KelabMama

Bersenam di Bulan Ramadan. Ini Senaman yang Mudah & Tidak Memenatkan

Macam mana nak bersenam kalau sedang berpuasa? Tak penat ke nanti? Sini Mama Siti kongsikan beberapa panduan serta senaman yang mudah dan tidak memenatkan Mama Papa.

Senaman ini boleh dilakukan dalam dua atau tiga kali seminggu. Sekurang-kurangnya 30 minit sekali bagi satu senaman. Berbeza dengan hari biasa, senaman akan dilakukan dengan lebih kerap dan memerlukan 30 minit sehingga satu jam.

Sini Mama Siti kongsikan beberapa panduan serta senaman yang sesuai dilakukan oleh Mama Papa ketika berpuasa.

Panduan untuk Melakukan Senaman Waktu Puasa

1. Masa paling sesuai untuk bersenam

Ada tiga waktu yang sesuai untuk Mama Papa lakukan senaman:

Sebelum Sahur

Ramai mungkin fikir masa ini masa yang paling tidak praktikal untuk bersenam. Jika anda mempunyai disiplin untuk bangun awal untuk melakukan rutin senaman,senaman sebelum sahur sebenarnya boleh meningkatkan tenaga badan sepanjang hari.

Jadi sebelum memulakan senaman, minum air dengan banyak dan makan makanan yang ringan 30 minit sebelum bersenam. Selepas bersenam, minum air dengan banyak dan makan makanan yang padat nutrien untuk memberikan anda tenaga sepanjang hari.

Selepas Iftar

Masa ini sesuai kerana badan Mama Papa sudah pun mendapatkan makanan dan minuman yang sedikit dan boleh dikira seperti pre-workout meal. Tetapi ini bergantung kepada berapa banyak masa yang Mama Papa boleh luangkan antara iftar dan solat terawih.

Untuk sesi ini, anda boleh memilih rutin senaman yang pendek tetapi dengan intensiti yang lebih tinggi.

Selepas Solat Terawih

Selesai sahaja solat tarawih, Mama dan Papa boleh luangkan sedikit masa untuk melakukan senaman. Mulakan dengan senaman yang ringan terlebih dahulu sebelum senaman yang memerlukan intensiti yang lebih tinggi.

Makan selepas bersenaman boleh membantu pemulihan otot, pertumbuhan otot dan menghilangkan lemak badan.

2. Jaga Pemakanan Sepanjang Berpuasa

Makan mengikut jumlah kalori yang secukupnya dan pilih makanan yang bernutrien tinggi. Mama Siti tak galakkan Mama Papa makan makanan dengan kalori yang rendah semasa berpuasa.

Ini kerana, ia akan membuatkan badan Mama Papa menjadi lemah. Dan ia juga boleh menyebabkan otot Mama Papa menjadi terurai dan seterusnya akan menghalang penurunan berat badan.

3. Minum Air Dengan Banyak!

Mama Papa perlu minum sekurang-kurangnya 2-2.5 liter air terutamanya pada hari Mama Papa mahu bersenam. Minum air kosong sepanjang malam supaya badan Mama Papa sentiasa terhidrat.

4. Jangka Masa Bersenam

Mama Papa boleh menghadkan senaman kepada 30-45 minit untuk setiap sesi. Kalau senaman yang dilakukan berintensiti tinggi, jadi Mama Papa perlu hadkanlah sesi senaman dalam masa 30 minit sahaja.

Senaman yang Tidak Memenatkan Semasa Berpuasa

1. Yoga

Yoga merupakan senaman yang membentuk fizikal dan mental yang baik untuk kesegaran badan. Selain merasa lebih ringan untuk dilakukan tanpa menggunakan banyak tenaga. Senaman ini seeloknya dilakukan secara santai selama 30 minit sebelum waktu berbuka.

Senaman yoga ini juga mampu membaiki mental, sosial, emosi dan kerohanian seseorang. Gerakan yoga mempunyai maksud tersendiri yang mampu untuk menghilangkan stress dan menenagkan.

Senaman ini juga sangat sesuai untuk Mama mengandung. Senaman ini tidak memenatkan boleh dilakukan dalam rumah sahaja, malah, Papa pun boleh turut serta beryoga temankan Mama.

Bahkan anak-anak pun boleh turut ikut senaman ini. Supaya anak-anak tidaklah terasa lesu dan lemah sahaja bila berpuasa. Ini juga dapat mengajar mereka berpuasa bukan satu alasan untuk tidak melakukan senaman.

2. Joging

Joging adalah senaman paling popular kerana ia boleh dilakukan secara santai dan masih mampu membakar kalori.

Ketika berpuasa, waktu petang sangat sesuai untuk melakukan senaman ini. Cuaca pada ketika itu kurang panas dan redup saje akan membuatkan badan kita tidak mudah berasa penat. Malah, hampir dengan waktu berbuka juga.

3. Berbasikal

Aktiviti berbasikal sudah sinonim bagi setiap lapisan masyarakat tidak mengira peringkat umur.

Berbasikal dengan kayuhan santai sahaja kerana kita berpuasa, jadi kayuh santai-santai je . Tak perlulah Mama Papa untuk paksa diri berkayuh dengan kelajuan tinggi atau menggunakan jalan yang berbukit.

Situasi ini akan menyebabkan Mama Papa mudah rasa letih dan mengalami dehidrasi serta boleh menyebabkan pitam juga.

Kalau kawasan perumahan Mama Papa ada sediakan kemudahan laluan berbasikal jadi bolehlah mengayuh disana sahaja.

4. Pilates

Pilates ialah senaman berintensiti ringan kerana ia kurang menggunakan tenaga sekaligus tidak menyebabkan hipohidrasi pada tubuh badan kita semua.

Senaman ini sangat sesuai untuk dilakukan semasa berpuasa. Namun, kalau Mama mahukan senaman jenis pilates yang mempunyai intensiti yang berat maka Mama Siti syorkan untuk melakukannya selepas waktu berbuka nanti.

Senaman ini juga sesuai dilakukan golongan Mama mengandung atau selepas melahirkan kerana ia memfokuskan ke atas tubuh badan, postur badan dan teknik pernafasan.

5. Berjalan Kaki/Brisk Walk

Berjalan kaki juga merupakan salah satu senaman yang mudah dengan mengamalkan sekurang-kurangnya seribu langkah sehari.

Paling penting, berjalan kaki mampu menjaga dan menurunkan risiko penyakit berkaitan jantung.

Bukan itu sahaja, malah senaman ini boleh membaiki kualiti tidur pada waktu malam selain dapat membuatkan mood seseorang dalam keadaan baik.

Nasihat Mama Siti, berpada-padalah untuk bersenam jangan sampai memudaratkan Mama Papa.

Bulan ramadan ini Mama Papa perlu kurangkan melakukan senaman berat dan kurangkan masa bersenam kerana apabila berpuasa, tenaga kita tidak sama semasa kita tidak berpuasa.


Dapatkan lebih banyak tips kesihatan yang lain diĀ SINI!