KelabMama

Kurap? Datang Dari Mana? Boleh Sembuh Tak? 12 Cara Hilangkan Kurap

cara hilangkan kurap

Kurap di anggota badan boleh disembuhkan dengan cara semulajadi iaitu dengan menggunakan tumbuh-tumbuhan seperti minyak daun teh, kunyit dan lengkuas. Namun begitu, cara hilangkan kurap juga boleh dilakukan dengan menggunakan beberapa produk yang disyorkan oleh pakar.

Masalah kurap boleh diselesaikan dengan rawatan menggunakan ubat-ubatan. Ubat salap, krim dan syampu anti kulat antara contoh produk untuk menghilangkan kurap di badan. 

Cara-cara yang Mama Siti akan kongsikan ini juga boleh diaplikasikan di bahagian badan yang terbuka seperti lengan dan yang tersembunyi seperti ketiak. Tetapi, keberkesanannya berbeza ya.

Cara Hilangkan Kurap Yang Berkesan

#1 Ubat Salap (Ointment)

Kredit gambar: Beauty Insider Malaysia

Menurut pakar, cara ini ialah yang paling berkesan memulihkan jangkitan kurap. Disebabkan bahan asas ubat salap ialah berasaskan minyak, jadi ianya menempel lebih kuat di kulit. 

Selain itu, ubat salap atau ointment juga lebih berkesan terutamanya pada kulit yang tebal dan selalu bergesel.

#2 Krim

Kredit gambar: Shopee

Manakala krim pula ialah ubat kurap yang berasaskan air. Cara memilih krim kurap yang sesuai ialah melalui kandungan bahannya. Contohnya yang mengandungi clotrimazole, miconazole dan terbinafine. Kalau Mama ada kurap di bahagian muka, maka krim ialah yang paling sesuai.

#3 Ubat Sapu Organik

Ubat sapu organik ialah ubat kurap yang dihasilkan dengan bahan-bahan semulajadi. Jika Mama inginkan rawatan tanpa bahan kimia, ubat sapu organik ialah jawapannya. Tetapi Mama Siti ingin ingatkan agar Mama memilih produk yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 

#4 Syampu Anti Kulat

Bagi yang dijangkiti kurap di bahagian kulit kepala, Mama disarankan untuk menggunakan syampu anti kulat yang boleh didapati di kedai atau farmasi. Paling penting Mama perlu pastikan kandungan syampu terdapat bahan-bahan seperti berikut;

  1. Ketoconazole
  2. Selenium sulfide
  3. Pyrithione zinc

#5 Biarkan Kulit Bernafas

Cara berpakaian juga mempengaruhi proses pemulihan kurap. Mama Siti faham, kita segan bila orang memandang bahagian badan yang berkurap. Sebolehnya kita nak tutup tempat yang berkurap dengan macam-macam jenis pakaian. 

Namun begitu pastikan pakaian Mama tidak ketat, berseluar panjang dan berlengan panjang. Tujuannya ialah supaya kulit boleh bernafas dan tidak menjangkiti orang lain. 

#6 Losyen 

Kredit gambar: Shopee

Rawatan kurap di bahagian ketiak dan pelipat kaki sangat sesuai disapukan losen. Penggunaan losen paling sesuai disapukan di bahagian kulit terlindung dan kawasan berbulu. Di pasaran, ia boleh didapati dengan label antifungal. Gunakan sekali setiap hari hingga kulit anda pulih dari penyakit kurap.

#7 Kunyit

Pertama sekali, sediakan serbuk kunyit, air dan minyak kelapa. Seterusnya, tambahkan air atau minyak kelapa sedikit demi sedikit hingga menjadi pes. 

Kemudian, barulah disapukan di tempat yang berkurang dan biarkan sehingga ianya kering. Kelebihan menggunakan cara ini ialah mengurangkan risiko mendapat jangkitan kurap selepas ini. 

#8 Lengkuas

Kredit gambar: Detik Health

Kenapa lengkuas sesuai untuk rawatan kurap? 

