KelabMama

Tips dan Cara Menggunakan Pregnancy Test Dengan Betul

pregnancy test

Buat bakal Mama yang membaca sekarang ni sedang fikirkan sama ada adakah anda sedang hamil? Mungkin anda sedang menantikan kehamilan pertama dan lewat datang haid, atau tarikh period yang tak regular serta pelbagai isu lain. Cara menggunakan pregnancy test di rumah ni agak mudah sebenarnya, namun ada beberapa perkara yang perlu diperhatikan terlebih dahulu supaya bakal Mama mendapat hasil yang tepat.

Pregnancy test ni check paras apa sebenarnya?

Ada dua cara untuk test hamil atau tidak di peringkat awal kehamilan. Pertama ialah home pregnancy test dan kedua adalah ujian darah di klinik atau hospital yang lebih memakan masa. Pregnancy test ini sebenarnya untuk check paras sejenis hormon bernama human chorionic gonadotropin (hCG) dalam urin ibu. Hormon hCG ni hanya akan ada apabila ibu-ibu hamil sahaja.

Apabila plasenta terbentuk, ia akan menghasilkan hormon hCG ketika telah melekat di dinding rahim. Anggaran masa adalah seminggu selepas tempoh persenyawaan. Paras hCG ni akan terus menaik hingga sekitar 12 minggu kehamilan. Jika period ibu tetap masanya, hCG biasanya dapat dikesan sehari selepas tarikh missed period. Ujian positif hamil itu bermaksud hormon hCG dikesan dalam badan.

Mama Siti akan bincangkan dengan lebih lanjut tentang penggunaan pregnancy test di rumah.

Tips persediaan untuk pregnancy test di rumah

Untuk dapatkan keputusan yang tepat terutama di hari-hari awal missed period, Mama-Mama boleh plan awal sebelum buat test ini.

1. Pastikan tarikh akhir haid sebelum ini

Biasanya wanita akan menyimpan tarikh-tarikh penting seperti tarikh dan tempoh period bulanan. Jika cycle adalah tetap atau normal sebelum ini dalam lingkungan 30 hari, maka mudah sahaja untuk membuat anggaran bila tempoh tepat untuk membuat ujian.

Anggarkan saja dalam tempoh 30 hari selepas tarikh akhir haid bulan sebelum dan masih belum didatangi haid, maka bolehlah kita buat ujian kehamilan di rumah.

Bagi wanita yang menggunakan kit ujian ovulasi untuk mengesan waktu subur, bolehlah anggarkan 14 hari selepas tarikh positif ovulasi untuk buat pregnancy test. Cara ini sangat bagus untuk wanita yang mahu hamil, namun mempunyai cycle period yang tidak tetap ataupun panjang, contohnya 40 ke 60 hari.

2. Dapatkan kit ujian kehamilan

Mana-mana farmasi berdekatan rumah Mama pasti ada menjual pregnancy test. Cuma mungkin terhad kepada beberapa jenis brand sahaja. Jika Mama segan untuk membeli secara fizikal di kedai, bolehlah dapatkan kit ujian kehamilan ini secara online sebelum waktu anggaran lewat period.

Semak dulu expiry date sebelum membuat pembelian. Pastikan tarikh pembuatannya adalah yang terkini. Manalah tahu mungkin penjual tak perasan. Selain itu, ibu-ibu bolehlah memilih kit ujian yang labelkan 99% accurate untuk dapatkan hasil ujian yang tepat.

Cara Menggunakan Pregnancy Test yang Betul

1. Baca arahan pada kotak produk

Bila kita dah bawa pulang kit ujian, pastikan Mama membaca dengan teliti arahan yang terdapat pada kotaknya – step by step penggunaan,, dan sebagainya. Ada kit yang menggunakan test strip di mana urin ditadah terlebih dahulu kemudian dicelupkan test strip ke dalamnya.

Ada ujian yang disertakan dropper dan perlu dititiskan urin di atasnya, dan ada juga jenis kit ujian yang mempunyai permukaan span penyerap khas untuk terus buang air kecil di atasnya.

Bagi Mama Siti, kaedah yang urin perlu ditadah dahulu sebelum ujian dibuat adalah agak renyah dan kemungkinan tumpahan boleh berlaku. Paling mudah mestilah kaedah buang air kecil terus di atasnya. Produk kegemaran Mama Siti setelah banyak kali test kehamilan ni pastilah produk Clearblue Digital.

2. Urin pertama di pagi hari

Bersedia dengan urin yang pertama di pagi hari sejurus bangun tidur. Urin ketika ini mempunyai paras kepekatan hCG tertinggi. Pastikan juga Mama tidak minum air 30 minit sebelum test kerana urin akan lebih cair.

Senang cakap, bangun je tidur, terus buat ujian kehamilan! Ini penting bagi Mama yang baru sahaja missed period sehari dua kerana ketika ini kepekatan hCG belum betul-betul tinggi.

