KelabMama

Pasti Berkesan! Pelbagai Cara Bersihkan Lala Yang Berpasir, Lumpur dan Hanyir

cara bersihkan lala

Pernah tak Mama makan lala, lepas tu bila buka kulitnya ada lumpur? Mengganggu betul kan. Nak makan pun tak senang, kalau asyik-asyik ada rasa yang janggal pada deria rasa kita.

Jadi untuk pastikan pisang tak berbuah dua kali, Mama Siti kongsikan dua cara hilangkan pasir dan lumpur lala dengan tips tambahan elakkan lala berbau hanyir. 

Oh ya, nama lain bagi lala ialah retak seribu. Bukan patah seribu ya, itu lagu tau. 

Cara-Cara Bersihkan Lala Yang Berpasir, Lumpur dan Hanyir

Cara Pertama: Buang Pasir dan Lumpur

(Untuk lala yang masih hidup dan frozen)

  1. Sebaik sahaja Mama balik dari pasar, terus tuangkan semua lala ke dalam bekas tanpa perlu dicuci. Selepas itu, terus masukkan ke bahagian sejuk beku (freezer) selama 20 minit. 
  2. Seterusnya, buka peti sejuk dan ambil bekas berisi lala itu. Mama perhatikan, hampir 80% dari keseluruhan lala akan membuka sedikit cengkerangnya. 
  3. Manakala bagi lala yang masih terkatup menandakan ianya telah mati dan busuk. 
  4. Langkah terakhir ialah cuci lala dengan air bersih sebelum mula memasak. Ada dua cara untuk mencuci lala. Pertama, tuangkan semua lala ke dalam singki kemudian cuci. Kedua, lalukan air dalam bekas berongga yang berisi lala. 

Cara Kedua: Tepung dan Cili Kering

(Sesuai untuk pelbagai haiwan bercengkerang atau moluska)

Kredit gambar: Azmira Ismail

Cara ini tak dinafikan memang berkesan tapi pastikan Mama gunakan alatan dapur yang bersesuaian untuk cara kedua ini ya. Tambahan pula, Mama kena elakkan bersentuhan dengan cili dan air rendaman yang telah dimasukkan cili kering.

“Apa jadi kalau tak ikut petua Mama Siti? “

Cuba tengok 10 jari jemari Mama sekarang. Kalau tak nak tangan pijar, lebih baik patuh tips yang Mama Siti kongsikan ini ya. Janji tau!

  1. Kita mulakan dengan bahagia luar cengkerang. Jika Mama ingin membersihkan kerang, pertama sekali bersihkan lumpur atau selut dengan cara memberus kerang satu per satu. 

(Tips: proses pembersihkan lumpur kerang boleh dipercepat dengan menggunakan water jet)

  1. Seterusnya, letakkan lala atau kerang dalam satu bekas dan isikan air. Mama nak gunakan air paip pun boleh ya. Kemudian, tuangkan tepung gandum dan cili kering yang telah digunting.
  2. Sedikit demi sedikit, cengkerang lala akan mulai terbuka dan merembeskan pasir atau lumpur dari dalam badannya. 
  3. Akhir sekali, cuci semua lala itu dengan air bersih sebelum disimpan atau dimasak. 

Cara Ketiga: Hilangkan Bau Hanyir Lala

Kredit gambar: Pasar Alaf Baru

Mama Siti nak bagitahu kepada Mama, kalau-kalau ada yang baru pertama kali kendalikan masakan lala ini.

Kaedah hilangkan bau hanyir lala hendaklah dilakukan sebelum Mama mula memasak menu pilihan masing-masing. Metode ini sangat penting agar kualiti rasanya terjamin enak. 

Terdapat empat cara untuk menghilangkan bau hanyir lala bermula dengan bahan masakan yang ada di dapur. Mama bebas memilih cara masing-masing mengikut ketersediaan bahannya. 

#1 Rendaman Garam

Kredit gambar: Taste of Home

Rendamkan lala dengan beberapa cubit garam selama 10 minit. Mama akan perasan lala merembeskan pasir dan lumpur yang ada didalamnya. 

#2 Campuran Air Limau

Kredit gambar: Wedpedia

Perahkan beberapa biji limau nipis ke dalam rendalam lala. Kemudian, gosokkan lala dengan limau nipis secara rawak. 

#3 Rendaman Serai

Kredit gambar: Trilogy Flavors

Tumbuk serai sehingga hancur dan rendamkannya bersama-sama dengan lala selama 10 minit. Akhir sekali, jangan lupa untuk cuci lala dengan air bersih. 

#4 Bawang Putih

Kupas beberapa ulas bawang putih yang ditumbuk kasar. Selepas itu, tambahkan bersama-sama air rendaman lala. 

Selain pasir dan lumpur, bau hamis makanan laut pun kena pastikan juga agar kita dapat menikmati rasanya yang enak itu. 

Diharap petua bersihkan lala yang Mama Siti kongsikan ini membantu Mama menyediakan masakan nanti. 


Okay selesai belajar cara bersihkan lala . Dapatkan lebih banyak tips masakan dan ilmu rumah tangga di SINI!