KelabMama

Bersalin Normal VS C-Section

“Ikut pintu atau ikut tingkap?” Soalan ni dah cukup sinonim dengan wanita terutamanya mereka yang bergelar mama. Bersalin normal atau C-section selalu menjadi persoalan terutamanya buat wanita yang baru pertama kali akan melalui proses bersalin.

Sebelum itu mama kena ambil tahu dulu perbezaan antara kedua-dua kaedah bersalin ini.

Normal: Merupakan proses kelahiran semulajadi dan ini yang paling diinginkan oleh setiap mama yang hamil.

C-section (pembedahan): Prosedur melahirkan bayi menggunakan kaedah pembedahan. Kaedah ini mungkin terpaksa digunakan sekiranya terdapat banyak komplikasi kehamilan yang menyukarkan mama untuk melahirkan secara normal atau proses melahirkan bayi secara normal akan membahayakan bayi atau mama. Selain itu juga, kaedah ini boleh digunakan untuk mama yang tak mahu bersalin biasa.

Walau apa pun, kedua-dua kaedah bersalin ni pasti punya kelebihan dan kelemahannya. Ini yang akan Mama Siti kongsikan dengan mama yang bakal bersalin supaya mama lebih bersedia dengan apa saja kebarangkalian yang bakal berlaku semasa nak bersalin nanti.

Apa yang mama perlu tahu tentang bersalin normal?

Menariknya tentang bersalin kaedah ni, selepas melahirkan mama mungkin perlu tinggal di hospital dalam jangka masa yang pendek tapi ia bergantung kepada keadaan kesihatan mama juga. Selain itu, proses pemulihan juga lebih cepat berbanding bersalin C-section.

Sakit bersalin secara Normal

1) Episiotomi

Sakit bersalin kaedah ini ialah untuk menjaga luka jahitan atau episiotomi. Ngeri juga nak buang air lepas bersalin sehingga ada yang sembelit teruk tau.

Kaedah ini antara yang paling selalu digunakan untuk membantu kelahiran berlaku dengan lebih cepat. Biasanya, kelahiran anak pertama memakan masa yang lama dan doktor akan menjalankan episiotomi bagi membuka laluan yang lebih luas pada bahagian perinuem.

Ringkasnya, ia adalah insisi (potongan) yang akan dibuat apabila perineum (bibir rahim) meregang terlalu perlahan. Bahagian yang akan dipotong biasanya akan dibius terlebih dulu, kecuali jika mama dah diberikan epidural.

Episiotomi dilakukan untuk mengelakkan koyakan yang tak seragam pada faraj akibat cara meneran yang salah. Ia juga dapat membantu kelahiran bayi yang bersaiz besar.

2) Induksi

Kaedah ini akan digunakan untuk mengalami masalah pre-eklampsia, kembar, ketuban pecah terlalu awal, saiz bayi terlalu besar, atau proses kelahiran yang terlalu perlahan.

Doktor mungkin akan memberi ubat atau membuat beberapa teknik untuk merangsang agak berlakunya pengecutan rahim (kontraksi) secara semulajadi.

Antara teknik yang paling biasa dilakukan adalah memecahkan selaput ketuban.

3) Forsep & Vakum

Forsep adalah sejenis alat penyepit yang hujungnya berbentuk sudu bagi memegang kepala bayi.

Vakum pula merupakan alat berbentuk kon yang diletakkan atas kepala bayi bagi menyedutnya keluar.

Kedua-dua alat ini akan digunakan oleh doktor untuk mengelakkan bayi daripada lemas akibat terlalu lambat dikeluarkan.

Kelebihan bersalin Normal

  • Bayi dan badan mama sendiri akan mengembang dengan sendirinya setelah bersalin.
  • Bila pembukaan faraj berlaku , semua cecair amniotik dalam paru-paru bayi akan dikeluarkan secara semulajadi.
  • Semasa proses ini, bayi akan menelan bakteria pelindung yang menjelajah ke ususnya sekali gus meningkatkan sistem imun tubuh si manja.

