KelabMama

BAHAYANYA JIKA ORGAN MELEKAT SELEPAS PEMBEDAHAN CAESAREAN! MAMA KENA TAHU HAL INI!

Walaupun mengandungkan bayi merupakan antara pengalaman terhebat seorang wanita, namun apabila mereka mengenangkan proses kelahiran itu, terutama yang perlu menjalani pembedahan Caesarean, ramai yang ‘kecut perut’.Maklumlah perut mereka akan ‘dipotong’. Pelbagai perasaan – gelisah, risau dan takut – menghantui. Tetapi, itu perkara lumrah. Kemudian, terdengar pula cerita daripada teman-teman mengenai kemungkinan melalui pembedahan Caesarean berulang sekiranya bayi pertama dilahirkan melalui kaedah itu. Ini belum termasuk kesan sampingan kononnya perut bakal lebih buncit menyusuli kelahiran.Hakikatnya, dengan kemajuan pesat dalam pembedahan Caesarean, proses kelahiran sedemikian kini lebih selamat. Tetapi, yang menjadi masalah ialah sekiranya ada masalah selepas pembedahan Caesarean itu.

Perut perit lepas dibedah

Seorang wanita dikenali dengan nama ‘Geline’ bersalin melalui pembedahan Caesarean yang pertama untuk melahirkan bayinya. Beliau berasa sakit di perut. Kesakitan itu berterusan sehingga tiga bulan dan beliau terpaksa memakan ubat penahan sakit untuk melegakan kesakitannya. Rupa-rupanya apa yang beliau alami ialah masalah organ organ yang terlibat dalam pembedahan Caesareannya itu yang saling melekat antara satu sama lain.

Sebenarnya, risiko mengalami lekatan organ yang disebut dalam bahasa Inggeris sebagai ‘adhesion’ boleh berlaku menyusuli pembedahan melibatkan apa jua organ dan tidak terbatas kepada Caesarean sahaja. Ia terjadi akibat pembentukan bahan disebut fibrin – di dalam dan di sekitar organ-organ serta tisu di dalam tubuh menyusuli pembedahan. Fibrin adalah sejenis protein tidak larut yang terbentuk daripada protein fibrinogen semasa penggumpalan dan pembekuan darah bagi membantu proses penyembuhan.

Namun, organ-organ yang melekat akibat pembentukan fibrin ini boleh menimbulkan masalah kesihatan yang serius seperti kesakitan di bahagian pelvis (ruang pinggul). Adakala, ia juga boleh menyekat saluran usus dan membawa kepada masalah ketidaksuburan. Lekatan ini juga boleh menghasilkan tisu-tisu yang kian membesar di sekitar parut pembedahan. Ini boleh menimbulkan risiko kecederaan apabila pakar bedah perlu melakukan pembedahan Caesarean yang berikutnya ke atas ibu tersebut.

Bahaya bila organ melekat

Masalah lekatan memang boleh menimbulkan bahaya. Jika jahitan dilakukan selepas pembedahan Caesarean di bahagian rahim yang dekat dengan usus, dan timbul masalah lekatan, usus itu boleh terpusing dan tersekat. Akibatnya, pesakit tidak dapat membuang air besar dan mengalami kembung dan ini agak membahayakan. Pesakit juga boleh mengalami kesakitan semasa hendak membuang air kecil, semasa berlari dan melakukan hubungan kelamin. Tetapi, tidak semua ibu akan menghadapi masalah lekatan selepas pembedahan Caesarean. Menurut data, bagi setiap empat wanita yang melahirkan bayi di sini, seorang daripada mereka akan melalui pembedahan Caesarean. Daripada jumlah ini, 70 peratus pula mempunyai risiko mengalami komplikasi lekatan.

Cara atasi lekatan

Sejak sekitar 10 tahun lalu pakar-pakar bidan telah menggunakan satu bahan yang didapati berkesan mencegah masalah lekatan. Ia adalah salah satu bahan pencegah lekatan iaitu seprafilm. Bahan ini paling biasa digunakan di seluruh dunia. Seprafilm boleh berubah bentuk daripada lapisan tipis menjadi gel apabila dilapikkan antara organ-organ yang terjejas selepas pembedahan Caesarean. Gel ini akan mengelakkan organ-organ yang terlibat daripada melekat antara satu sama lain, kemudian lebur dan meresap ke dalam daging organ.

