KelabMama

CARA PILIH JAJAN SIHAT UNTUK ANAK ANDA

Pernahkah anda terfikir dan beranggapan apabila kanak-kanak menikmati snek atau dikenali dengan ‘jajan’ boleh menyebabkan si kecil lambat belajar seperti yang tersebar atau dibaca di media sosial? Jangan mudah terpedaya dengan maklumat yang salah terutama apabila ia diperoleh daripada sumber tidak diketahui kesahihannya, sebaliknya dapatkan nasihat daripada pakar pemakanan yang bertauliah. Pengambilan snek tiada kaitan langsung dengan masalah otak kurang cergas atau lambat belajar dalam kalangan kanak-kanak. Belum ada bukti yang menunjukkan makan snek boleh menjejaskan otak. Namun, ia mungkin boleh berlaku secara tidak langsung jika snek kurang sihat diambil secara berlebihan hingga menimbulkan masalah obes dalam kalangan kanak-kanak.

Ini kerana kebiasaannya snek kurang sihat mengandungi jumlah lemak yang tinggi sekali gus meningkatkan risiko obesiti. Apabila obes, pergerakan menjadi lambat atau menyebabkan mereka malas bergerak. Ada sesetengahnya juga kurang bergaul dengan rakan sebaya dan tidak aktif melakukan aktiviti fizikal. Jika kurang berlaku interaksi sesama manusia di sekelilingnya, ia boleh menjejaskan kecergasan serta pembangunan otak kanak-kanak itu sendiri kerana kemahiran bercakap atau berkomunikasi tidak berlaku dengan baiK. Malah, obesiti mampu meningkatkan risiko penyakit lain seperti penyakit jantung, darah tinggi, kencing manis dan kanser. Justeru, ibu bapa perlu memantau atau menyediakan makanan yang diambil oleh anak dengan memastikan khasiatnya agar terhindar daripada masalah obes.

 

MAMA PILIHAN SNEK SIHAT!

Ada banyak jenis snek yang berada di pasaran sama ada ia berkhasiat, mahupun kurang sihat. Antara snek sihat ialah salad, sandwic, yogurt, susu dan jus buah. Snek menjadi kurang sihat apabila ia mengandungi lemak, gula dan garam dalam jumlah yang tinggi misalnya makanan ringan, makanan segera serta pencuci mulut. Namun, snek kurang sihat ini boleh diubah menjadi makanan yang sihat melalui kaedah pengambilannya. Selain itu, kehadiran pengawet dan pewarna dalam snek kurang sihat juga tidak bagus kepada badan. Ini kerana setiap individu memiliki tindak balas berbeza terhadap makanan termasuk kanak-kanak kerana ada kalanya ia menyebabkan alahan, bergantung kepada penerimaan tubuh masing-masing.

 

 

 

 

 

 

Sumber: Harian Metro