Kelemahan bersalin Normal

  • Dalam kaedah ini, keseluruhan proses bergantung kepada persediaan tubuh mama. Maka, tak ada jadual bersalin yang spesifik untuk kaedah bersalin dan bergantung penuh (100%) pada pembukaan pintu serviks.
  • Bila dah nak dekat bersalin, mama pasti akan rasa cemas, takut dan tekanan.
  • Ada juga sesetengah kes, proses bersalin ni boleh meningkatkan risiko ketidakupayaan.
  • Bersalin normal juga mungkin boleh menyebabkan masalah seksual selepas bersalin.
  • Risiko trauma kelahiran akan meningkat terutamanya bila waktu bersalin tu memerlukan bantuan forsep atau vakum.

Apa yang mama perlu tahu tentang bersalin C-section (pembedahan) ?

Walaupun bayi mama berkemungkinan besar selamat dilahirkan, badan mama juga memerlukan masa yang lebih lama untuk sembuh berbanding mereka yang melahirkan anak secara normal. Ada dua jenis kategori yang mama perlu tahu :

Pembedahan caesarean elektif : Pembedahan ini adalah dirancang dan dijadualkan terlebih dahulu sebelum mama mengalami sakit bersalin.

Pembedahan caesarean kecemasan : Pembedahan ini tak dirancang dan boleh berlaku sekiranya berlaku komplikasi serius terhadap mama dan juga bayi semasa proses kelahiran. Dalam kebanyakan kes, pembedahan ini berlaku tanpa dirancang. Sekiranya mama dimaklumkan oleh doktor untuk melakukan pembedahan ini, jangan panik dan segera menyiapkan diri untuk melakukannya kerana pembedahan ini mempunyai tahap keberhasilan yang sangat tinggi. Namun begitu, pembedahan ini sebenarnya tak boleh dilakukan banyak kali kerana akan meningkatkan risiko mama mempunyai masalah kehamilan kelak.

Sebelum prosedur ini diteruskan, mama perlu melakukan beberapa ujian untuk memastikan kumpulan darah serta isu perubatan mama yang lain. Keputusan ujian-ujian ini juga akan menyediakan informasi lengkap tentang keadaan kesihatan mama yang akan membantu sekiranya mama memerlukan pemindahan darah. Konsultasi bersama pakar bius juga akan dilakukan bagi membincangkan pilihan yang terbaik untuk mama.

Mama juga perlu berpuasa dalam tempoh lapan hingga dua belas jam sebelum pembedahan.

Sebelum masuk ke dewan pembedahan, cuba bertenang dan berfikiran positif. Ini sedikit sebanyak akan membantu pembedahan mama.

Sakit bersalin C-section

1) Semasa pembedahan

Lazimnya, potongan akan dibuat pada bahagian abdomen secara melintang di atas bahagian ari-ari. Kemudian, barulah dipotong pada bahagian rahim.

Air ketuban akan disedut dan kepala bayi akan dikeluarkan terlebih dahulu supaya bahagian mulut dan hidungnya dapat dibersihkan secepat mungkin untuk bayi bernafas.

Kemudian, plasenta akan dikeluarkan sebelum potongan tadi dijahit semula.

2) Selepas pembedahan

Selepas pembedahan, mungkin ada mama yang berasa mual atau menggigil.

Ini adalah kesan daripada ubat bius, kesan rahim mengecut, atau kesan penurunan adrenalin.

Tapi jangan risau, kesan ini akan hilang dengan cepat dan mama akan berasa mengantuk.

Selepas kesan bius hilang, luka pembedahan inilah yang akan menyebabkan mama rasa sakit atau tak selesa semasa berpantang.

3) Penjagaan khusus

Wanita yang melahirkan bayi melalui kaedah ini terpaksa tinggal di hospital lebih lama berbanding normal.

Walaupun tiada sebarang komplikasi selepas bersalin, mereka yang bersalin kaedah ini perlu berada di hospital antara tempoh 3-5 hari.

Tempoh berpantang juga adalah lebih lama sedikit berbanding mereka yang normal. Pemakanan juga perlu dijaga sebaiknya supaya tiada kesan sampingan jangka masa panjang.

Mungkin ada yang mendakwa rasa sakit itu masih lagi terasa selepas 6 bulan atau 1-2 tahun. Namun, ada juga yang tiada sebarang masalah selepas bersalin hingga boleh bersalin sehingga 3 kali lagi secara pembedahan kaedah ini.

