KelabMama

Ingat Masuk Fridge Dah Selamat? Rupanya Ada Cara Betul Simpan Makanan dalam Fridge

cara simpan makanan dalam fridge

Kalau Mama beli barang dapur seminggu sekali atau dua minggu sekali, memang wajib tahu cara simpan makanan dalam fridge yang betul. Salah teknik sikit je, sayur dah layu, ayam sampai keluar air, bawang bertunas dan cili pula dah kecut.

Rugi duit, buang mood masak, dan buang masa pula kena ke kedai balik. Jadi, jom Mama Siti share petua dapur yang mak-mak selalu guna, senang tapi hasilnya WOW!

Kadang-kadang perit juga bila barang dapur cepat rosak, kan Mama? Baru beli hujung minggu, selasa dah layu, lembik atau berkulat. Lagi-lagi bila rumah ada anak kecik, masa nak ke pasar pun terhad.

Sebab tu cara penyimpanan sangat penting. Bila Mama tahu teknik betul, sayur boleh tahan lama, ayam ikan kekal fresh, dan barang kering pun tak bersemut. Jom Mama Siti kongsi cara simpan makanan atau lauk dalam fridge (atau mungkin di luar) yang paling senang, praktikal dan mesra poket!

Cara Simpan Sayur supaya Kekal Segar

Sayur memang ‘manja’ dan cepat lembik bila ada air atau tersimpan sembarangan, tapi dengan teknik betul, Mama boleh buat sayur kekal segar sampai 1–2 minggu. Rahsianya, balut sayur dengan tisu atau letak alas tisu dalam bekas kedap udara untuk serap kelembapan berlebihan, ni yang buat sayur masih segar macam baru beli.

Jangan sumbat semua jenis sayur dalam satu bekas sebab ada sayur, macam tomato atau timun, yang keluarkan gas dan percepatkan rosak sayur lain, simpan asing-asing ikut kategori sayur daun, sayur keras, dan sayur berbuah.

Tip bonus, jangan buang akar sayur berakar macam pak choy atau bayam sebab akar simpan kelembapan, kalau sayur dah hampir layu, rendam akar dalam air 10–15 minit, confirm segar balik.

Cara Simpan Ayam dan Daging

Nak pastikan ayam kekal fresh walaupun dah beku sampai 2 minggu, rahsianya terletak pada cara simpan yang bijak.

Bahagikan ayam ikut portion masakan supaya tak perlu defrost sekilo semata-mata nak guna dua ketul, sebab defrost dan freeze balik boleh rosakkan struktur ayam.

Nak bagi Mama senang kawal stok lauk, tulis tarikh masuk peti ais. Biasanya ayam dan daging boleh tahan hingga 2 minggu kalau disimpan di bahagian sejuk beku.

Jangan lupa keluarkan udara dalam beg sampai betul-betul kosong, lagi kurang udara, lagi lambat ayam rosak dan tak berhabuk ais. Dengan teknik ni, ayam Mama kekal sedap dan ready-to-cook bila-bila masa.

Cara Simpan Ikan

Nak pastikan ikan kekal segar, tak berbau dan tak lembik walaupun disimpan lama, rahsianya bermula dengan cuci bersih dan buang perut serta darah di tulang tengah.

Lepas tu, masukkan ikan dalam ziplock atau bekas supaya kelembapan terserap dan tekstur ikan kekal cantik dan bau pun tak melekat kuat dalam freezer.

Tip tambahan, letak beberapa hirisan lemon atau halia dalam bekas, bukan saja harum, tapi asid lemon dan aroma halia bantu kurangkan hanyir ikan. Dengan cara ni, Mama boleh ambil ikan bila-bila masa, defrost pun segar, rangup dan sedap dimasak.

Cara Simpan Bawang – Bawang Merah, Putih & Holland

Untuk pastikan bawang merah, putih dan Holland tahan lama tanpa lembik atau berkulat, simpanlah bawang di tempat yang kering, gelap dan berangin atas rak dapur, dalam bakul rotan atau jaring pun sudah cukup, sebab bawang memang tak suka tempat lembap.

Jangan letak dekat kentang ya, sebab gas dari kentang boleh buat bawang cepat bertunas dan akhirnya rosak.

Kalau Mama jenis suka kerja dapur laju, boleh juga buat stok bawang kisar, dan simpan dalam bekas kecil dalam fridge bertahan 2–3 minggu dan bila masak sambal atau kari, tinggal cedok je.

Cara Simpan Cili Elak Berkulat

Untuk pastikan cili tahan sampai 2–3 minggu tanpa berkulat, mula-mula Mama buang dulu tangkai sebab bahagian tu cepat kumpul bakteria dan boleh rosakkan cili lain.

Lepas tu, cuci dan keringkan betul-betul sebelum simpan dalam bekas yang dialas tisu supaya lebihan lembapan terserap dan cili tak berpeluh dalam bekas dan simpan di bahagian chiller.

Kalau Mama jenis suka masak sambal hari-hari, boleh juga blend cili sekali banyak letak sedikit minyak dan garam untuk tahan lama dan kekalkan warna merah yang cantik, kemudian simpan dalam bekas kaca dalam chiller.

Bila nak masak, tinggal cedok saja, memang cepat dan jimat masa Mama di dapur.

Tips Tambahan Jimat Dapur

  1. Periksa stok dapur setiap minggu – buang barang yang rosak supaya tak mempengaruhi barang lain.
  2. Simpan barang ikut kategori – sayur dengan sayur, daging dengan daging, untuk mudah kawal dan jimat ruang.
  3. Label tarikh – teknik paling mudah nak pastikan stok tak basi.

Sebenarnya tak susah pun nak pastikan barang dapur tahan lama yang penting teknik simpan kena betul. Bila Mama ikut langkah mudah cara simpan makanan dalam fridge ini, bukan saja makanan kekal segar lebih lama, malah Mama dapat jimat masa dan duit.

Tak perlu nak ulang-alik ke pasar selalu dan tak perlu lagi Mama buang makanan yang rosak. Selamat mencuba dan semoga dapur Mama sentiasa penuh dan segar setiap minggu.


Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.


Terokai lebih banyak panduan dan ilmu keibubaapn untuk Mama Papa di SINI.