KelabMama

Bukan Sekadar ‘Lambat Cakap’: Pakar Jelaskan Autisme Yang Sebenarnya

ciri-ciri anak autisme

Ramai Mama Papa mula risau bila anak lambat bercakap, mudah tantrum atau sukar bergaul dengan orang sekeliling. Tapi, bila ditanya doktor atau pakar, ada yang tak pasti sama ada ini hanya “fasa perkembangan” atau sebenarnya tanda-tanda autisme.

Ms Tan Cheng Yi,
Pakar Psikologi

Sempena Bulan Kesedaran Autisme, penting untuk kita memahami bahawa autisme bukan sekadar satu label, tetapi satu spektrum yang luas dan unik bagi setiap individu.

Dalam dunia keibubapaan hari ini, semakin ramai Mama Papa yang ingin memahami anak mereka dengan lebih baik terutamanya jika mereka menunjukkan keperluan khas dari segi komunikasi, emosi dan tingkah laku.

Mama Siti berpeluang menemubual Ms Tan Cheng Yi, Pakar Psikologi dari Subang Jaya Medical Centre (SJMC) yang berpengalaman luas dalam bidang autisme.

Dalam temubual ini, beliau berkongsi ilmu penting tentang bagaimana diagnosis anak autisme, cara mengurus perubahan tingkah laku anak, serta bagaimana Mama Papa boleh memainkan peranan positif dalam perkembangan anak-anak mereka.

1. Pada usia berapa Mama Papa boleh membawa si manja untuk diagnosis autisme, dan ke mana Mama Papa perlu pergi?

Tiada usia tetap bagi Mama Papa untuk membawa anak mereka untuk diagnosis autism, sekiranya ada kebimbangan yang munasabah, terutama jika terdapat sejarah keluarga yang menghidap autism atau kecacatan neuro pembangunan.

Walau bagaimanapun, profesional yang Mama Papa berunding mungkin memutuskan untuk tidak membuat diagnosis pada saat itu secara tergesa-gesa, tetapi beliau menunggu sehingga anak itu membesar dan berkembang. Ini supaya diagnosis yang lebih tepat boleh dibuat.

Autism boleh didiagnosis seawal usia 1.5 tahun dalam beberapa kes di mana autisme adalah jelas dan ketara. Terdapat juga keadaan lain yang mungkin berlaku bersama autisme, oleh demikian pakar akan memaklumkan ibu bapa mengenai keadaan perubatan tersebut.

Perundingan dengan profesional bukan sahaja untuk diagnosis, tetapi juga untuk berbincang mengenai apa yang mungkin menyebabkan kelewatan dan yang lebih penting, apa yang boleh dilakukan oleh Mama Papa untuk mengurangkan cabaran-cabaran tersebut.

Mama Papa sebaiknya pergi berjumpa dengan pakar pediatrik perkembangan jika anak berusia bawah 12 tahun atau mereka boleh berjumpa dengan pakar psikiatri kanak-kanak dan remaja jika mereka berusia lebih 12 tahun. Terdapat kemungkinan senarai menunggu yang panjang untuk para profesional yang berharga ini.

Psikologis kanak-kanak, pakar pediatrik am, pakar perubatan keluarga, guru pendidikan khas, ahli terapi pertuturan kanak-kanak dan ahli terapi cara kerja biasanya mempunyai pengetahuan tentang autisme.

Walau bagaimanapun, selain daripada doktor, psikologi kanak-kanak adalah mereka yang mungkin mempunyai kemampuan untuk membuat diagnosis.

Oleh itu, Mama Papa mungkin akhirnya dirujuk kepada pakar pediatrik perkembangan, pakar psikiatri kanak-kanak dan remaja, atau psikologi untuk diagnosis.

2. Bagaimana cara untuk Mama membezakan antara tantrum biasa, sensory overload, dan tanda-tanda depresi kepada anak?

Ini berbeza antara satu kanak-kanak dengan kanak-kanak yang lain. Secara amnya, semua kanak-kanak mungkin cenderung untuk mengalami tantrum, terutamanya pada usia yang lebih muda apabila mereka mempunyai kawalan diri yang rendah dan tidak dapat menyatakan perasaan mereka dengan betul.

