KelabMama

Berat Badan Naik Sebab Menopaus?

Berat Badan Naik Sebab Menopaus?

Perkataan menopaus bukan lagi perkara asing kepada masyarakat Malaysia. Menopaus adalah satu situasi dimana seseorang wanita tak lagi menghasilkan telur dalam ovarinya. Justeru itu, wanita tersebut takkan datang haid atau mengandung.

Sebelum fasa menopaus bermula, tubuh akan mengalami peralihan dan dalam tempoh ini seorang wanita mungkin mengalami gejala vasomotor menopaus bersama perubahan dalam kitaran haid. Setiap wanita mengalami fasa peralihan ini pada usia yang berbeza. Sesetengah wanita mungkin menempuh fasa menopaus tanpa apa-apa masalah, manakala sesetengah wanita mengalami simptom seperti sukar tidur, emosi tak menentu, migrain,  dan lain-lain.

Kenaikan Berat Badan Tanda Menopaus

Kebanyakan wanita tidak sedar dengan kenaikan berat badan yang dialami kerana prosesnya berlaku secara perlahan.

Salah satu simptom yang sering diabaikan ialah kenaikan berat badan. Kebanyakan wanita mula mengalami kenaikan berat badan apabila usia melebihi 45 tahun, tetapi tak menyedarinya kerana ia berlaku secara perlahan tahun demi tahun. Mereka hanya sedar saiz badan bertambah bila lihat gambar lama, baru perasan baju lama dah tak muat!

Bentuk dan saiz badan sememangnya dipengaruhi oleh pilihan dan kuantiti makanan, tetapi pengaruh yang paling besar ialah hormon estrogen yang digelar ‘hormon wanita’. Estrogen mempengaruhi sifat kewanitaan seseorang wanita, seperti suara merdu, kulit halus dan pinggang ramping.

Bila mama alami menopaus, ovari tak lagi hasilkan estrogen. Apabila ini berlaku, badan yang sebelumnya berbentuk seperti pir akan berubah menjadi bentuk epal yang membulat. Penyebabnya? Kerana estrogen yang berfungsi menggerakkan metabolisme karbohidrat dah tak ada. Tanpa estrogen, kalori yang berlebihan tak dapat ditukarkan kepada tenaga tapi menjadi lemak di perut, pinggul dan paha.

Berat Badan Berlebihan Menyebabkan Komplikasi Lain

Dengan tenaga yang berkurangan, usia pun bertambah, wanita akan kurang bersenam atau menjalani aktiviti fizikal. Ini mengakibatkan kemerosotan kepadatan otot, yang lambat-laun akan membawa kepada sakit lutut dan sendi yang lain.

Setengah wanita rasa kenaikan berat badan apabila usia meningkat ni perkara biasa. Tak perlu kisah sangat dengan perkara macam ni, betul tak? Tapi, berat badan yang berlebihan sehingga mencecah peringkat obes boleh membawa komplikasi lain seperti darah tinggi, penyakit jantung, diabetes, sindrom metabolik, malah kanser!

Bukan itu sahaja, berat badan yang berlebihan juga sebenarnya menyusahkan mama dalam usaha menjalankan ibadat seperti solat, menunaikan haji dan sebagainya. Walaupun menopaus adalah fasa hidup yang tak dapat dielakkan, adalah penting untuk mama jaga berat badan supaya kekal sihat dan sejahtera.

Tips Kawal Berat Badan

Penurunan kadar estrogen menyebabkan lemak berkumpul dibahagian pinggang dan pinggul.

1. Jangan Overeat!

Kalau dulu mama aktif bersukan, yes. Mama boleh makan apa saja tanpa perlu risau dengan kalori yang ada. Tapi kalau mama dah tak libatkan diri dalam aktiviti sukan, tubuh mama dah jadi kurang cekap dalam penukaran lemak kepada tenaga. Jadi, jangan terlebih makan!

2. Ambil Lebih Serat

Bila berat badan bertambah, sistem perkumuhan mama jadi makin lambat, dan mama mungkin lebih mudah untuk alami sembelit. Lebihkan makanan berserat untuk melawaskan perkumuhan dan meningkatkan penghadaman.

3. Minum Air Kosong

Lebihkan air putih, bukannya air manis! Tips dari Mama Siti, jangan tunggu haus baru nak minum air, sebab deria rasa mama mungkin tak seaktif atau sepeka dulu. Kalau dibiarkan saja mama mungkin alami dehidrasi.

4. Ambil Vitamin & Mineral Yang Secukupnya

Cuba berjinak-jinak dengan vitamin dan mineral. Mama perlukan semua ni untuk kekalkan sel dan sistem tubuh yang sihat. Dapatkan vitamin dan mineral daripada makanan asli seberapa yang boleh. Kalau tak tahu apa yang perlu diambil, mama boleh berbincang dengan doktor berkaitan suplemen kesihatan untuk mama.

5. Amalan Makan 3 Kali Sehari

Jadual makan yang teratur akan mencegah penambahan berat badan selain mengekalkan kesihatan mama.

Amalkan pemakanan yang sihat tapi mengenyangkan. Mama boleh makan dalam 3 kali sehari. Cara ini akan bantu mama kekalkan tenaga untuk sehari suntuk dan elakkan makan secara berlebihan.

6. Jaga Gigi

Amalkan penjagaan oral yang baik. Kekurangan gigi atau penggunaan gigi palsu mungkin menjejaskan pemakanan. Jumpa doktor gigi jika mama perlukan nasihat berkenaan pengambilan nutrisi yang mencukupi.

7. Ambil Snek Sihat

Sediakan makanan ringan yang sihat. Kalau mama tak ada selera, mama boleh cuba alas perut dengan makanan ringan yang sihat dan mudah dimakan seperti roti gandum penuh, roti ban, bijirin, susu, buah-buahan, yogurt, kepingan keju atau sup.

Kekalkan keseronokan dalam pemakanan. Walaupun mama hanya hirup sup atau minum jus, ia tak semestinya menjemukan! Makan bersama ahli keluarga, kawan atau di taman untuk mendapatkan udara segar dan persekitaran yang berbeza!

Sumber: Malaysian Menopause Society

BACA JUGA GANGGUAN HORMON TAK TERKAWAL BOLEH MENGAKIBATKAN PUNCA GAGAL HAMIL?

Pesan Mama Siti:

Untuk melindungi kesihatan mama, mama kena amalkan makanan yang kaya dengan kalsium dan vitamin D, atau suplemen yang dicadangkan oleh doktor selain mengekalkan gaya hidup aktif. Sekiranya menopaus ni berlaku kepada orang terdekat contohnya isteri atau ibu kita, cuba faham dengan keadaan mereka dan bantu mereka menghadapinya dengan sokongan moral.