Lengkuas berperanan sebagai anti kulat ke atas kulit manusia. Oleh itu, ia menghapuskan fungus yang mengakibatkan kurap. 

Mama potong kecil atau tumbuk lengkuas kemudian lumurkan di bahagian kulit yang berkurap lalu biarkan sehingga kering. Setelah beberapa minit, bilaskan dengan air suam.

#9 Daun Kemangi

Kredit gambar: Google

Ternyata daun kemangi mengandungi kapur barus dan thymol. Ia mengurangkan rasa gatal dan dalam masa yang sama mengelakkan seseorang menggaru bahagian kurap itu. 

Cara hilangkan kurap ialah tumbuk halus daun kemangi dan lumurkan di tempat yang berkurap. Biarkan sehingga 30 minit sebelum dibersihkan. 

#10 Minyak Kelapa

Cara-caranya adalah dengan membersihkan bahagian yang berkurap lalu oleskan minyak kelapa. Lebih baik jika menggunakan kapas. Sapukan sebanyak empat hingga enam kali sehari agar segera hilang.

#11 Minyak Daun Teh (Tea Tree Oil)

Minyak daun teh ada fungsi anti-radang. Oleh itu, minyak daun teh ialah cara yang mudah mengubati penyakit kurap. Cara hilangkan kurap dengan minyak daun teh adalah dengan mencampurkannya dengan pelembab dan oleskan di tempat berkurap.

#12 Campuran Minyak Zaitun, Madu dan Lilin Lebah

Caranya adalah dengan mencampurkan minyak zaitun, madu dan lilin lebah (beeswax) dengan catuan 1:1:1. 

Tip ini dikatakan berkesan untuk merawat kurap dibahagian selangkang atau celah kangkang.

Tips Untuk Mencegah Kurap

#1 Cuci Cadar & Sarung Bantal

Terutamanya jika ada tetamu menginap di rumah Mama. Seeloknya kita mengambil langkah pencegahan dengan mencuci cadar dan selimut yang digunakan oleh tetamu. 

Rutin menukar cadar dan sarung bantal perlu dilakukan sebanyak dua kali sebulan ataupun setiap dua minggu. 

#2 Elak Bersentuhan Dengan Individu dan Haiwan Yang Dijangkiti

Kurap berpindah melalui manusia dan haiwan. Oleh itu, Mama Siti cadangkan supaya Mama menasihati anak-anak untuk mengelakkan diri daripada bersentuhan dengan mereka yang dijangkiti kurap.  

#3 Tukar Seluar Dalam dan Stoking

Demi menjaga kebersihan dan mengelakkan jangkitan kurap, hendaklah selalu menukar pakaian dalam dan stokin setiap kali selepas digunkan.  

Pakaian kotor menggalakkan lagi pembiakan bakteria dan mengakibatkan kurap merebak dengan kadar yang lebih pantas. 

#4 Mandi Selepas Berpeluh

Bahan kumuh dari badan sebaiknya segera dibersihkan. Jadikan rutin mandi setiap kali melakukan aktiviti seperti bersenam, bersukan atau apa-apa aktiviti yang mengeluarkan peluh. 

Jika dibiarkan ia akan menyebabkan pertumbuhan kulat di bahagian badan seperti kurap dan panau.

#5 Alas Kaki Dalam Tandas

Kurap air selalunya berpunca dari dalam bilik air. Kaedah untuk mengelakkan kurap air adalah dengan memakai selipar setiap kali masuk ke tandas.

Kesemua 12 cara hilangkan kurap tadi boleh disesuaikan mengikut keadaan Mama. Manfaatkan bahan yang sedia ada di rumah. Kurap perlu dirawat segera, jika tidak ia akan merebak ke anggota badan lain.

Lebih membimbangkan disebabkan sikap sambalewa seseorang yang mengabaikan langkah pencegahan mengakibatkan orang lain dijangkiti. Disebabkan itu, Mama Siti senaraikan juga tips mencegah kurap agar cepat sembuh.  Jom baca cara hilangkan parut jerawat pula!


Dapatkan tips dan panduan kesihatan Mama dan Papa yang lain DI SINI.