KelabMama

12 Cara Mujarab Hilangkan Gastrik Melalui Makanan, Minuman dan Gaya Hidup

Pernahkah Mama mengalami sakit di bahagian perut hingga mengganggu urusan seharian? Jika ya, berkemungkinan besar Mama sedang mengalami gastrik. 

Keadaan yang tidak menyenangkan itu perlu segera disembuhkan agar sakitnya tidak melarat. Oleh itu, Mama Siti kongsikan 12 cara mujarab menghilangkan gastrik melalui makanan, minuman dan gaya hidup. 

Sehubungan dengan itu juga Mama Siti kongsikan secara ringkas berkenaan gastrik dan punca-puncanya. 

Apa Itu Gastrik?

Kredit gambar: Freepik

Gastrik ialah keadaan keradangan di dalam perut yang menyebabkan dinding perut menjadi bengkak dan merah. 

Ianya berlaku kerana kegagalan lapisan perut melindungi perut daripada asidnya sendiri. Akibatnya, sel perut mulai terganggu dan menyebabkan ulser dan pendarahan

Nota: Lapisan asid dalam perut berperanan memecahkan nutrien makanan dan bakteria

Punca-Punca Gastrik Selain Bakteria!

Kredit gambar: Freepik
  1. Makan makanan pedas secara berlebihan dan tidak terkawal
  2. Refluks hempedu- jus pencernaan dari saluran hempedu berpatah balik ke perut
  3. Pengambilan ubat antiradang bukan steroid (NSAID) secara berkala seperti aspirin, ibuprofen dan ubat tahan sakit lain. 
  4. Autoimun– sistem imun menyerang sel dan tisu dalam badan terutamanya lapisan perut
  5. Faktor usia. Semakin berusia seseorang individu, semakin tinggi risiko gastrik. Ini kerana lapisan perut akan semakin menipis seiring usia. 

12 Cara Hilangkan Gastrik Melalui Makanan, Minuman dan Gaya Hidup

#1 Makan Banyak Probiotik

Pengambilan probiotik dalam badan akan meningkatkan fungsi sistem penghadaman dan menggalakkan pergerakan usus yang lebih baik. 

Apabila bakteria baik dari probiotik dibawa masuk ke dalam sistem penghadaman, ia berupaya menghentikan pembiakan bakteria H. pylori.

Contoh makanan yang tinggi probiotik ialah:

#2 Bawang Putih

Setakat ini bawang putih hanya mampu mengurangkan simptom sakit gastrik sahaja. Ia hanya bertindak sekiranya gastrik itu berpunca daripada bakteria jahat H. pylori.

Ada orang yang mampu mengunyah bawang putih tetapi ada juga yang perlu pelbagaikan cara hidangan. Mama boleh amalkan makan bawang putih melalui menu ‘Garlic Spread’ iaitu mentega yang dicampurkan dengan bawang putih cincang yang telah disangai. 

Selain itu, Mama juga boleh tambahkan bawang putih dalam masakan setiap hari yang bersesuaian. 

#3 Air Nasi

Kredit gambar: BukaReview

Air nasi yang Mama Siti maksudkan bukan bermaksud bubur nasi seperti yang difahami di sebahagian tempat. 

Ketika menanak nasi, Mama lebihkan air dalam periuk. Kemudian, apabila nasi sudah masak, Mama boleh cedukkan air nasi yang berlebihan tadi. 

Air nasi boleh diminum ketika suam atau sejuk mengikut keselesaan Mama atau Papa. 

Bahan kandungan dalam air nasi dikatakan mampu memperbaiki lapisan perut dan mengurangkan sakit gastrik. 

#4 Minum Teh Hijau

Hanya dengan minum satu cawan seminggu, teh hijau mampu menjadi petua berkesan menghilangkan gastrik seseorang. 

Kajian menunjukkan bahawa teh hijau bertindak balas membunuh bakteria H. pylori di dalam saluran penghadaman.

#5 Teh Chamomile

Kredit gambar: Freepik

Bagi Mama yang belum tahu, teh chamomile ialah ekstrak bunga chamomile yang berasal dari negara Eropah. Ianya sering menjadi remedi dalam penyembuhan penyakit di tahap ringan. 

