Lekangan retina mungkin sesuatu yang jarang kita dengari namun ia adalah satu faktor risiko yang perlu diambil perhatian sekiranya kita berumur 40 tahun ke atas, mengalami miopia atau rabun jauh yang tinggi, serta mempunyai sejarah keluarga. Jika ia berlaku, persakit perlulah bertindak segera dengan mendapatkan rawatan untuk mengelakkan mata menjadi buta secara menyeluruh.
Dr Peh Khaik Kee dan Dr Selva Raja Vengadasalam, Pakar Perubatan Oftalmologi dan Pakar Bedah Vitreoretinal di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC), berkongsi perspektif mereka tentang keadaan yang boleh menyebabkan kebutaan ini, daripada tanda-tanda amaran awal dan faktor-faktor risiko, kepada pilihan rawatan moden dan kepentingan intervensi yang tepat pada masanya.
Apakah Itu Lekangan Retina?
Lekangan retina berlaku apabila retina, lapisan nipis tisu di belakang mata, terpisah daripada kedudukan asalnya. Ia tidak menyakitkan namun, jika tidak dirawat, keadaan ini boleh menyebabkan mata mengalami buta secara kekal.
Dr Peh membandingkan mata dengan kamera, di mana retina berfungsi sebagai filem. Gel jernih yang dipanggil cecair vitreus memenuhi mata, tetapi ia mula mengecut dan tertarik daripada retina apabila kita meningkat usia. Tarikan ini boleh menyebabkan koyakan pada retina.
Jika cecair meresap ke belakang koyakan, ia boleh mengangkat retina dan menyebabkan lekangan. “Jangan tunggu sehingga bayang-bayang menutup bahagian tengah penglihatan anda. Ini boleh mengganggu proses pemulihan penglihatan mata,” Dr Peh berkata.
Tanda-Tanda Awal dan Apa yang Perlu Diperhatikan
Floaters (bintik terapung) dan kilauan cahaya adalah tanda-tanda utama yang perlu diambil perhatian. “Floaters mungkin kelihatan seperti bintik, sarang labah-labah, atau bentuk ‘seperti nyamuk’ yang terapung dalam penglihatan anda,” kata Dr Peh. Peningkatan mendadak ‘floaters’ atau kilauan, terutamanya di tepi penglihatan anda, harus menimbulkan kebimbangan segera.
Satu lagi tanda bahaya ialah bayang-bayang atau tirai yang merayap merentasi pandangan anda. Ini boleh menjadi tanda bahawa retina sudah mula berpisah. “Walaupun sebahagian daripada retina terpisah, pesakit boleh mengekalkan penglihatan hampir normal selagi makula masih berada di tempatnya. Tetapi sebaik sahaja makula terpisah, kemungkinan untuk memulihkan penglihatan sepenuhnya akan turun dengan ketara,” jelas Dr Peh.
Memahami Faktor-Faktor Risiko dan Siapa yang Terjejas
Menurut Dr. Selva, lekangan retina berlaku dalam kira-kira 7 hingga 14 kes bagi setiap 100,000 orang – satu kadar yang lebih tinggi daripada sangkaan ramai, dan Malaysia tidak terkecuali1. Ia bukanlah disebabkan oleh gaya hidup atau diet, tetapi lebih kepada faktor-faktor struktur mata.
Individu yang paling berisiko termasuk mereka yang berumur lebih 40 tahun, mereka yang mempunyai miopia yang tinggi, pesakit dengan sejarah keluarga mengalami masalah retina, dan mereka yang pernah mengalami kecederaan atau pembedahan mata.
“Lekangan retina juga dilihat lebih kerap berlaku di kalangan lelaki. Melalui pengalaman saya, saya telah melihat bilangan kes yang lebih tinggi di kalangan komuniti Cina, mungkin disebabkan oleh prevalens miopia yang lebih tinggi dalam kumpulan populasi ini,” kata Dr Selva.
Diagnosis dan Pentingnya Bertindak dengan Pantas
“Simptom seperti floaters dan kilauan adalah biasa, tetapi hanya kira-kira 5 hingga 10 peratus daripada kes ini melibatkan koyakan retina,” kata Dr Selva. Itulah sebabnya penting untuk membuat pemeriksaan terdilat atau membeliakkan mata oleh pakar retina untuk mengesahkan sama ada rawatan segera diperlukan.