Bagi bakal Mama yang sudah lewat haid melebihi dua minggu, biasanya waktu membuat ujian adalah tidak begitu sukar untuk dirancang kerana paras hCG dalam badan telah semakin meningkat.

3. Bersihkan tangan

Mulakan dengan membersihkan tangan, kemudian buka balutan pakej kit ujian. Ini untuk mengelakkan kemungkinan kontaminasi dan jika berlaku sentuhan sebelum ujian bermula.

4. Kaedah pengambilan urin

Penting untuk dapatkan urin bahagian tengah, midstream sample, iaitu buang sedikit urin pertama, urin selepasnya adalah dikira midstream sample. Pastikan apakah jenis kit ujian kehamilan yang dibeli terlebih dahulu, kemudian gunakan baki urin untuk pregnancy test ini.

a) Kaedah buang air kecil secara terus di atas kit ujian

Sila bersedia dengan kit ujian di tangan dengan bahagian tetingkap keputusan menghadap ke atas. Sambil buang air kecil, pastikan gunakan aliran midstream sample dan ia melalui bahagian span penyerap pada kit ujian.

Berapa lama aliran diperlukan? Cuba semak arahan di pakej produk sebelum ujian dibuat. Ada yang memberi arahan 5 ke 10 saat dan pelbagai lagi.

Ada juga produk yang menunjukkan perubahan warna span penyerap daripada putih kepada pink jika sudah terkena aliran urin yang cukup. Menarik bukan?

b) Kaedah tadahan urin

Pastikan bekas tadahan urin bersih daripada kekotoran dan kering daripada sebarang jenis cecair. Ini boleh mengganggu ketepatan ujian. Gunakan midstream sample juga, sama seperti di atas.

Untuk test strip, boleh dicelupkan ke dalam bekas tadahan sebentar hingga kelihatan sudah habis menyerap dan pergerakan cecair urin naik ke atas. Biasanya pengeluar akan sediakan dropper bagi kit yang memerlukan titisan urin. Just guna sahaja dropper dan ikut arahan pada pakej, berapa titiskah urin yang diperlukan untuk hasil yang tepat.

5. Letakkan di tempat mendatar

Selepas langkah menggunakan urin selesai, langkah seterusnya inilah yang mendebarkan iaitu nak tunggu keputusan! Pastikan kit ujian kehamilan diletakkan elok mendatar di atas permukaan yang rata dan kering. Pastikan tetingkap keputusan ujian menghadap atas.

6. Perhatikan control window

Tetingkap kawalan ni penting sebagai penanda aras kit ujian berfungsi dengan baik. Biasanya tetingkap kawalan ni terus keluar garis di awal ujian. Jika tetingkap kawalan tidak menunjukkan apa-apa keputusan, ini bermakna kit ujian itu rosak.

Kena beli yang lain lah ye Mama. Jangan tunggu keputusan lagi. Boleh beri maklum balas kepada syarikat pengeluar juga untuk ganti rugi dan tambah baik.

7. Melihat hasil ujian

Pastikan anda telah baca label pada pakej produk untuk mengetahui berapa lama waktu diperlukan untuk menunggu hasil ujian. Ada test boleh secepat satu minit sahaja. Jadi, bila cukup tempoh waktu seperti yang telah dinyatakan, bolehlah Mama lihat hasilnya.

Lain-lain jenis ujian akan memberi bentuk keputusan berbeza. Jadi pastikan Mama dah baca dan tengok gambar bagaimana rupa hasil keputusan ujian pregnancy test positif atau negatif yang biasanya ada diletakkan pada pakej produk.

Ada kit ujian yang tunjukkan dua garis merah, ada kit ujian yang beri tanda simbol tambah atau tolak. Ada ujian menunjukkan perkataan ‘pregnant‘ atau ‘not pregnant‘.

Bagi kit ujian kehamilan jenis garis merah atau simbol tambah, tidak kira betapa samar pun, tetap dikira positif. Sebab kit ujian tu dah detect paras hCG dalam urin. Hormon hCG tidak akan langsung ada jika ibu-ibu tidak hamil.

Jika Ujian Kehamilan Negatif

Boleh cuba lagi test kehamilan selepas 5 hari dengan menggunakan tips dan cara menggunakan pregnancy test di atas.

Mungkin hormon hCG belum cukup tinggi untuk dikesan oleh kit ujian. Jika masih berterusan negatif walau selepas seminggu, bakal Mama yang memang mahu hamil, janganlah bersedih. Cuba lagi, semoga beroleh berita baik.

Jika Ujian Kehamilan Positif

Mama boleh mendapatkan nasihat doktor dalam anggaran selepas 6 minggu ke atas. Ujian ultrasound akan dilakukan untuk mendengar degup jantung janin. Jika belum kelihatan, boleh tunggu lagi beberapa minggu.

Mama Siti sentiasa mendoakan ibu-ibu mendapat kehamilan yang sihat. Jangan lupa untuk semak artikel di sini untuk mengetahui tanda-tanda kehamilan seterusnya.