KelabMama

Cara Untuk Mengandung : 5 Tips Anda Boleh Cuba

Anak adalah pengikat kasih sayang. Menjadi impian semua pasangan, sama ada baru atau yang dah lama berkahwin, ingin menimang cahaya mata. Namun, ia taklah semudah yang diungkap. Ramai juga pasangan yang masih belum atau sukar mendapat anak. Pelbagai cara untuk mengandung dah dilakukan tapi masih belum ada rezeki.

Jika anda atau kenalan anda antara yang masih belum dikurniakan cahaya mata, bukanlah bermakna kita harus berserah kepada takdir semata-mata. Malah, menyerahkan kepada takdir tanpa usaha dan berharap, itu adalah tanda-tanda berputus asa pada rahmat Tuhan. Masih ada banyak cara untuk mengandung yang anda serta pasangan boleh ikhtiar.

Agama sendiri menggalakkan kita berusaha untuk memperbanyakkan zuriat. Jadi, apakah cara yang boleh kita lakukan untuk mengandung? 

1. Rancang Masa Yang Tepat Salah Satu Cara Untuk Mengandung

Penjagaan diri adalah asas untuk kehidupan yang sihat, termasuklah untuk mengandung. Jika anda merancang untuk mengandung, perkara utama yang perlu anda tahu ialah kitaran haid anda. 

Dengan mengetahui kitaran haid, ia menjadi tapak untuk mula merancang menyediakan diri untuk mengandung. Wanita mempunyai hari-hari subur tertentu mengikut kitaran haid masing-masing. 

Foto kredit: Mother & Baby

Daripada kitaran haid rutin kita, anda boleh menentukan waktu subur anda. Waktu subur ialah waktu tubuh wanita sedang berovulasi. Pada waktu ini, tubuh akan mengeluarkan telur dari ovari ke rahim dan bersedia untuk disenyawakan. Telur wanita yang berjaya disenyawakan dengan sperma lelaki akan menghasilkan zigot.

Kebanyakkan wanita mempunyai kitaran haid yang rutin. Kebiasaannya, ia akan bermula pada hari yang sama setiap bulan. Tetapi, ada juga yang mempunyai kitaran haid yang berbeza dari bulan ke sebulan. 

Kiraan kitaran haid bermula pada hari pertama datangnya haid. Bagi wanita yang mempunyai kitaran haid rutin 28 hari (waktu hari pertama haid bulan ini hingga ke bulan haid yang akan datangnya), waktu subur selalunya adalah antara hari ke 12 ke 16 sebelum bermulanya kitaran haid yang akan datang. 

Anda juga boleh mengetahui waktu subur dengan menggunakan kit ovulation-prediction yang boleh didapati di farmasi.  Kit ini menentukan waktu subur dengan mengira paras hormon LH di dalam air kencing. Paras LH akan meningkat jika telur sudah dikeluarkan dari ovari. Waktu subur adalah tiga hari selepas ujian positif kit paras LH ini. 

Waktu subur wanita kebiasaannya adalah antara 4 hingga 6 hari. Anda dan pasangan digalakkan untuk mengadakan hubungan intim di waktu-waktu subur ini untuk persenyawaan telur dan sperma berlaku. Persenyawaan telur dari benih wanita dan sperma dari benih lelaki adalah detik bermulanya kejadian manusia.   

2. Ambil Diet dan Pemakanan Yang Sihat 

Pepatah Inggeris ada menyatakan ‘You are what you eat’. Diet yang tepat dan sihat adalah salah satu faktor yang dapat membantu anda untuk mengandung. 

Tubuh badan yang terlalu berat atau terlalu ringan akan mengurangkan kebarangkalian untuk mengandung. Kekalkan berat badan yang ideal dengan mengamalkan diet sihat. 

Kajian saintifik membuktikan wanita gemuk mengambil masa dua kali lebih lama untuk mengandung berbanding wanita yang mempunyai BMI normal.  Sebaliknya, jika BMI rendah dari sepatutnya, kebarangkalian untuk mengandung adalah empat kali lebih lama. 

Jika anda sedang mencuba untuk menimang cahaya mata, anda boleh mengambil multivitamin sebelum mengandung lagi. 

Sebaik-baiknya, ambil vitamin yang mengandungi sekurang-kurangnya 400 mcg asid folik sehari. Asid folik adalah vitamin B yang penting untuk mengurangkan risiko kecacatan bayi di dalam kandungan. Asid folik juga membantu menguatkan sperma untuk bersenyawa dengan telur. Ia juga menghasilkan mukus serviks dan telur yang lebih berkualiti untuk menggalakkan kondisi persenyawaan berlaku.

