KelabMama

Cuti Bersalin 90 Hari Bermula 2021

Mama Siti ada berita baik buat semua pekerja sektor swasta. Mesti mama dah dengar kan? Tempoh cuti bersalin akan dipanjangkan daripada 60 hari ke 90 hari mulai 2021 nanti. Cadangan itu antara perkara diumumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada Pembentangan Belanjawan 2020.

Pihak kerajaan juga akan meneliti semula Akta Kerja 1955 meliputi empat perkara termasuk tempoh cuti , bagi memastikan akta tersebut kekal relevan dengan keperluan pasaran tenaga kerja semasa.

Yalah, Mama Siti pun faham, tak cukup cuti 2 bulan je. Kita nak menjaga anak lagi, nak bagi badan rehat lagi. Tiba-tiba cuti dah habis. Kalau mama jatuh sakit, lagi banyak pula cuti yang mama kena ambil.

Cuti Bersalin 90 Hari Selaras Piawaian Antarabangsa

Pembaharuan ini memang sangatlah dinanti-nantikan, kerana dua bulan sememangnya tak mencukupi. Lagipun 90 hari sememangnya selaras dengan piawaian antarabangsa. Namun sama seperti setiap dasar, terdapat kebarangkalian tinggi untuk majikan swasta enggan bekerjasama. Sebagai persediaan, majikan-majikan swasta bakal dikenakan tindakan.

Ia juga mewajibkan para majikan untuk merancang semula tenaga buruh untuk mengisi kekosongan bagi tempoh 90 hari tersebut. Sudahlah perlu membayar gaji bersalin, majikan juga bakal berdepan dengan insentif atau penggajian pekerja sementara.

Walau apa pun, 90 hari itu sendiri tak boleh menandingi Singapura (112 hari), Kesatuan Eropah (120 hari) dan Vietnam (180 hari). Di United Kingdom, para ibu dibenarkan mengambil cuti maternity selama setahun pun, bermula dengan 11 minggu sebelum kelahiran tau.

Tempoh Bonding Mama Bersama Bayi dan Penyusuan

Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Hannah Yeoh, nilai cuti bersalin tak boleh dilihat daripada perspektif majikan je. Ia bertujuan untuk bonding mama bersama bayi dan penyusuan. 90 hari itu adalah jumlah asas dan minimal. Ini dilihat menerusi kadar kesuburan yang semakin merosot. Dari tahun 1957, dicatatkan 6.6 menurun sehingga 1.91 pada tahun 2020.

“Kita kena faham bahawa kita perlu beri masa untuk ibu bersama dengan bayi. 60 hari memang tak cukup kerana mereka harus menyusukan anak dan sebagainya.”

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) J Solomon

Tindakan ke Atas Majikan Yang Enggan Beri Cuti Bersalin 90 Hari

Majikan yang enggan memberi cuti bersalin selama 90 hari kepada pekerja wanita bermula 2021 akan dikenakan tindakan.

Majikan swasta perlu mematuhi perkara itu yang dibentangkan semasa Belanjawan 2020. Sekiranya sektor awam boleh melaksanakannya mengapa tidak sektor swasta?

Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran

‘Paternity Leave’ Untuk Papa

Paternity leave ni sebenarnya adalah cuti yang diperuntukkan kepada lelaki (suami) yang isterinya bersalin selama satu minggu atau bergantung pada majikan masing-masing. Ketika ini, cuti bersalin untuk papa adalah selama 7 hari bagi kakitangan kerajaan.

Kementerian Sumber Manusia berharap dapat membentangkan kepada Kabinet cadangan penetapan tujuh hari cuti bersalin (paternity leave) bagi suami yang bekerja di sektor swasta.

Menurut laporan akhbar antarabangsa, di negara seperti Norway, Sweden, Iceland dan Finland, cuti bersalin bagi kaum bapa bukanlah isu yang baru.

Negara-negara itu telah memperuntukkan tempoh cuti bersalin sekitar 14 hari serta cuti yang boleh dikongsi sehingga lebih 30 hari bagi kaum lelaki dengan pilihan polisi gaji yang fleksibel.

Pekerja lelaki di Korea Selatan pula dibenarkan mengambil cuti sehingga 10 hari selepas isteri mereka bersalin.

Di Malaysia, syarikat seperti CIMB dan IKEA Malaysia adalah antara yang terawal menawarkan cuti bersalin selama satu bulan kepada pekerja lelaki mereka untuk menjaga isteri yang bersalin.

Majikan swasta tidak perlu bimbang kerana menurut laporan majalah Time, cuti bersalin bukan saja penting bagi kesihatan mental kaum lelaki, malah ia mustahak bagi perkembangan sesebuah syarikat kerana pekerja menjadi lebih fokus.

Sumber: mstar, Sinar Harian, Mingguan Wanita

BACA JUGA CUTI BERSALIN SEKTOR KERAJAAN VS SWASTA 2021

Pesan Mama Siti:

Lega dengar berita penaikan cuti ni. Mama yang tengah pregnant tu, manfaatkanlah cuti tambahan yang diberikan okay? Ingat, mama kena jaga kesihatan mama. Mama Siti doakan mama dipermudahkan urusan ketika bersalin ye.