KelabMama

8 Cara Berkesan Hilangkan Sakit Gigi

Sumber: istockphoto

Aduh… Mama Siti masih lagi teringat pengalaman apabila sakit gigi menyerang. Memang tak boleh tidur kalau terkena di malam hari kan?

Puncanya disebabkan Mama Siti lambat dapatkan rawatan sampaikan lubang gigi dah semakin besar. Memang berdenyut-denyut kepala dan telinga.

Nak jumpa doktor gigi pula, terpaksalah tunggu keesokannya. Jadi sementara tu, bermacam petua untuk hilangkan sakit gigi Mama Siti cuba tau.

8 Cara Hilangkan Sakit Gigi

Lain orang lain tindak balasnya kan? Jom cuba beberapa cara ini:

1.  Bawang putih

Sumber: istockphoto

Bawang putih terkenal sebagai makanan yang anti-radang dan antiseptik. Nilai perubatan yang ada pada bawang putih ini akan membantu untuk meredakan dan menghilangkan sakit gigi.

Antara kesan sakit gigi ialah, gusi kita akan membengkak. Dengan menghancurkan bawang putih menjadi pes dan tampal pada sekeliling gusi gigi yang sakit, radang pada gusi akan reda.

Bukan itu je, sifatnya yang antiseptik dipercayai dapat membunuh kuman dan bakteria yang menyebabkan gigi anda sakit.

Tapi tahanlah sikit rasa menyengat bawang putih tu ya.

2. Air garam

Sumber: istockphoto

Ini memang kaedah yang paling diamalkan kan dalam masyarakat kita? Bila sakit gigi atau terjadinya ulser dalam mulut, orang tua-tua memang akan suruh kita kumur dengan air garam.

Amalan mereka itu sebenarnya memang berasas tau. Mama Siti pun pernah cuba dan memang ia berkesan. Caranya senang sahaja.

Larutkan satu sudu kecil garam ke dalam air suam, sebaiknya air bersih yang bertapis. Kemudian berkumur je dengan air garam tu.

Lakukan selama beberapa kali setiap kali sakit datang menyengat. Fokuskan pada kawasan gigi yang sakit ya. InsyaAllah, sakit gigi anda akan beransur hilang.

3. Bunga cengkih

Sumber: istockphoto

Perasan tak, banyak jenama ubat gigi dan produk penjagaan mulut sekarang menggunakan bunga cengkih sebagai salah satu kandungannya? Ini kerana khasiat bunga cengkih itu memang terbukti berkesan ya.

Ia dapat menghilangkan bau mulut, membunuh kuman dan meredakan sakit gigi. Walaupun gigi anda berlubang besar, bunga cengkih dapat mengurangkan dan menghilangkan sakit gigi anda. Ini kerana menurut colgate.com, padanya terkandung eugenol iaitu anestetik semula jadi. Eugenol inilah yang membuatkan lidah anda terasa kebas apabila tergigit bunga cengkih.

Caranya, anda hanya perlu ambil sebiji bunga cengkih dan basuh bersih. Kemudian gigit di kawasan gigi yang tidak sakit supaya keluar khasiatnya dan alihkan menggunakan lidah ke kawasan gigi yang sakit. Biarkan ia di situ dan perlahan-lahan, gusi anda akan terasa kebas dan sakit akan mereda.

Untuk lebih senang, anda boleh guna minyak kayu cengkih ya. Bergantung kepada kepekatan minyak itu, sama ada anda titiskan terus pada kapas dan letakkan di kawasan gigi yang sakit ataupun larutkan terlebih dahulu.

Ia boleh juga dicampurkan dengan air untuk berkumur. Bergantung kepada keadaan anda ya, cara mana yang lebih mudah.

4. Limau nipis

Sumber: istockphoto

Selain meletakkan pes atau kepingan bawang putih di kawasan gigi yang sakit, anda boleh juga cuba letakkan potongan limau nipis ya. Ini kerana, menurut Little Rock Family Dental Care, buah limau nipis dan lemon mengandungi citric acid dan vitamin C yang dipercayai dapat membunuh bakteria dan meningkatkan imun sistem.

Gigitlah secara lembut potongan limau nipis yang diletakkan di kawasan gigi yang sakit tu ya. Biarkan jusnya keluar sedikit demi sedikit dan jika perlu, gantikan dengan potongan yang baru.

5. Halia

Sumber: istockphoto

Berdasarkan perkongsian dari Karthik Kumar, halia pun boleh kurangkan sakit dan bengkak gigi tau. Seperti kaedah yang menggunakan limau nipis, anda letakkan kepingan halia di kawasan gigi yang sakit.

Gigitlah halia yang telah dipotong dan dikupas kulitnya itu secara perlahan-lahan. Biarkan jus halia keluar dan mengalir ke kawasan sekeliling. Dalam sejam atau dua, insyaAllah sakit gigi anda akan berkurangan.

Tapi jika perlu, bolehlah digantikan dengan kepingan yang baru juga.

6. Ais batu

Sumber: istockphoto

Selain itu, tuam di kawasan gigi yang sakit dengan ais batu juga dapat mengurangkan sakit. Menurut Christine Frank, ais batu yang sejuk dapat menyempitkan saluran darah dan ini seterusnya akan mengurangkan rasa sakit yang dialami.

Bengkak dan radang pada gusi dan gigi juga akan berkurangan tau. Ambil je beberapa ketulan ais batu dan bungkuskan dalam tuala. Kemudian tuam di kawasan gigi yang sakit selama beberapa minit.

Kesannya, kawasan itu akan terasa kebas dan sakit gigi anda akan lebih reda. Cubalah cara hilangkan sakit gigi ini ya!

7. Asam jawa

Sumber: istockphoto

Cara mudah yang lain untuk hilangkan sakit gigi ialah dengan menggunakan asam jawa. Berdasarkan perkongsiannya, Jeremiah menyatakan kandungan dalam asam jawa dipercayai dapat membersihkan plak dan bakteria yang menyebabkan sakit gigi.

Sama ada anda ingin berkumur dengan air asam jawa atau tampal pes asam jawa pada kawasan yang sakit, dua-dua kaedah pun boleh.

Bukan tu je, asam jawa juga dapat menyejukkan gusi yang bengkak tau! Ini sesuai untuk meredakan sakit akibat gigi bongsu yang sedang tumbuh.

8. Doa hilangkan sakit gigi

Sebelum berusaha bermacam cara, Mama Siti ingin mengingatkan supaya janganlah lupa untuk didahulukan dengan doa. Peganglah di kawasan gigi yang sakit dan mulakan bacaan dengan surah Al-Fatihah dan selawat kepada Rasulullah S.A.W. terlebih dahulu.

Kemudian teruskan membaca doa untuk merawat sakit gigi ini:

Sumber: web.facebook.com/anugerahwellness

InsyaAllah, sakit gigi anda akan berkurangan. Yakin ya?

Jagalah Kesihatan Gigi Anda

Sakit gigi bukan main-main malah ia boleh menjadi serius dan menyebabkan masalah kesihatan yang lain. Oleh itu, jagalah kesihatan gigi anda ya. Sentiasalah berus dan floss gigi dengan betul. Apabila kesihatan oral anda terjaga, Mama Siti yakin, sakit gigi akan dapat dielakkan.