KelabMama

Fakta Dan Panduan Bedung Bayi Dengan Selamat dan Betul

Bedung bayi atau baby bukanlah sesuatu yang asing. Malah, ia diamalkan turun-temurun oleh kebanyakan bangsa, termasuk masyarakat Barat.  Amalan ini ialah amalan di mana bayi yang baru lahir dibalut dengan kain supaya bayi berasa tenang dan selesa hingga mudah untuk tidur.

Kredit: Pop Mama

Mungkin ada ibu bapa yang agak keberatan hendak membedung anak kerana merasakan bayi tidak selesa apabila dibedung. Benarkah tanggapan itu?

Fakta Mengenai Bedung Bayi 

#1 Bayi berasa selesa dan selama bila dibedung

Tanggapan membedung bayi akan membuat bayi menjadi resah tidaklah 100% benar. Ibu bapa mungkin merasa dengan membalut bayi semasa hendak tidur akan membuatkan bayi berasa panas hingga berpeluh dan merimaskan. 

Sebenarnya, bayi yang dibedung akan berasa seperti dipeluk dan selamat, seperti keadaan di dalam rahim ibu sebelum dilahirkan. Lagipun, membedung bayi semasa dia tidur akan mengurangkan pergerakan tangannya tanpa sedar yang mungkin mengganggu tidurnya. Jadi dengan membedung, bayi akan tidur dengan lebih lena dan nyenyak. 

#2 Bedung tidak menghalang kebebasan bayi

Ada juga yang merasakan bedung menghalang bayi untuk bergerak bebas. Justeru, ini akan menyebabkan bayi tidak berkesempatan untuk meneroka alam kehidupan baru mereka melalui sentuhan. 

Membedung bayi tidak menghalang pertumbuhan dan perkembangan bayi untuk belajar dan meneroka apa disekelilingnya. Malahan, bayi mudah terangsang dengan keadaan persekitaran hingga membuatkan membedungnya menjadikan ia lebih tenang dan fokus. Ketika dibedung, bayi boleh lebih fokus menggunakan deria bunyi dan penglihatannya, yang mana juga perlu untuk perkembangan bayi. 

Kredit: siraplimau.com

#3 Bayi akan susah tidur apabila sudah tidak dibedung

Mungkin ada ibu bapa yang mengambil keputusan untuk tidak membedung bayi kerana tidak mahu membiasakan habit ini. Fasa tidur berbedung akan berakhir jua lama-kelamaan. Bayi akan pandai menyesuaikan diri serta mencari posisi yang selesa tanpa dibedung apabila mereka mula membesar. Jadi, andaian yang tidur berbedung akan menjadi satu habit yang sukar dilepaskan adalah tidak benar. 

#4 Tidak semua kain boleh dibuat kain bedung

Kain yang sesuai haruslah menjadi pilihan ibu bapa ketika hendak membedung bayi. Material kain kapas muslin adalah yang paling popular dan menjadi pilihan ibu bapa untuk dijadikan kain bedung. Ianya lembut secara semulajadi, dan cenderung untuk lebih lembut apabila dibasuh berulang kali. 

Di pasaran hari ini, ada banyak kain bedung yang direka sesuai dengan peredaran zaman moden. Ada kain bedung yang mempunyai perekat velcro, dan ada juga yang berzip untuk memudahkan. Pastikan ibu ayah memilih kain yang sesuai dan selesa untuk bayi. 

#5 Bedung bukan alasan utama bayi terbunuh

Kebanyakan kes kematian bayi, atau juga dikenali sebagai Sudden Infant Death Syndrome (SIDS) semasa sedang tidur bukanlah disebabkan bayi dibedung. Sebaliknya, posisi bayi itu sendiri yang menyebabkan ia menghadapi masalah untuk bernafas sehingga menyebabkan malang tidak berbau.

Sama ada berbedung atau tidak, ibu bapa kena pastikan bayi tidak tidur mengiring atau ditiarapkan kerana ia menghalang aliran udara dan sekaligus menyukarkan pernafasan hingga meragut nyawa bayi. 

Kebaikan dan Faedah Bedung Bayi 

Kredit: Best Mom

Antara kebaikan dan manfaat yang ibu bapa perolehi apabila membedung bayi termasuklah:

Jadi, mengapa perlu beralasan untuk tidak belajar untuk bedung bayi?

Cara-cara Bedung Bayi Dengan Betul

Walaupun bedung bayi nampak sesuatu yang mudah, ia tidak sepatutnya dipandang remeh. Ibu bapa dan penjaga haruslah cakna dan ambil tahu langkah-langkah dan cara-cara bedung bayi. 

Kredit: hellodoktor.com

Berikut adalah cara-cara bedung bayi yang betul dan selamat yang perlu diketahui bagi memastikan keselesaan dan keselamatan bayi terjamin:

#1 Gunakan kain yang nipis dan sesuai. Jangan menggunakan kain berlapis-lapis kerana ia boleh membuatkan bayi cepat panas dan resah. 

#2 Pastikan bayi tidak dibedung melebih bahu – leher dan sebahagian bahagian muka dan kepala bayi tidak boleh dibedung sama sekali.

#3 Jangan bedung terlalu ketat hingga menghalang pergerakan peha dan lutut bayi. Kaki yang diluruskan dan dibedung dengan ketat akan menyebabkan terbantut pertumbuhan pinggul dan peha hingga boleh mengakibatkan pertumbuhan bayi terbantut. 

#4 Ibu bapa haruslah sentiasa mengambil berat suhu persekitaran dan memastikan bayi tidak terlalu panas dan memakai pakaian bersesuaian dengan keadaan persekitaran.

#5 Ibu bapa dinasihati untuk mengajar dan memastikan penjaga bayi tahu cara dan teknik membedung dengan betul bagi mengelakkan perkara-perkara musibah daripada berlaku.

#6 Sentiasa pastikan bayi yang dibedung ditidur dalam keadaan berbaring, bukan secara mengiring atau tertiarap. 

#7 Jaga kebersihan kain bedung dan pastikan ia dibasuh dengan kerap, walaupun tiada kotoran kelihatan dengan mata kasar. 

#8 Jangan bedung bayi ketika hendak menaiki kereta dan meletakkannya di kerusi bayi. Ia dapat merisikokan keselamatan bayi ketika kenderaan begerak. 

Kredit: Pop Mama

Bedung bayi hanya boleh digunapakai ketika si manja di peringkat usia bayi atau newborn. Sebaik sahaja bayi sudah pandai untuk berpusing, ibu bapa dinasihatkan untuk tidak membedung bayi, walaupun ketika dia sedang nyenyak lena. Kebiasaannya, bayi akan mula bergolek dan berpusing pada usia 2 hingga 3 bulan. 

Mama Siti harap panduan yang Mama Siti kongsikan kali ini sedikit sebanyak dapat membantu ibu ayah dalam melaksanakan yang terbaik untuk bayi tercinta.