KelabMama

4 Cara Siang Sotong Yang Betul dan Bersih & Mengikut Jenis Sotong

cara siang sotong

“Eh, tak kan siang sotong pun tak tahu?”

Keadaan itu tidak mustahil kerana tak semua orang dapat menikmati sotong selalu. Ada pula yang memang tak pernah dapat pendedahan cara-cara siang ikan. 

Mama Siti di sini bukan untuk menilai (judge) tetapi membantu Mama dan Papa siang makanan laut dengan cara yang betul mengikut jenis sotong. 

Cara-Cara Siang Sotong Yang Betul Ikut Jenis Sotong

#1 Cara Siang Sotong Torak dan Sotong Cumi/Jejarum

  1. Sediakan papan pemotong dan pisau tajam untuk siang sotong. Kemudian, letakkan sotong di atas papan pemotong dan pisahkan bahagian kepala daripada badannya. 
  2. Buang dakwat hitam yang ada dalam dalam badan sotong dan juga kantung dakwat di bahagian kepalanya. 
  3. Letakkan pisau betul-betul di bawah mata sotong dan hiris dengan berhati-hati. Selepas itu, tekan sedikit di tempat yang dihiris dan keluarkan biji mata sotong. 
  4. Masih di bahagian kepala, hiris sotong secara menegak. Pastikan tidak terbelah kepada dua bahagian. Kemudian, buang gigi sotong.
  5. Pada badannya pula, mulakan dengan membuang tulang belakang sotong. 
  6. Seterusnya, buang lapisan kulit berwarna ungu yang ada pada badan sotong. Badan sotong berwarna putih akan kelihatan. 
  7. Ambil sebilah pisau dan potong badan sotong tadi kepada beberapa bahagian sesuai kemahuan Mama.    

#2 Cara Siang Sotong Tak Potong Kepala

Kredit video: Youtube/ Fitri Fauzi
  1. Pertama sekali, ambil gunting tajam dan potong sedikit badan sotong.
  2. Selepas itu, buangkan kantung dakwat yang melekat pada bahagian kepala sotong.  
  3. Langkah seterusnya, masukkan satu jari dalam badan sotong dan buang pasir atau ikan-ikan kecil yang ada.
  4. Beralih ke bahagian matanya. Gunakan pisau tajam dan hiriskan di tengah-tengah mata sotong. Tekan sedikit untuk membuang mata sotong.
  5. Buang juga gigi sotong dengan cara menekan kepala sotong. 
  6. Selesai semua proses siang sotong, bilah dengan air bersih dan boleh mula memasak.

#3 Cara Siang Sotong Katak

Kredit video: Youtube/ ANAK NELAYAN
  1. Sediakan pisau dan sotong yang hendak disiang. 
  2. Baringkan sotong dan potong bahagian perut sotong dengan berhati-hati. 
  3. Selepas itu, tarik kepala sotong keluar bagi memudahkan proses membuang kandungan isi perut yang tidak diperlukan. 
  4. Seterusnya, pisahkan kantung dakwat yang melekat di kepala sotong.
  5. Beralih pada bahagian badan sotong, tarik keluar tulang belakang sotong katak. 
  6. Belah badan sotong kepada empat bahagian secara memanjang. Kemudian, barulah kita boleh potong kecil-kecil mengikut kesesuaian masakan.  
  7. Lakukan hal yang sama pada kepala sotong katak. Potong kecil mengikut keinginan masing-masing. 
  8. Oh ya, jangan lupa buangkan giginya juga ya.  

#4 Cara Siang Sotong Kembang

Kredit video: Youtube/ Chaq’s Cooking

Sotong kembang boleh didapati di kedai untuk dibuat masak sambal. Contohnya, sambal merah dan sambal taun. 

Namun begitu, kaedah siang sotong ini agak berbeza dari sotong biasa. Ada teknik rendaman tersendiri untuk menghilangkan bau hanyir sotong kembang. 

Begitu juga dengan cara membuang selaput di permukaan sotong dan cara pemotongan yang betul.

  1. Sediakan peralatan dan bahan-bahan untuk merendam sotong kering. Bahan yang diperlukan ialah segenggam garam kasar, hirisan lemon dan air secukupnya.
  2. Rendam sotong kembang dalam besen tersebut selama 15 minit. 

Nota: Tujuan rendaman dengan garam dan lemon adalah untuk menghilangkan bau hanyir, membuang lendir dan mengenyalkan sotong. 

  1. Selepas itu, pisahkan kepala daripada badan sotong dan buangkan lapisan berlendir di kedua-dua bahagian.
  2. Kemudian, potong sotong kepada beberapa bahagian mengikut kesesuaian masing-masing. 
  3. Mama boleh memilih sama ada ingin menggunakan pisau atau gunting ketika memotong sotong kecil-kecil.
Kredit gambar: Give Recipe

Nak siang sotong ni senang sahaja sebenarnya. Orang yang tak pernah buat pun boleh jadi profesional kalau ikut langkah satu per satu. 

Semoga artikel ini membantu urusan Mama dan Papa di dapur terutamanya semasa siang sotong.  


Belajar cara siang haiwan laut yang lain dan tips semasa di dapur di SINI.