Sensory overload boleh dikenalpasti dengan memerhatikan persekitaran sekitar kanak-kanak. Mama Papa perlu mengambil perhatian tentang persekitarannya. Adakah ia terlalu bising, sesak, panas, sejuk, terang, berbau, dan sebagainya?

Ingat, kanak-kanak mungkin mempunyai ambang toleransi yang lebih rendah terhadap bunyi, pemandangan, bau, suhu, tekstur dan sebagainya. Oleh itu, mereka mungkin terjejas oleh mana-mana rangsangan tersebut walaupun orang lain berpendapat ia adalah perkara biasa.

Mama Papa juga perlu mengambil perhatian tentang kejadian sebelum (antecedent) dan selepas tantrum (consequences).

Apa yang berlaku sebelum kanak-kanak mengalami tantrum? Adakah mereka sedang berkomunikasi tentang ketidaksukaan terhadap sesuatu, seperti disajikan dengan makanan yang berperisa kuat, atau berjalan ke dalam bilik darjah yang sangat sibuk?

Apa yang berlaku selepas item/rangsangan tertentu dihapuskan? Adakah kanak-kanak tenang semula? Jika kanak-kanak berhenti tantrum apabila rangsangan itu dihapuskan, ia mungkin juga petanda bahawa mereka sedang bertindak balas terhadap rangsangan tersebut.

Perhatikan sebarang corak dalam tingkah laku kanak-kanak dan Mama Papa mungkin mula melihat tanda-tanda yang berkaitan dengan sensory overload.

Mengenai kemurungan, ya, kanak-kanak yang mengalami kemurungan boleh mengalami tantrum yang kerap kerana kesusahan emosi, rasa frustrasi atau kemarahan mereka. Kemurungan adalah masalah yang berkaitan dengan mood, jadi tanda-tandanya mungkin berbeza dari tantrum biasa.

Kemurungan dalam kanak-kanak kadang-kadang disertai dengan regresi dalam perkembangan mereka. Ini bermakna kanak-kanak mungkin mula berkelakuan seperti yang mereka lakukan ketika mereka lebih muda.

Contohnya, mereka mungkin mula menghisap ibu jari mereka semula, meminta untuk diangkat, atau kembali bercakap dengan bahasa bayi.

Simptom lain kemurungan dalam kalangan kanak-kanak kecil termasuk:

Jika kanak-kanak menunjukkan mana-mana tingkah laku ini selama beberapa hari atau minggu, adalah lebih baik untuk berunding dengan pakar kanak-kanak.

3. Adakah anak autism sebenarnya anak yang genius, atau itu cuma mitos?

Autisme boleh didiagnosis pada apa jua tahap IQ. Walaupun terdapat kanak-kanak autistik yang berada dalam julat kecerdasan tinggi, ada juga yang berada dalam julat kecerdasan yang lebih rendah. Semua kanak-kanak autistik mempunyai kekuatan dan kelemahan tersendiri.

Kadang-kadang, kekuatan mereka sangat luar biasa; sehingga mereka boleh melakukan sesuatu dengan jauh lebih baik berbanding kebanyakan orang.

Contohnya, sesetengah mereka mungkin menjadi prodigi dalam bidang sains, muzik, atau seni. Sesetengah mungkin menjadi genius komputer, manakala yang lain mungkin mempunyai kemahiran pengucapan awam yang luar biasa.

Namun begitu, ramai juga kanak-kanak autistik yang tidak mempunyai bakat luar biasa. Kepercayaan bahawa semua kanak-kanak dengan autisme adalah genius hanya merupakan sebuah mitos.

4. Bagaimanakah seorang Mama boleh membantu anak-anaknya menguruskan perubahan rutin tanpa menimbulkan stres kepada mereka?

