KelabMama

Dibeku Selama 6 Tahun, Ibu Gembira Lahirkan Bayi Lelaki Melalui IVF

8 Oktober 2019 merupakan detik paling manis buat pasangan Noor’adn Muhammad dan Mohd Yuhairi Haniff Yoon, apabila mereka berjaya menimang cahaya mata selepas mereka dikurniakan dengan seorang bayi lelaki menggunakan kaedah In Vitro Fertilisation (IVF).

Yang membuatkan detik ni lebih istimewa ialah bayi lelaki seberat 3.34 kilogram itu juga telah melakar sejarah tersendiri apabila menjadi bayi pertama di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu itu dilahirkan menerusi teknik pemindahan embrio, selepas enam tahun ia dibekukan.

Muhammad Syafiq Muttaqin dilahirkan hasil prosedur pemindahan embrio beku atau procedure frozen-thaw embryo transfer (FET) selepas enam tahun dibekukan.

Kelahiran bayi lelaki itu bukan sahaja menggembirakan ibu bapanya malah turut menggembirakan warga kerja HSNZ kerana kelahiran bayi itu melakar satu lagi rekod kejayaan HSNZ dalam kaedah persenyawaan In Vitro Fertilisation (IVF).

Menurut pakar Obstetrik, Ginekologi dan Reproduktif (O&G), Dr Nasuha Yaacob berkata, bayi lelaki seberat 3.34 kilogram itu dilahirkan pada pukul 8.38 pagi Isnin di Pusat Rawatan Ibu dan Bayi (Priba) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSN), di sini.

Beliau berkata lagi bahawa kebiasaannya, prosedur FET dilakukan dalam tempoh purata antara satu hingga tiga tahun dari tempoh pembekuan, dengan maksimum selama lima tahun.

Kejayaan Pertama HSNZ Lahirkan Bayi Daripada Embrio Yang Dibeku Selama 6 Tahun!

Beliau menambah bahawa ada beberapa kes dimana mereka memanggil ibu untuk menjalani pemindahan embrio selepas tempoh lima tahun, tapi tiada lagi yang berjaya hamil dan ini merupakan kejayaan pertama HSNZ melahirkan bayi daripada embrio yang dibekukan selama enam tahun.

“Pasangan ini bertuah kerana selepas dibekukan enam tahun, embrio ini masih berkualiti dan berjaya dilahirkan,” katanya.

Kadar kehamilan IVF di HSNZ mencecah 40 peratus pada 2019 dengan menyaksikan peningkatan berbanding 30 peratus pada 2018.

Bayi lelaki tersebut merupakan bayi ke-20 yang dilahirkan menerusi IVF pada tahun ini dan bayi yang ke-118 sejak Unit Perawatan Reproduktif HSNZ ditubuhkan pada tahun 2009.

Noor’adn berkata bahawa mereka telah menunggu lebih 13 tahun untuk dapatkan cahaya mata pertama dan kelahiran anak lelakinya itu merupakan anugerah Allah untuk beliau dan suami.

Trauma Lepas Gugur 2 kali

Katanya, kaedah pemindahan embrio beku itu dilakukan berikutan Noor’Adn mengalami keguguran sebanyak dua kali.

“Saya mula menjalani rawatan IVF pada 2012 dan berjaya hamil pada tahun tersebut namun kandungan saya gugur pada usia dua bulan diikuti pada Julai 2013, kehamilan bayi kembar saya cuma bertahan pada usia 20 minggu.”

Selepas keguguran bayi kembar pada 2013, Noor’Adn mengaku bahawa dia untuk teruskan rawatan. Tapi setelah berbincang dengan suami, mereka sepakat mahu ambil masa selama lima tahun untuk berehat agar dia bersedia dan fizikal untuk rawatan seterusnya.

Pada 2018, Noor’Adn kembali lagi ke HSNZ untuk menjalani rawatan FET dan disahkan hamil pada Februari tahun ini.

“Saya buat rawatan dulu di HUSM (Hospital Universiti Sains Malaysia) Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian Prof Dr Azlina meminta saya mengadakan susulan di sini (HSNZ) sebab ada rawatan IVF.”

“Jadi saya pun menetap di Terengganu. Alhamdulillah pakar-pakar di sini memang betul-betul tolong (untuk hamil) sampai berjaya,” kata Noor’Adn berkongsi pengalamannya.

Tambahnya lagi, beliau sangat berterima kasih kepada HSNZ terutama kumpulan pakar Obstetrik dan Ginekologi (O&G) yang diketuai Dr Nasuha Yaacob kerana melayannya dengan baik sepanjang rawatan.

Di Malaysia, hanya terdapat empat hospital kerajaan yang menawarkan perubatan teknik IVF iaitu HSNZ bagi Zon Pantai Timur, Hospital Kuala Lumpur (Zon Tengah), Hospital Sultanah Bahiyah (Zon Utara) dan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (Sabah dan Sarawak).

Sumber: bernama, astroawani

BACA JUGA BERKAT IUI, ANAK LAHIR SELEPAS 3 TAHUN PENANTIAN

Pesanan Mama Siti:

Mama Siti ucapkan tahniah buat pasangan Noor’adn Muhammad dan Mohd Yuhairi Haniff Yoon atas cahaya mata yang pertama. Dah ada anak ni, mama Noor’adn pasti akan jadi sibuk sangat menguruskan anak yang satu. Jarang dapat tidur, keluar dengan rakan-rakan, itu perkara biasa. Kita memang kena selalu dekat dengan anak kita 24 jam. Apa-apa pun, selamat mengharungi hari-hari sebagai ibu ye!