KelabMama

Cara Membuat Air Selusuh Yang Dikatakan Dapat Membantu Memudahkan Proses Kelahiran

cara membuat air selusuh

Air selusuh sangat sinonim dengan kelahiran kan. Ramai Mama yang sedang mengandung, apabila dah hampir jangkaan waktu bersalin, pasti akan meminta dibuatkan air selusuh ini kerana percaya ia membantu memudahkan kelahiran. Seperti doa agar isteri mudah bersalin untuk suami, ramai juga yang mencari cara membuat air selusuh sebagai panduan si suami.

Biasanya air selusuh diberi gambaran untuk memudahkan proses bersalin dengan memendekkan tempoh bertarung untuk melahirkan. Air ini dinasihatkan untuk diminum oleh ibu hamil ketika sakit bersalin telah bermula.

Kali ni Mama Siti nak kupas dengan lebih mendalam di sebalik air selusuh dan semua amalan yang biasa dikongsikan di luar sana.

Bacaan untuk Membuat Air Selusuh

Mama Siti kongsikan satu ayat Al-Quran tentang bagaimana ayat-ayat suci ini boleh menjadi ubat penawar.

“Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Ayat-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya;..”

(Surah al-Isra’: 82)

Menurut ayat di atas, telah Allah SWT katakan, Al-Quran sebagai ubat penawar dan rahmat. Maka ahli yang faqih dalam bidang ini telah sepakat membenarkan sebarang pengubatan menggunakan ayat-ayat Al-Quran.

Imam al-Nawawi berkata sunat hukumnya membacakan Al-Fatihah kepada orang sakit, bersandarkan kepada dalil daripada hadith Riwayat al-Bukhari (5736) dan Muslim (2201),

“Tidakkah kamu ketahui bahawa surah Fatihah bersifat ruqyah.”

Ruqyah bermaksud membacakan ayat-ayat Al-Quran dengan tujuan untuk mengubati pesakit. Untuk Mama lebih faham, konsep sama seperti bacaan doa kepada air selusuh, namun dengan ayat-ayat Al-Quran dan doa-doa yang benar.

Cukup Sekadar Bacaan Al-Fatihah untuk Air Selusuh

Surah Al-Fatihah adalah ibu Al-Quran, pembuka kepada Al-Quran. Antara kelebihan surah Al-Fatihah yang disampaikan melalui hadith di bawah.

Imam Muslim RH meriwayatkan daripada Ibn Abbas RA, beliau berkata:

“..Lalu turun satu malaikat dari pintu tersebut yang mana malaikat itu tidak pernah turun melainkan hari ini. Maka ia menemui Nabi Muhammad SAW dan berkata: “Hendaklah engkau bergembira dengan dua cahaya yang diberikan kepadamu, yang tidak pernah diberikan kepada seorang Nabi pun sebelummu, iaitu surah al-Fatihah dan beberapa ayat akhir pada surah al-Baqarah. Tidaklah engkau membaca satu huruf pun daripada kedua-duanya, melainkan apa yang engkau pohon pasti akan dikabulkan oleh Allah.”

Bagaimana Cara Membuat Air Selusuh yang Selari dengan Ajaran Islam?

Jadi, cara membuat air selusuh berdasarkan amalan yang sahih dalam perubatan yang bersandarkan kepada Al-Quran dan hadith adalah seperti berikut:

1. Air mineral untuk membuat air selusuh

Memadai bagi ibu-ibu untuk mencari air mineral beberapa botol yang dikehendaki. Bukakan penutupnya supaya bacaan yang baik-baik sampai kepada molekul air. Sangatlah baik jika ibu-ibu boleh mendapatkan air zam-zam kerana kebaikannya yang lebih besar.

2. Bacakan Al-Fatihah dalam air selusuh

Ibu-ibu boleh membacakan sendiri surah Al-Fatihah ke dalam air tersebut. Bacalah dengan tajwid yang baik serta menghayati bait-bait maksud setiap ayatnya. Supa ibu-ibu leboh menjiwai surah pembuka Al-Quran dan mengapa ia menjadi penawar pelbagai penyakit.

Memang, orang terbaik untuk membacakan ruqyah buat kita, adalah diri kita sendiri. Tidak kira betapa banyak dosa yang dipikul, doa kita untuk diri tetaplah paling baik di sisi Nya.