Beliau juga mengesyorkan agar pemeriksaan susulan dilakukan sehingga tempoh dua hingga tiga bulan selepas simptom bermula. “Pemeriksaan awal mungkin tidak dapat mengesan koyakan dengan serta-merta. Ini adalah tempoh kritikal di mana cecair vitreus berkemungkinan besar akan menarik retina dan menyebabkan koyakan,” jelasnya.
Pilihan Rawatan dan Pemulihan
Jika koyakan dapat dikesan dengan lebih awal, ia selalunya boleh dirawat dengan prosedur laser ringkas yang dipanggil fotokoagulasi. Akan tetapi sekiranya retina sudah terpisah, pembedahan adalah satu-satunya rawatan yang berkesan. Bergantung kepada kes, pesakit mungkin perlu menjalani vitrektomi atau scleral buckling — kedua-duanya adalah teknik pembedahan mikro untuk menghubungkan semula retina dan memulihkan penglihatan. Dengan kemajuan teknologi terkini, prosedur ini telah menjadi satu prosedur yang jauh lebih selamat dan efektif berbanding dahulu.
“Vitrektomi moden menggunakan instrumen sekecil 0.5 milimeter,” kata Dr Selva. “Prosedur ini menyerupai pembedahan lubang kunci, di mana pemotongan dibuat lebih kecil, membolehkan pesakit pulih dengan lebih cepat. Dalam beberapa kes, gelembung gas diletakkan di dalam mata untuk membantu menekan retina kembali ke tempatnya. Semasa proses penyembuhan, pesakit mungkin dikehendaki meniarap untuk tempoh yang lama setiap hari, selama satu hingga dua minggu.
Prognosis dan Hasil Penglihatan
Menurut Dr Peh, kadar kejayaan untuk pembedahan penyambungan semula retina adalah tinggi, antara 80 hingga 95 ke 97 peratus, bergantung kepada seawal mana ia dilakukan. “Jika makula masih melekat, pesakit boleh mendapatkan semula fungsi penglihatan penuh. Namun jika makula telah terpisah, kira-kira 70 peratus pesakit mampu mendapatkan semula penglihatan yang cukup untuk aktiviti harian, termasuk memandu,” katanya.
Walau bagaimanapun, kebanyakan pesakit akan mengalami masalah katarak dalam tempoh 6 hingga 24 bulan selepas pembedahan retina. Berita baiknya, ini boleh dirawat dengan pembedahan katarak yang standard.
Selamatkan Penglihatan Anda Dengan Segera
Tiada pil atau makanan tambahan yang boleh mencegah lekangan retina, tetapi pengesanan awal boleh mempengaruhi hasil rawatan secara ketara. “Saringan awal mampu menyelamatkan penglihatan. Lebih awal kita mengesan dan merawat koyakan atau lekangan retina, lebih tinggi peluang untuk mengekalkan penglihatan yang jelas,” Dr Peh berkata.
“Pembedahan lekangan retina bukan untuk meningkatkan penglihatan, tetapi untuk menyelamatkan penglihatan anda,” tambah Dr Selva. “Ini adalah keadaan yang memerlukan tindakan segera. Jika anda berisiko atau mendapati terdapat perubahan mendadak dalam penglihatan anda, jangan berlengah. Jumpa pakar dengan segera.”
Pusat Mata Sunway di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, menawarkan perkhidmatan komprehensif daripada pemeriksaan mata rutin kepada pembedahan retina lanjutan dan penjagaan susulan jangka panjang. Sebagai hospital swasta terbesar di Malaysia, SMC merupakan hospital yang pertama di Malaysia yang memperoleh tiga akreditasi penjagaan kesihatan yang utama, iaitu Suruhanjaya Bersama Antarabangsa (JCI) dari Amerika Syarikat, Majlis Piawaian Penjagaan Kesihatan Australia (ACHS) Antarabangsa, dan Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH).
SMC juga disenaraikan sebagai salah satu Hospital Swasta Terbaik di Asia untuk Penjagaan Mata oleh Newsweek, mengukuhkan statusnya sebagai hospital yang diiktiraf untuk perkhidmatan oftalmologi bertaraf dunia.
Rujukan
- Sullivan, P., Luff, A., & Aylward, G. (1997). Results of primary retinal reattachment surgery: A prospective audit. Eye, 11, 869 871. https://doi.org/10.1038/eye.1997.223.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Masih banyak lagi info kesihatan yang Mama boleh explore jom, klik di SINI.