Kelebihan bersalin C-section

Kelemahan bersalin C-section

Risiko melakukan pembedahan lebih daripada satu kali

Antara risiko yang bakal berlaku kepada mama sekiranya melakukan pembedahan ini lebih daripada satu kali untuk melahirkan anak :

Risiko-risiko ini akan lebih tinggi bergantung kepada berapa banyak kali mama melakukan pembedahan ini. Selain itu juga, akan berlaku banyak masalah keibuan dan kehamilan selepas melakukan pembedahan seperti kecederaan usus, sista, pendarahan, ketidaksuburan, kebergantungan kepada mesin ventilator dan kemungkinan dimasukkan ke dalam unit kecemasan hospital (ICU) selepas pembedahan dilakukan.

Dalam pada itu, pembedahan ini sukar untuk dilakukan sekiranya sudah terdapat parut lama akibat pembedahan yang sama. Pembedahan ini sememangnya akan meninggalkan parut. Semakin banyak pembedahan pernah dilakukan, semakin banyak parut yang ditinggalkan. Ini akan menyebabkan pembedahan seterusnya menjadi sukar untuk dilakukan.

Berapa kali pembedahan boleh dilakukan?

Menurut pakar, pembedahan yang pertama atau kedua kali tak akan mendatangkan mudarat yang teruk kepada mama. Namun begitu, pembedahan kali ketiga, keempat dan seterusnya akan mengundang pelbagai risiko kesihatan berkenaan keibuan dan kehamilan. Ini menunjukkan bahawa pembedahan yang dilakukan banyak kali sememangnya akan mengundang bahaya kepada wanita yang melakukannya.

Sebenarnya, tiada jawapan jelas mengenai angka tepat berkenaan berapa kali boleh melakukan pembedahan C-section. Namun begitu, sudah jelas bahawa pembedahan ini selamat untuk dilakukan buat kali pertama dan kedua. Oleh itu, jika mama berhasrat untuk melahirkan anak melalui prosedur ini buat kali ketiga, keempat dan seterusnya, mama kena berbincang terlebih dahulu dengan doktor.

Kesimpulannya, bersalin biasa mahupun C-section (pembedahan) tetap ada sakitnya yang tersendiri. Masing-masing ada kelebihan dan kekurangannya. Terpulang pada mama sama ada nak berusaha melahirkan secara normal atau memilih kaedah C-section. Sakit bersalin itu ada hikmahnya.

Semoga bermanfaat!

Sumber : siraplimau, hellodoktor

BACA JUGA BENTAN SELEPAS BERSALIN | JENIS-JENIS BENTAN, RAWATAN & PETUA TRADISIONAL

Pesan Mama Siti

Tipulah kan kalau Mama Siti kata bersalin tu tak sakit. Tentulah setiap kali bersalin itu sakit, tak kiralah bersalin dengan kaedah apa pun. Tapi orang selalu cakap rasa sakit bersalin itu tentu akan terbayar bila mama dapat pegang dan peluk bayi mama. Dan sakit bersalin tu juga akan membuatkan mama lebih menghargai pengalaman bersalin dan memberi kasih sayang sepenuhnya kepada si manja. Tak gitu?

  1. Apa perbezaan bersalin secara Normal atau C-Section?

    Normal: Merupakan proses kelahiran semulajadi
    C-section (pembedahan): Prosedur melahirkan bayi menggunakan kaedah pembedahan. Kaedah ini mungkin terpaksa digunakan sekiranya terdapat banyak komplikasi kehamilan yang menyukarkan mama untuk melahirkan secara normal atau proses melahirkan bayi secara normal akan membahayakan bayi atau mama.

  2. 2 jenis kategori bersalin secara C-Section :

    i) Pembedahan caesarean elektif : ia dirancang dan dijadualkan terlebih dahulu sebelum mama mengalami sakit bersalin.
    ii) Pembedahan caesarean kecemasan : Pembedahan ini tak dirancang dan boleh berlaku sekiranya berlaku komplikasi serius terhadap mama dan juga bayi semasa proses kelahiran.

  3. Apa risiko jika melakukan pembedahan lebih dari satu kali?

    i) Plasenta previa (uri di bawah)
    ii) Plasenta accreta (uri melekat)
    iii) Hysterectomy (pembedahan membuang rahim)