KelabMama

Barut Bayi – 5 Kelebihan & 5 Tips Memilih Barut Yang Selesa

Kelahiran bayi pertama pasti mengujakan mereka yang baru bergelar mama dan papa. Tentunya pelbagai persediaan dilakukan, tak kira dari segi mental, kesihatan mama, kewangan malah yang paling utama barangan keperluan bayi. Sebolehnya setiap dari kita akan pastikan barangan bayi mencukupi dan sesempurna mungkin termasuklah memilih dan memakai barut bayi.

Mungkin ada yang akan menyenaraikan barut ini sebagai keperluan dan mungkin juga tak.  Tapi mengikut kata orang dulu-dulu, barut antara keperluan wajib untuk bayi bagi mengelakkan si manja kembung perut. Kalau dulu tak mempunyai banyak pilihan seperti sekarang. Kini barut boleh didapati dalam pelbagai jenis, warna dan corak yang comel-comel!

Apa Itu Barut Bayi? 

Sebenarnya barut atau bengkung bayi ini bukanlah sesuatu peralatan yang berteknologi dan merumitkan. Ianya digunakan sejak dari zaman ‘tok nenek’ kita ladi. Orang dulu-dulu amat mengambil berat tentang penjagaan bayi yang baru lahir. Tak dinafikan, pengalaman turun-temurun itu memang banyak kebaikannya. 

Barut ini mudah dan ringkas je penggunaannya. Ia hanyalah sekeping kain empat segi tepat yang digunakan untuk membalut bahagian perut badan bayi. Kebiasaannya barut digunakan untuk membalut daripada dada hingga ke bawah pusat bayi. Ianya boleh digunakan seawal bayi lahir hinggalah berumur di dalam lingkungan 2-3 bulan, bergantung kepada kesesuaian dan keadaan bayi.

Kebaikan Memakai Barut Untuk Bayi 

Sebenarnya ada banyak kebaikan memakaikan barut untuk bayi ni. Antara kebaikannya termasuklah:

#1 Mengelakkan perut bayi kembung

Bayi yang baru lahir sangat mudah kembung perut atau masuk angin. Banyak punca dan sebab yang boleh menyebabkan bayi kembung. Antara puncanya ialah perkembangan usus yang belum matang atau alahan pada laktosa. Bayi yang kembung perut akan berasa tak selesa dan sering menangis hingga boleh meresahkan mama dan papa. Penggunaan barut sedikit sebanyak boleh mengelakkan atau mengurangkan risiko perut kembung pada bayi.

#2 Mengelakkan bayi menyusu berlebihan 

Menyusu semestinya baik untuk bayi dan dalam proses tumbesaran bayi yang menyusu dengan mencukupi adalah bayi yang sihat. Namun demikian, setiap perkara yang berlebihan akan membawa kepada keburukan termasuklah menyusu. Pemakaian barut akan membuatkan penyusuan bayi terbatas kerana barut yang dipakaikan ‘memegang’ perut bayi.

Kredit Shopee

#3 Merapikan tali pusat bayi 

Tali pusat bayi selalunya akan tanggal selepas seminggu dua kelahiran. Bayi yang baru tanggal tali pusat mungkin agak sensitif pada sentuhan pakaian dan lain-lain. Tambahan pula bila bayi ini digomol dan dipeluk oleh abang kakaknya yang masih kecil lagi. Dengan memakaikan barut dapat menjaga dan melindungi tali pusat bayi dan mengelakkan daripada kecederaan fizikal. 

#4 Mengelakkan pusat bayi dari digigit serangga 

Pemakaian barut juga melindungi pusat dan tali pusat yang belum tanggal dari digigit serangga seperti semut. Cuba bayangkan jika makhluk kecil itu merayap ke tali pusat bayi yang masih belum putus dan menggigitnya. Pasti bayi akan meraung kesakitan dan mama akan keliru kerana tak tahu puncanya. 

#5 Mengelakkan pusat bayi dari tersembul keluar  

Kadang-kadang, pusat bayi cenderung untuk terkeluar disebabkan banyak menyusu. Pemakaian barut dapat membantu dan mengawal pusat bayi dari tersembul keluar.