Justeru, jika seorang wanita perlu menjalani pembedahan Caesarean sekali lagi, beliau tidak akan menghadapi masalah organ-organnya yang melekat perlu dipotong bagi memudahkan proses kelahirannya. Satu kajian menunjukkan bahawa 93 peratus wanita yang menggunakan bahan pencegah lekatan ini semasa pembedahan Caesarean pertama, tidak akan mengalami lekatan sesudah itu.  Lekatan organ berlaku pada hari pertama selepas pembedahan. Tetapi biasanya pada hari kelima, fibrin (bahan yang terbentuk selepas pembedahan) akan larut dan digantikan dengan tisu-tisu normal. Tetapi, dalam sesetengah kes, kekurangan bekalan darah ke bahagian yang sudah dibedah itu membuat fibrin tidak larut sepenuhnya. Ini yang mengakibatkan lekatan organ.

Berbincang dengan doktor

Tidak kiralah sama ada seorang wanita mahu menjalani pembedanan Caesarean atau tidak, mereka hendaklah berbincang dengan pakar bidan mereka tentang langkah untuk mengelakkan lekatan ini. Sebabnya, adakala ibu yang disangka akan melahirkan bayinya secara normal, perlu menjalani pembedahan Caesarean dalam keadaan kecemasan. Jadi, penting mereka menghadapi kemungkinan dan meminta doktor mengambil langkah meletakkan bahan pencegah lekatan organ seperti Seprafilm. Ini supaya apabila ibu mahu melahirkan anak sekali lagi, juga secara Caesarean, tiada organ-organ yang melekat yang akan menyukarkan doktor untuk mengeluarkan bayinya.

Caesarean berulang?

Tidak semestinya seorang ibu yang telah menjalani pembedahan Caesarean harus menjalaninya lagi untuk melahirkan bayi yang seterusnya. Ada ibu melakukan kelahiran bayi secara normal walaupun si ibu pernah menjalani pembedahan Caesarean. Jika serviks ibu terbuka sepenuhnya, beliau boleh melahirkan sendiri bayinya. Jika dulu ibu terpaksa menjalani Caesarean kerana kandungannya songsang, tetapi kali ini ia tidak songsang, maka kelahiran normal boleh dilakukan. Ibu yang perlu menjalani pembedahan Caesarean buat kali ketiga, akan diberi kaunseling tentang masalah yang boleh berlaku seperti parut dan tempat peranakan yang koyak.

Ada yang sengaja mahu dibedah

Pelik tetapi benar. Ada wanita yang memilih untuk menjalani pembedahan Caesarean walaupun mereka boleh melahirkan bayi secara normal. Mereka memilih kaedah demikian, walaupun pembedahan Caesarean lebih berisiko tinggi – sekitar empat hingga lapan kali ganda lebih bahaya – berbanding dengan kelahiran normal. Antara sebab-sebabnya, mereka menganggap melahirkan bayi secara normal lebih menyakitkan kerana mereka dapat merasai kesakitan itu. Sebaliknya, pembedahan Caesarean boleh membuat mereka tidak sedar dan tiba-tiba, bayi sudah dilahirkan. Pembedahan Caesarean dilakukan jika bayi berada dalam posisi salah semasa hendak dilahirkan, seperti punggungnya, dan bukan kepalanya yang berada di bawah atau kepalanya tidak terpusing di posisi yang betul. Dalam keadaan demikian, ibu mesti menjalani pembedahan Caesarean. Jika tidak, bayi tidak boleh keluar.

Kepada ibu yang mahu memilih pembedahan Caesarean, sedangkan ia tidak perlu, dinasihatkan agar mereka usah takut menjalani kelahiran normal kerana mereka boleh diberikan ubat epidural (ubat penahan sakit semasa proses kelahiran) untuk menghilangkan rasa sakit. Tempoh paling baik untuk merancang pembedahan Caesarean adalah semasa kandungan berusia 38 hingga 39 minggu.

Namun, ada ibu yang perlu menjalaninya seperti mereka yang hamil beberapa anak kembar dan ibu yang lanjut usia. Risiko-risiko pembedahan Caesarean termasuk infeksi dan masalah ‘adhesion’ iaitu organ-organ di tempat peranakan yang melekat semasa pembedahan dilakukan. Ia juga boleh membawa risiko kematian kerana masalah trombosis iaitu pembekuan darah di dalam jantung, pembuluh darah atau paru-paru.

 

Kredit: Dr Suresh Nair, Berita Harian