Bukan je untuk wanita, pasangan anda juga boleh mengambil suplemen asid folik ini untuk menghasilkan kualiti sperma yang baik.

Walaupun belum ada makanan tertentu  yang menjamin seseorang mengandung, makanan yang sihat pastinya membantu bakal Mama bersedia untuk mengandung

Pastikan diet harian anda dilengkapi dengan kalsium, protein dan zat besi yang mencukupi. 

3. Posisi Bersetubuh Yang Bermanfaat

Betulkah posisi bersetubuh menyumbangkan kepada peluang untuk mengandung? Sebenarnya, ia tak benar. Posisi seks tak mempengaruhi peluang pasangan untuk mendapat anak, selagi ejakulasi berlaku di dalam rahim sepenuhnya. 

Ada juga yang berpendapat jika isteri mengangkat kaki ke atas selepas berintimasi, akan memudahkan sperma untuk bersenyawa dengan telur. Ini juga satu mitos yang belum terbukti kebenarannya.

Foto kredit: Mother & Baby

Apa-apa posisi yang membenarkan kemasukan zakar suami sepenuhnya ke dalam rahim isteri membantu persenyawaan sperma dan telur. Untuk ini, posisi missionary adalah yang terbaik kerana sperma akan berada paling dekat pada serviks wanita. 

Kebanyakkan krim atau losyen atau gel berasaskan air yang digunakan sebagai alat bantuan intimasi juga boleh melemahkan pergerakan sperma. Anda mungkin ingin mendapatkan nasihat pakar sebelum menggunakannya.  

4. Amalkan Gaya Hidup Sihat

Mengamalkan gaya hidup sihat adalah tuntutan badan kepada setiap insan. Pelbagai manfaat yang diperolehi jika kita bertanggungjawab menjaga kesihatan diri. Ini termasuklah mudah untuk mengandung. 

Jika anda merokok atau minum minuman beralkohol, habit ini hendaklah dihentikan serta-merta. Pasangan yang merokok juga boleh memberi kesan negatif kepada diri anda. Nikotin dan karbon monoksida dari asap rokok menggalakkan kematian telur wanita di dalam badan. 

Bagi penggemar kopi juga dinasihati untuk mengurangkan pengambilan kafein harian. Pengambilan minuman yang mengandungi kafein berlebihan membantutkan tahap kesuburan wanita dan menyukarkan persenyawaan berlaku. Kafein di dalam kopi juga merendahkan keberjayaan IVF. Pakar kesihatan menasihatkan untuk bakal Mama hanya meminum kurang 200mg kopi sehari bagi mengurangkan kemasukan kafein dalam badan. 

Walaupun aktif beriadah dan bersenam baik untuk kehidupan, anda harus faham tahap kemampuan diri. Jangan terlalu ghairah beriadah hingga membuatkan badan letih. Badan yang letih boleh mengganggu rutin haid dan proses ovulasi seseorang.

5. Dapatkan Nasihat Pakar Tentang Cara Untuk Mengandung

Bagi yang dah berusaha untuk mengandung dan kerap berintimasi dalam masa enam bulan, mungkin tiba masanya untuk anda dan pasangan mendapatkan nasihat pakar.  Wanita berumur 35 tahun ke atas juga mempunyai risiko tinggi untuk mengandung dan melahirkan anak.

Dengan bertemu pakar sakit puan, anda dan pasangan akan lebih memahami perihal kesihatan badan  masing-masing. Jadi, bolehlah anda dan pasangan merancang langkah-langkah terbaik yang patut diambil untuk cuba mengandung. 

Foto kredit: Babycenter

Setelah berusaha sebaik mungkin dan masih gagal mendapat khabar gembira bukanlah bermakna anda tiada harapan untuk mengandung. Yakinlah anak itu rezeki dari Tuhan. Walaupun kita banyak berdoa, tetapi masih tak termakbul bukanlah bermakna kita dipinggirkan. Allah Maha Tahu bila masa yang sesuai dan pastinya rancangan Allah yang terbaik untuk kita. Berdoalah padanya dan jangan pernah berhenti berharap agar satu hari nanti akan dimakbulkan doa kita dan dikurniakan cahaya mata penyejuk jiwa.

Semoga bermanfaat!

Pesan Mama Siti

Doa Mak Siti agar anda dan pasangan terus tabah dan berusaha serta dikurniakan keluarga bahagia sehingga ke anak cucu.