Dari apa yang Mama Siti kongsikan di atas ternyata memakaikan barut bukanlah sesuatu yang sia-sia dan tak memberi faedah. Ia memang menjadi keperluan wajib si manja yang baru lahir. Percayalah ia sangat-sangat membantu!

Hari ini, ada pelbagai jenis barut yang dijual, baik di kedai-kedai bayi mahupun ‘online’. Buat mama yang ada kelapangan, hendak menjahit sendiri bukanlah sesuatu yang sukar. Tetapi, hendak membeli yang sedia ada pun taklah terlalu mahal. Kebiasaannya barut yang dijual adalah yang jenis berjahit daripada sehelai kain putih bertali. Malah kini, sudah ramai usahawan kreatif yang mencipta barut dari pelbagai jenis kain bercorak yang memang sangat comel buat bayi!

Jadi, bagaimanakah mama hendak memilih barut yang terbaik untuk kegunaan si manja mama?

Tips Memilih Barut Untuk Bayi

Kredit Facebook

#1 Jenis kain barut

Pilihlah jenis kain yang nipis, lembut dan kurang panas. Penggunaan kain barut dari jenis flannel kapas (cotton flannel) adalah dari jenis material yang lembut dan sejuk. Material jenis ini sesuai untuk digunakan pada kulit bayi yang lembut dan sensitif secara semulajadi itu. 

#2 Saiz barut bayi

Walaupun mungkin ada yang fikir ia didatangi dengan satu saiz je kerana ia hanya perlu diikat untuk disesuaikan dengan bayi, tanggapan itu kurang tepat. Ia juga didatangi dengan saiz yang bersesuaian untuk kegunaan bayi. Ini adalah kerana bukaan bidang kain barut ini berbeza mengikut saiz supaya tak terlalu besar atau kecil untuk menutup bahagian dada dan perut bayi. 

#3 Jenis ikatan barut  

Secara tradisionalnya, ia direka dengan dijahitkan tali untuk dililit dan diikat di sekeliling perut bayi. Hari ini, untuk memudahkan lagi pemakaian, ada barut yang tak lagi menggunakan tali. Ia hanya menggunakan pelekat ‘velcro’ yang semestinya memudahkan mama memakaikan barut pada bayi. 

Kredit HasrulHassan.com

#4 Cara ikatan barut 

Apa juga kaedah pemakaian, pastikan mama tak menutupi bahagian tali pusat yang masih belum tertanggal. Ikat atau lekatkan mengikut kesesuaian, tak terlalu ketat atau tak terlalu longgar. Bagi barut yang didatangi dengan pelekat ‘velcro’, pastikan ia tak dilekatkan di tengah pusat bayi. Elakkan juga dari menyapu sebarang krim herba yang menyebabkan kulit bayi yang sensitif itu kerengsaan atau alahan. Pastikan barut yang dipakaikan itu bersih bagi mengelakkan sebarang jangkitan dan kuman. 

#5 Waktu menggunakan barut  

Kebiasaannya barut ini dipakaikan setelah bayi selesai mandi atau dibersihkan. Sebenarnya, dengan cara ikatan yang betul dan selesa, bukanlah menjadi satu masalah untuk menggunakan barut ini selama mana yang mama mahu. Pastikan ianya ditukar jika bayi terlalu panas dan berpeluh dan jangan digunakan melebih 8 jam. Mungkin ia tak kelihatan kotor, tetapi dah ada banyak kuman yang hampiri jika dibiarkan terlalu lama.

Semoga membantu!

Pesan Mama Siti

Perut bayi adalah antara bahagian yang paling sensitif pada bayi. Walaupun belum ada kajian saintifik yang mengesahkan penggunaan barut akan menyebabkan kembung perut hilang, sekurang-kurangnya ia dapat membantu melegakan bayi dan menambahkan keselesaannya jika betul pemakaiannya. Jadi, mama dah masukkan jenis barut yang macam mana yang hendak dibeli di dalam senarai mama?