KelabMama

5 Tips Utama Ketika Menjaga Luka Bersalin Cesarean

bersalin secara cesarean

Bagi ibu-ibu yang bersalin cesarean atau secara pembedahan, bahagian yang perlu dijaga ialah bahagian luka. Hal ini kerana, jika luka tidak kering sentiasa, kemungkinan untuk terkena jangkitan dan bernanah adalah tinggi. Proses penyembuhan juga akan menjadi lebih lambat apabila terkena jangkitan. Sebenarnya tak susah pun untuk menjaga luka cesarean. Yang penting ialah, Mama hanya perlu berdisiplin dan sentiasa menjaga pemakanann sewaktu berpantang.

Langkah Yang Perlu Diberi Perhatian Menjaga Luka Bersalin Cesarean

Setiap kali selepas mandi, keringkan bahagian luka pembedahan. Anda boleh gunakan pengering rambut (hair dryer). Tetapi dengan suhu paling minima atau hanya keluarkan angin biasa bukan panas. Ini penting agar luka sentiasa kering dan tidak terkena jangkitan kuman dan bernanah. Anda juga boleh menggunakan kipas angin, tetapi awas ia boleh menyebabkan luka bernanah dan terkena jangkitan kerana luka tidak betul-betul kering. Ditambah pula jika kipas angin tu penuh dengan habuk.

Sapu ubat luka ke tempat pembedahan setiap kali sebelum memakai bengkung sebagai pencegahan supaya luka tidak bernanah. Dinasihatkan ubat luka disapu selama 30 hari atau sehingga cukup 44 hari berpantang. Ubat luka ini selain dibekalkan oleh hospital, anda juga boleh dapatkannya di farmasi.

Tisu gulung digunakan untuk melapik bengkung sewaktu didalam tempoh berpantang selepas bersalin. Tujuannya bukan sahaja untuk mengelakkan bengkung dari kotor tetapi juga sebagai penyerap peluh terutama dibahagian pembedahan. Ini adalah salah satu dari cara tambahan untuk memastikan bengkung sentiasa bersih dan kering. Menggunakan tisu sebagai pelapik bengkung juga amat praktikal dibandingkan dengan menggunakan kain kerana ia boleh diganti dengan tisu baru yang bersih setiap kali selepas mandi dan hendak memakai bengkung semula.

Elakkan dari menyapu gel gamat di tempat luka. Jika anda ingin juga menyapu gel gamat, tunggulah sehingga luka sudah benar-benar kering atau 3 minggu selepas pembedahan. Jika anda menyapu gel gamat ini terlalu awal, ia boleh menyebabkan jangkitan dan melambatkan proses penyembuhan.

Elakkan daripada mengangkat barang-barang yang berat kerana luka cesarean memerlukan masa untuk sembuh. Walaupun luka sudah sembuh dan kuat, sesekali anda akan terasa ngilu dibahagian parut luka terutama apabila melakukan kerja yang memerlukan anda mengangkat barang yang berat.

Apa yang penting, Mama harus sentiasa berdisiplin sepanjang proses penyembuhan tempat pembedahan tersebut. Jangan tergopoh gapah sewaktu membersih atau semasa melakukan kerja sepanjang proses berpantang. Walaupun luka telah kering, luka didalam masih memerlukan masa untuk sembuh. Disiplinkan diri untuk mengikuti segala nasihat doktor mahupun penjaga pantang. Inshaallah luka bersalin cesarean akan lebih cepat sembuh.