KelabMama

8 Cara Mudah Tidur Yang Praktikal Untuk Anda Cuba!

Sumber: istockphoto

Stresnya bila susah nak tidur. Kadang-kadang tu, sampai menjejaskan rutin harian. Yelah…bila tak cukup tidur pada waktu malam, mulalah rasa lesu keesokan harinya kan? Memang tak bersemangat nak mulakan kerja dan melakukan aktiviti harian.

Mama Siti sebenarnya cukup faham macam mana rasanya. Sebab itulah dalam perkongsian kali ini, Mama Siti nak kongsikan beberapa cara mudah tidur yang boleh diamalkan.

InsyaAllah, tidur malam anda akan lebih lena.

Sumber: hellodoktor.com

8 Cara Mudah Tidur Yang Praktikal

1. Pastikan Suhu Persekitaran Rendah

Secara saintifik, suhu persekitaran dapat mempengaruhi kualiti tidur. Ini kerana ia akan memberi kesan kepada suhu badan anda. Sebenarnya, suhu badan kita adalah lebih rendah ketika waktu tidur berbanding dengan waktu sedar.

Jadi, suhu persekitaran yang tinggi dipercayai akan mengganggu perubahan suhu badan anda untuk tidur.

Perasan tak apabila suasana sekeliling bilik terasa bahangnya, anda akan mengalami kesukaran untuk lena? Kadang-kadang tu, anda akan terjaga beberapa kali.

Berlainan pula ketika pasang penghawa dingin. Contohnya bila menginap di hotel atau homestay yang mempunyai air cond. Mudah je kan untuk lena? Boleh pula terlajak tidur tu.

Sumber: kapanlagi.com

Tapi lain orang, lain kesesuaiannya tau. Ada yang lebih lena apabila suhu air cond pada 20°C. Tapi ada pula yang merasakannya terlalu sejuk sehingga menyebabkan tidurnya pula terganggu.

Jadi anda kena tahu lah ya kadar kesesuaian badan anda. Mandi air panas sebagai contoh, dapat membantu merubah perubahan suhu badan. Selepas mandi, badan anda akan mulai sejuk dan anda akan rasa lebih mengantuk berbanding sebelumnya.

2. Rancang Waktu Tidur Anda

Mama Siti percaya, anda tentu pernah mengalaminya. Tiba-tiba rasa mengantuk sangat pada jam sekian-sekian. Eh macam pelik pulak kenapa mengantuk sangat ni. Rupa-rupanya, dah tiga hari berturut-turut anda tidur pada jam tu.

Ini disebabkan oleh pengaruh jam biologi badan anda ya. Secara semulajadi, jam biologi badan kita mempunyai jadual tersendiri dan rutin kitalah antara yang akan membentuknya.

Jam biologi ini yang akan mempengaruhi kitaran tidur kita tau. Cuba anda amalkan tidur pada jam 10 malam setiap hari. Kebiasaannya beberapa hari selepas itu anda akan mula rasa mengantuk apabila menghampiri jam 10 malam.

Oleh itu, anda haruslah berdisiplin dalam membentuk jam biologi badan anda. Lama-kelamaan, anda akan rasa mengantuk dan ingin tidur dengan mudahnya. Wajib cuba ya?

3. Jangan Tidur Lama Pada Waktu Siang

Sumber: istockphoto

Menurut Arlene Semeco, tidur pada waktu siang dapat menjejaskan kualiti tidur pada waktu malam. Betul ke macam tu?

Kalau mengikut pengalaman Mama Siti, macam ada betulnya. Pernah tak anda cuba nak rehatkan mata sekejap pada waktu tengahari tapi terlajak pulak tidur berjam-jam? Bila tiba waktu malam, mata terasa masih segar walaupun sudah hampir lewat malam.

Sudah banyak kajian yang dilakukan untuk mengkaji perhubungan antara tidur di siang hari dan kualiti tidur pada waktu malam dan sememangnya ia berkait rapat ya.

Dalam Islam, menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, tidur sekejap pada waktu sebelum gelincirnya matahari merupakan satu sunnah. Ia disebut sebagai Qailulah yang dilakukan ketika sebelum masuknya waktu zohor.

Manfaat qailulah ini ialah badan akan terasa lebih cergas dan minda akan lebih peka. Namun jangan terbabas ya. 15-20 minit sudah pun cukup.

4. Melakukan Senaman

Memang sudah terbukti bahawa apabila bersenam, badan kita akan mengeluarkan hormon-hormon yang dapat membuatkan kita gembira dan rasa tenang. Contohnya, hormon endorfin.

Tapi ia tidak semestinya senaman berat ya. Senaman ringan seperti senaman yoga dapat membantu meningkatkan kualiti tidur anda juga. Ia antara senaman pilihan Mama Siti tau.