Teh chamomile yang diminum oleh pesakit gastrik akan merehatkan otot  di kawasan perut dan saluran pemakanan. 

Hasilnya, kesan ‘contractions’ dapat dikurangkan dan meringankan sakit gastrik di perut. 

Nota: Teh chamomile ialah minuman bebas kafein dan berbau harum.

#6 Susu, Serbuk Kayu Manis & Madu

Kredit gambar: Indiatimes.com

Tengok pada bahan, boleh bayangkan rasa berlemak susu, aroma kayu manis dan ditambah pula dengan rasa manis madu. 

Paduan aroma yang menyenangkan tekak. Silap-silap kita yang tak kena gastrik ni pun ikut minum sama. 

Cara menyediakan susu anti gastrik;

Campurkan ¼ serbuk kayu manis dan 1 sudu madu ke dalam 1 gelas susu. Kemudian, panaskan campuran tersebut agar semua khasiatnya menyatu. Minum apabila air menjadi suam. 

#7 Daun Jambu Batu

Orang tua pesan kalau nak sembuhkan sakit gastrik kena guna daun buah jambu batu. Pertama sekali, rebus daunnya sehingga mendidih. Selepas itu, tapis air yang dijerang tadi supaya serat dan zarah yang besar dapat diasingkan. 

Amalkan minuman ini ketika Mama dan ahli keluarga terkena gastrik. 

#8 Daun Kunyit dan Susu

Kredit gambar: garden Drum

Banyak kelebihan bila kita tanam pokok kunyit di rumah. Boleh buat masak, nak jadikan ubat pun boleh. 

Petik sehelai daun kunyit dan cuci dengan air bersih. Selepas itu, daun kunyit perlu ditumbuk lumat sebelum dicampurkan dalam segelas susu. 

Amalkan minuman campuran ini apabila gastrik menyerang dan teruskan sehingga sakit mula reda.

#9 Cara Hilangkan Gastrik Dengan Halia

“Halia dalam minuman atau masakan ya Mama Siti?”

Mama Siti cadangkan dalam kedua-duanya sekali. Sebenarnya yang menyebabkan halia mampu menghilangkan sakit gastrik kerana sifat anti-inflamatori yang terkandung dalamnya. 

Tambahan pula, halia juga dikenali sebagai herba yang membuang angin dalam perut. Oleh itu, sakit gastrik akan pulih secara beransur-ansur. 

Makanan berangin termasuklah:

#10 Cuka Epal

Salah satu faktor gastrik ialah refluks hempedu dimana jus pencernaan dari saluran hempedu berpatah balik ke perut.

Amalan minum cuka epal atau ‘apple cider vinegar’ mampu menstabilkan kandungan asid dalam perut sekaligus mencernakan makanan dengan lebih baik. 

#11 Minyak Pati (Essential Oil)

“Sakit kan dekat dalam perut, macam mana nak gunakan minyak pati ni Mama Siti?”

Tak perlu gusar Mama semua. Sekarang kan dah ada alatan rumah iaitu diffuser yang membantu menyembuhkan sakit gastrik. 

Beberapa minyak pati yang disyorkan ialah pati pudina, halia dan cengkih. Namun begitu, Mama Siti nak ingatkan agar Mama sentiasa merujuk doktor kerana minyak pati mempunyai kesan sampingan kepada individu terutamanya kanak-kanak. 

#12 Kawal Pemakanan

Kredit gambar: Freepik

Makanan dengan tahap kepedasan melampau sudah menjadi sebahagian dari gaya hidup masa kini. Tapi sedarkah kita, makan makanan terlalu pedas akan mengakibatkan keradangan pada lapisan perut. 

Oleh itu, ayuh kita ambil peduli makanan yang dimakan agar dapat mencegah dan mengurangkan gastrik. 

Kredit gambar: Freepik

Ternyata faktor gastrik boleh disebabkan oleh pemakanan, tindak balas biologi dalam perut dan penyakit tertentu.

Justeru, Mama perlu cuba amalkan cara hilangkan gastrik supaya dapat melegakan sakit dengan kadar segera. 

Semoga perkongsian ini bermanfaat dan dapat meredakan gastrik Mama. 


Dapatkan lebih banyak tips kesihatan yang lain di SINI!