak yang hilang sebaliknya adalah air kerana lemak mengambil masa yang lama untuk hilang. Keadaan ini akan menyebabkan penyahidratan lalu mengundang pelbagai penyakit berkaitan. Air merupakan antara asas yang penting dalam sistem badan seseorang dan pastikan pengambilan air putih sebanyak 1.5 hingga 2.5 liter setiap hari.

                Untuk melihat sama ada berlaku penyahidratan atau tidak, perhatikan air kencing, jika ia jernih maka menunjukkan jumlah air mencukupi dan jika pekat ia adalah sebaliknya. Tanda lain termasuk dahaga, sembelit, sakit kepala dan penat. Antara prinsip penting lain, jangan lupa untuk makan setiap kali waktu makan kerana ia akan membuatkan kita semakin lapar. Sarapan pagi merupakan hidangan paling penting untuk mereka yang mahu menurunkan berat badan dan saiz hidangan perlu semakin kecil apabila petang.

 

DIET YANG TIDAK BERKESAN

Tentang pelbagai jenis diet yang wujud, tidak dinafikan ramai yang memilih pelan diet yang memberikan kesan penurunan berat badan yang drastik kerana mahu mengejar matlamat namun mereka perlu maklum tentang kebaikan dan keburukan cara pemakanan tersebut.

Diet Satu Jenis Makanan

Diet ini diamalkan dengan mengambil sejenis makanan sahaja tanpa had. Ia tidak seimbang dan tidak dapat membekalkan nutrisi lengkap yang diperlukan untuk keperluan badan.

Diet Rendah Karbohidrat Tinggi Protein

Diet ini boleh menurunkan berat badan tapi ada kesan jangka masa panjang yang boleh mendatangkan mudarat iaitu:

Diet Sangat Rendah Kalori (menggunakan formula yang dibancuh dengan air)

Diet ini mungkin berkesan untuk satu jangka masa yang pendek tetapi ia tidak boleh dilaksanakan untuk jangka masa panjang kerana ia membosankan dan tidak seperti rutin harian makanan biasa. Ia mungkin boleh menyebabkan rasa lesu, lemah, sembelit, mual dan perlu pemantauan doktor atau pakar dietetik sekiranya ingin dilakukan pada tempoh masa yang sekejap. Amnya, diet yang mempromosikan ‘makanan magik’, kadar penurunan berat badan yang terlalu banyak dalam masa yang singkat dan peng­gunaan produk yang harus diambil ber­sama, tiada senaman diperlukan adalah jenis diet yang tidak selamat untuk dipraktikkan.

 

MAKAN SEIMBANG & BERSENAMLAH

                Tidak lengkap perjalanan mengurangkan berat badan jika tidak disertakan senaman secara berkala. Selain membuatkan individu sihat dan cergas, ia amat membantu proses mengurangkan berat badan. Sekurang-kurangnya lakukan senaman selama 30 hingga 45 minit untuk tiga kali seminggu dan pastikan mencapai 10,000 langkah sehari. Tidak susah untuk memastikan senaman tersebut dicapai dengan penggunaan aplikasi telefon pintar dan gajet yang boleh merekodkan segala aktiviti.