KelabMama

Cara Siang Ketam Nipah ‘Step-by-Step’ Yang Betul dan Tak Leceh

Nak siang ketam nipah ada caranya. Silap langkah boleh rugi tau Mama. Ya lah nanti terbuang bahagian-bahagian penting pula. Kaedah membersihkan makanan laut bercengkerang ini berbeza-beza tau Mama.

Antara soalan popular ialah tentang bagaimana nak bezakan telur ketam dengan isi perutnya yang berwarna kuning. Itu mudah, isi perut ketam yang perlu dibuang ialah yang berwarna kuning berlendir manakala telurnya berwarna jingga gelap.

Jom lah kita tengok cara-cara yang betul bersihkan ketam nipah supaya mudah dikupas ketika makan nanti.

Cara Siang Ketam Nipah Yang Senang Dikupas, Senang Dimakan

#1 Matikan Ketam 

Ada dua cara mematikan ketam pertama dengan meletakkannya di dalam peti sejuk beku selama satu jam. Cara kedua lebih cepat prosesnya iaitu menusukkan pisau di bahagian tengah ketam tersebut. 

#2 Cuci Lumpur

Bersihkan ketam dari lumpur dengan memberus bahagian atas, bawah dan tepi cengkerang. Sekali sekala, alirkan di bawah air yang mengalir. 

#3 Buang Kaki Tajam

Kredit gambar: RecipeTin Eats

Potong atau guntingkan bahagian hujung tajam kaki ketam. Dalam bahasa Inggeris, istilah kaki tersebut dipanggil ‘walking leg’. Lakukan cara yang sama pada semua kaki kiri dan kanan.  

#4 Kopek Bawah Badan

Kredit gambar: RecipeTin Eats

Terbalikkan ketam dan buang bahagian bawahnya. Jika Mama sedang menyiang ketam betina, bahagian ini selalunya terdapat telur ketam. Jangan terus buang ya, sebaliknya simpan supaya boleh dimasak bersama-sama nanti. 

#5 Buka dan Cuci Cengkerang

Kredit gambar: RecipeTin Eats

Langkah seterusnya ialah buka cengkerang ketam nipah. Perlukan sedikit kekuatan daya ketika membuka cengkerang ketam ini.

Apabila Mama telah membuka cengkerang ketam, akan kelihatan pepejal berwarna kuning. Pepejal tersebut diselaputi dengan lendir tidak berwarna. Kita hanya perlu buangkan pepejal yang berwarna kuning sahaja.  

#6 Cuci Ketam

Kredit gambar: RecipeTin Eats

Di bahagian badannya pun terdapat pepejal kuning dan lendiran. Menggunakan kaedah yang sama, bersihkan dan buang pepejal kuning dari badan ketam nipah. 

Oh ya, jangan tersilap pula ya dengan telur ketam. Ingat! Telur ketam nipah berwarna jingga gelap bukan pepejal berlendir berwarna kuning.

#7 Gunting Mulut dan Buang Insang

Langkah ini boleh juga menggunakan tangan. Mama perlu tarik bahagian mulut ketam untuk mencabutkannya. 

Di bahagian kiri dan kanan badan ketam ada insang yang Mama perlu buangkan. Langkah ini tidak memerlukan gunting kerana insang ketam lembut dan mudah ditarik keluar. 

#8 Potong Penyepit

Kredit gambar: RecipeTin Eats

Memandangkan penyepit ketam nipah agak besar dari ketam bunga, Mama ambil sebilah pisau dan potong kedua-dua penyepitnya. Namun begitu jika Mama lebih suka ketam dimasak dengan penyepit yang masih bersambung pun tak ada masalah. 

#9 Ketuk Penyepit

Kredit gambar: RecipeTin Eats

Bagi memudahkan proses mengupas ketika makan nanti, Mama ketukkan penyepit dengan belakang pisau. Bentuk retakkannya akan lebih kemas jika menggunakan kaedah ini. 

“Kalau nak ketuk guna lesung batu boleh ke Mama Siti? “

Boleh juga, cuma Mama Siti bimbang nanti kulit keras penyepit itu terkupas kepada bahagian kecil semasa proses memasak. Bahaya pula kalau tertelan nanti.

#10 Belah Badan Ketam

Kredit gambar: RecipeTin Eats

Selepas semuanya selesai dibersihkan, kini tibalah masa kita belah ketam nipah kepada dua bahagian. Gunakan pisau tajam dan belah di bahagian tengah. 

Kredit gambar: New Strait Times

Kalau dah ada pengetahuan cara-cara siang ketam, barulah rasa yakin bahagian mana yang buang, bahagian mana nak simpan.

Paling penting Mama kena ingat telur ketam nipah warna jingga gelap. Telur ketam sedap dimakan tau, sayang kalau buang. Harap-harap artikel ini membantu Mama siang ketam selepas ini ya.


Ketahui pelbagai tips dan panduan pemakanan terbaik DI SINI.