Membacakan sendiri bacaan ruqyah sangat diutamakan dalam Islam berbanding didoakan oleh orang lain, hatta kita telah melakukan dosa-dosa besar. Bahagian ni bagi Mama Siti sangat indah dalam Islam. Kita semua sama disisiNya apabila kita teruji.

Dalam kitab tulisan Ibnu Qayyim, doa orang yang diuji, dalam kes ini, ibu-ibu hampir nak melahirkan, lebih diangkat kerana diri sendiri sedang menghadapi ujian tersebut dan memohon diangkat ujian dan kesusahan yang dialami.

Kita semua tahu bagaimana sukarnya proses melahirkan. Perasaannya antara hidup dan mati, kan?

3. Minum atau sapu air selusuh

Boleh terus minum airnya di kala memerlukan. Sebanyak mana yang mampu. Biasanya ibu-ibu yang dalam proses nak melahirkan ini, mampu minum sekadar membasahkan bibir yang lelah menarik nafas ketika gesaan melahirkan datang.

Selain itu, boleh juga dibuat sebagai sapuan ke tempat sakit. Ibu-ibu yang sedang sakit melahirkan ini, sakitnya berbeza tempat. Unik bagi setiap ibu. Jadi, orang yang menemani seperti suami, boleh sahaja tolong sapukan ke kawasan abdomen, pinggang, pinggul dan sebagainya ketika ibu menahan kesakitan.

Bacaan Doa ketika Ingin Melahirkan

Selain itu, ibu-ibu boleh amalkan mengulang doa Nabi Yunus A.S banyak kali, sebelum dan semasa proses melahirkan. Mama Siti memang terkesan sangat dengan kisah di sebalik doa ini. Doa ini dibacakan Nabi Yunus A.S ketika saat kesukaran iaitu terperangkap dalam perut ikan yang kegelapan. Seolah tiada sudah jalan keluar dan pastilah mati kita ditelan ikan, kan?

Namun berkat doa Nabi Yunus A.S ini, Allah lorongkan jalan keluar daripada perut ikan dan terselamatlah.

Sabda Rasulullah dalam hadith riwayat Ahmad:

“Sesungguhnya tidak ada muslim yang berdoa dengannya untuk apa saja (hajatnya), melainkan akan dimakbulkan Allah doanya itu.”

Doa Nabi Yunus sebagai Doa Terbaik

Doa Nabi Yunus A.S ini adalah contoh doa terbaik kerana mempunyai elemen:

1. Tauhid

Ayat pertama frasa seruan ‘tidak ada Tuhan yang dapat menolong selain Engkau Ya Allah’ adalah elemen mengesakan Allah sebagai Tuhan yang satu, dan satu-satunya sumber kita memohon pertolongan.

2. Tasbih

Tasbih bermaksud kata pujian kepada Allah seperti ungkapan frasa kedua dalam doa di atas, ‘Maha Suci Engkau’. Selayaknya pujian hanya untuk Allah atas segala ujian dan nikmat, tanda kita hamba yang bersyukur.

3. Istighfar

Istighfar adalah memohon ampunan Allah atas dosa dan kesilapan yang mungkin telah dilakukan tanpa sedar ataupun tidak. Ia menggambarkan satu bentuk kembalinya hamba kepada Pencipta.

Ketiga-tiga elemen ini menjadi doa rendah diri yang lengkap. Jika dilihat kembali, tiada satupun frasa memohon dikeluarkan daripada perut ikan atau diringankan kesusahan. Ini kerana tiga elemen besar dalam doa telah menjadi tunjang utama pengabulan doa hamba.

Bahawa Tuhan akan mengabulkan dalam bentuk yang terbaik di sisiNya pada masa dan keadaan yang tepat, di luar jangkaan kita. Juga di luar segala permintaan hati kita sebagai hamba yang lemah dalam merencana kehidupan.

Gambaran Cara Membuat Air Selusuh Sebenar

Maka cara membuat air selusuh sebenar dalam Islam, mudah sahaja kan ibu-ibu? Bacaan Al-Fatihah yang ringkas tapi difahami maknanya, sebagai pengubat. Cara ringkas tapi sungguh bermakna ini, semoga dapat terus disampaikan juga kepada rakan-rakan ibu hamil di luar sana.

Boleh lihat juga tips persediaan sebelum bersalin di sini. Semoga kelahiran ibu-ibu dipermudahkan Allah!