Mama Siti tahu bila kita dah makan sedap, terutamanya makan tengah hari yang penuh lauk, atau makan malam yang meriah dengan nasi panas, lauk berkuah, siap pencuci mulut lagi badan kita cenderung nak berehat total. Ada yang terus capai remote TV, ada yang duduk sambil main telefon, dan ada yang terus rebahkan badan kononnya nak “rehatkan perut”.
Sebenarnya, tabiat ni antara punca berat badan naik senyap-senyap. Kita rasa kita makan “biasa-biasa” je, tapi kalau setiap kali lepas makan terus duduk atau baring, tenaga yang kita makan tu tak digunakan. Lama-lama, ia terkumpul jadi lemak.
Tapi Mama jangan risau, sebab ada satu cara yang sangat simple dan mudah nak buat iaitu berjalan kaki selama 15 minit selepas makan. Tak perlu baju sukan, tak perlu kasut lari yang mahal. Cukup pakai selipar atau sandal, dan gerakkan kaki. Kedengarannya kecil, tapi kalau konsisten, ia boleh beri kesan besar pada berat badan, tahap tenaga, dan kesihatan kita.
Kenapa Berjalan Lepas Makan Lebih Berkesan?
Bila Mama makan, badan akan proses makanan tu jadi tenaga. Paras gula dalam darah pun naik. Kalau kita duduk diam, gula yang tak digunakan akan disimpan sebagai lemak.
Tapi kalau kita bergerak walaupun sekadar berjalan santai otot kita akan “serap” gula tu untuk dijadikan bahan bakar.
Dengan berjalan selama 10–15 minit selepas makan membantu mengawal paras gula dalam darah dengan lebih efektif berbanding berjalan pada waktu lain.
Ini bukan sahaja mengurangkan risiko obesiti, malah baik untuk kesihatan jantung, mengawal tekanan darah, dan mengelakkan diabetes jenis 2.
Berjalan Sambil-sambil Bakar Kalori
Ramai yang fikir nak kurus kena berlari, angkat berat, atau berpeluh sakan. Tapi sebenarnya, jalan kaki pun membakar kalori. 15 minit berjalan dengan kelajuan sederhana selepas makan boleh membakar sekitar 40–60 kalori, bergantung pada berat badan Mama.
Kalau buat dua kali sehari lepas makan tengah hari dan makan malam itu dah jadi 80–120 kalori terbakar sehari. Bayangkan kalau konsisten seminggu, dah beratus kalori ‘hilang’ tanpa kita sedar.
Yang bestnya, ia langsung tak rasa menyeksakan. Kita cuma jalan rileks, tak perlu jogging atau buat senaman berat. Kuncinya adalah konsistensi.
Walaupun jumlah kalori yang terbakar nampak kecil, bila digabung dengan pemakanan seimbang, habit kecil ni boleh membantu menstabilkan berat badan tanpa rasa terbeban.
Kalau Mama buat rutin ni setiap hari, kesannya bukan saja pada berat badan, tapi juga pada tenaga dan mood harian. Mama akan perasan:
- Kurang cepat mengantuk lepas makan tengah hari.
- Lebih fokus bila bekerja atau menguruskan rumah.
- Mood lebih baik sebab berjalan bantu keluarkan hormon endorfin.
- Tidur lebih lena pada waktu malam.
Pencernaan Lebih Lancar & Perut Rasa Ringan
Selain bantu kawal berat badan, berjalan selepas makan juga bagus untuk sistem pencernaan. Gerakan badan merangsang pergerakan usus, jadi makanan lebih cepat dihadam.
Mama akan rasa perut lebih selesa, tak mudah kembung, dan jarang alami masalah sembelit.
Tapi ingat, jangan buat aktiviti berat terus selepas makan. Elakkan lari pecut, lompat tali, atau senaman intensiti tinggi sebab itu boleh buat perut rasa senak. Cukup dengan berjalan santai atau sederhana.
Tip untuk Mama Mulakan
- Beri masa sekejap – Lepas makan, tunggu 5–10 minit untuk bagi perut settle sebelum mula berjalan.
- Cari lokasi selamat & selesa – Taman, kawasan rumah, atau keliling blok pejabat pun boleh.
- Buat sambil berborak – Ajak pasangan, anak-anak, atau kawan sekerja supaya lebih seronok.
- Tetapkan rutin tetap – Contoh, setiap hari lepas makan malam, terus keluar jalan. Bila dah jadi habit, badan akan automatik “minta” bergerak.
- Gunakan teknologi – Kalau ada jam pintar atau aplikasi kira langkah, guna untuk pantau pergerakan. Mama akan rasa lebih bermotivasi bila nampak jumlah langkah bertambah.
Perubahan kecil kadang-kadang memberi impak yang besar. Berjalan 15 minit selepas makan mungkin nampak remeh, tapi ia boleh jadi game changer untuk kesihatan Mama.
Jadi, lepas ni bila dah habis makan, jangan terus lepak depan TV atau scroll telefon sampai terlena. Bangun, berjalan sambil hirup udara segar dan nikmati masa untuk diri sendiri.
Mama Siti ada satu pesanan, “Nak sihat bukan soal masa yang kita ada, tapi soal kita sanggup luangkan masa untuk jaga diri.”
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Berak berdarah? Mama Papa jangan panik, jom tahu puncanya dulu di SINI.