Terdapat pelbagai gaya yang Mama Siti percaya, anda boleh lakukannya. Mengikut kemampuan dan tahap kesihatan badan anda, anda boleh pilih mana-mana gaya yang sesuai.

Melalui senaman, corak pernafasan anda dapat diperbaiki di samping melepaskan stres secara sihat. Dengan manfaat yang sebegini, ruginya kalau tak cuba!

5. Elakkan Makanan Yang Berat Sebelum Tidur

Makanan berat seperti hidangan nasi yang kaya dengan karbohidrat dipercayai akan menganggu waktu tidur anda. Anda mungkin rasa cepat mengantuk selepas memakannya tetapi sebenarnya tidur anda mungkin tidak akan lena.

Ini kerana badan anda memerlukan masa untuk mencernanya dengan baik. Disebabkan itulah jika anda mahu mengambil juga makanan yang kaya dengan karbohidrat pada waktu malam, pastikan pengambilannya adalah sekurang-kurangnya 4 jam sebelum tidur ya.

6. Ambil Makanan Dan Minuman Yang Dapat Meningkatkan Kualiti Tidur

Sumber: istockphoto

Ada sesetengah minuman, ia dapat membuatkan anda rasa mengantuk dan tidur akan lebih lena. Sebagai contoh, susu lembu.

Rasanya ramai yang pernah mengalaminya kan? Bila minum je susu, terutama susu suam pada waktu malam, mata akan mula rasa mengantuk. Dari bayi, orang dewasa hinggalah ke warga emas.

Itu normal ya kerana dalam perkongsian Faridah Talib, susu lembu dipercayai mengandungi tryptophan yang berfungsi untuk menenangkan dan membuatkan anda lebih relaks.

Jika anda kurang gemar minum susu macam tu je, bolehlah mengolahnya menjadi milkshake yang dicampur dengan buah-buahan ataupun kekacang pilihan seperti pisang dan kacang badam. Mama Siti suka betul kisarkan kacang badam bersama susu. Memang tak cukup segelas tau.

Tapi kalau anda mencari alternatif yang bukan tenusu, boleh cuba teh chamomile ya. Ia juga dapat memberi kesan yang menenangkan kepada anda.

7. Tangani Stres Dengan Bijak

Kadang-kadang, pelbagai kerisauan datang menjengah apabila nak tidur. Mulalah otak berfikir macam-macam. Itu terlupa, ini tak buat. Akhirnya, jam sudah pukul 12 malam dan anda masih terkebil-kebil dengan kepala yang pening.

Stres memang dapat memberi kesan yang negatif kepada badan kita ya. Ia akan mengganggu sistem biologi badan termasuklah kualiti tidur kita.

Untuk mengelakkannya, anda hendaklah berusaha untuk menangani stres dengan bijak. Sebagai contoh, lakukan kerja sebaik mungkin di siang hari dan apa sahaja yang anda tidak berjaya lakukan, lihatlah ia sebagai cabaran untuk memperbaiki diri pada keesokan hari.

Janganlah terlalu tegas dengan diri anda kerana badan dan minda anda juga memerlukan rehat yang cukup untuk berfungsi secara optimum.

Cuba kawal dan ubah mindset anda melalui lensa yang positif. Jika perlu, luahkanlah masalah dan kerisauan anda pada mereka yang anda percaya. Mama Siti yakin, anda tentu akan merasa lebih lega.

8. Tidur Dalam Keadaan Yang Gelap

Sumber: istockphoto

Tips yang lain untuk mudah tidur ialah dengan tidur dalam keadaan yang gelap. Dalam agama Islam, Rasulullah S.A.W. menyarankan kita untuk tutup lampu sebelum tidur:

Janganlah biarkan api di rumah kalian menyala ketika kalian sedang tidur

HR Bukhari dan Muslim

Secara saintifik, cahaya yang terang dapat mengganggu kualiti tidur anda kerana ia menyekat penghasilan melatonin yang kemudiannya menurunkan kualiti tidur.

Oleh itu, biasakanlah untuk terdedah kepada cahaya yang terang seperti cahaya matahari pada waktu siang supaya pada waktu malam dalam keadaan yang gelap, anda akan lebih mudah untuk rasa mengantuk dan tidur.

Jom Sama-sama Cuba!

Banyak kan tips cara mudah tidur yang kita boleh cuba amalkan? Untuk yang beragama Islam, jangan lupa untuk selawat kepada Rasulullah S.A.W. dan baca doa tidur sebelum tidur ya. Semoga waktu malam kita lebih diberkati dan terjaga daripada segala keburukan.