Perubahan rutin selalunya menjadi perkara yang mencemaskan bagi kanak-kanak autisme kerana mereka menghadapi kesukaran untuk menyesuaikan diri.

Apabila sesuatu perkara kekal sama, mereka tahu apa yang dijangka akan berlaku. Keadaan yang tidak dapat diramal boleh mencetuskan kebimbangan.

Untuk membantu mereka menghadapi perubahan, berikan anak anda makluman awal sebelum perubahan berlaku supaya mereka tahu apa yang akan terjadi. Kanak-kanak autistik lebih mudah belajar melalui saluran visual. Oleh sebab itu, jika Mama Papa ingin membawa mereka ke tempat baru, anda boleh tunjukkan gambar tempat tersebut.

Tunjukkan dan beritahu mereka ke mana mereka akan pergi, bagaimana mereka akan ke sana, siapa yang akan ada di sana, apa yang akan dilakukan dan sebagainya. Semua maklumat ini boleh ditulis atau dikumpulkan dalam bentuk social story (rujuk: Social Stories oleh Carol Gray).

Mama Papa juga disarankan untuk memperkenalkan perubahan secara berperingkat agar ia tidak terlalu mengejutkan anak.

Contohnya, jika Mama Papa merancang untuk menghantar anak ke sekolah baru, mulakan dengan menunjukkan gambar sekolah tersebut, kemudian lawati sekolah dan seterusnya lakukan sesi kelas percubaan yang pendek.

Beri pilihan kepada anak agar mereka rasa mempunyai kawalan terhadap perubahan yang berlaku. Sesetengah kanak-kanak mungkin rasa perubahan itu dipaksa ke atas mereka, dan ini menyukarkan penerimaan.

Tetapi apabila diberi peluang membuat pilihan, mereka rasa lebih yakin dan mampu menerima perubahan dengan lebih baik. Contohnya, Mama Papa boleh beri pilihan makanan ringan yang ingin dibawa ke sekolah baru, atau pilihan beg sekolah yang ingin digunakan.

Akhir sekali, berikan pujian dan galakan setiap kali mereka menunjukkan usaha untuk menyesuaikan diri dengan perubahan. Penguatan positif ini amat penting dalam membantu mereka membina keyakinan diri.

5. Apa pandangan pakar tentang homeschooling untuk anak autistik?

Ini adalah pilihan yang diambil oleh sesetengah Mama Papa kerana ia paling sesuai untuk anak mereka.

Di kalangan Mama Papa yang memilih homeschool, mereka mungkin berbuat demikian kerana sekolah kebangsaan di lokasi kediaman mereka tidak mempunyai kebolehan atau fleksibiliti untuk menampung keperluan unik anak autisme mereka. Mencari sekolah yang sesuai adalah antara cabaran terbesar bagi Mama Papa di Malaysia.

Mama Papa boleh sahaja memilih kaedah homeschooling, untuk anak mereka asalkan anak mendapat kurikulum yang luas dan seimbang. Kanak-kanak bukan sahaja memerlukan kemahiran akademik, tetapi juga perlu belajar bersosial, mengawal emosi, hidup berdikari dan menyelesaikan masalah.

Kadangkala, homeschooling boleh mengehadkan pengalaman atau pendedahan anak kepada dunia sebenar. Namun, ia juga boleh memberi peluang kepada anak untuk berkembang mengikut rentak mereka sendiri, dalam persekitaran yang lebih kecil dan terkawal.

Walau bagaimanapun, Mama Papa perlu mempertimbangkan semua pilihan sebelum membuat keputusan untuk homeschool anak mereka. Mereka juga boleh mendapatkan nasihat daripada Mama Papa yang lain, serta profesional yang merawat atau membimbing anak mereka.

Kanak-kanak yang mengalami kelewatan perkembangan mungkin boleh bermula dengan homeschooling, tetapi mereka juga boleh dipindahkan ke sekolah arus perdana sekiranya mereka berkemampuan pada masa akan datang.

6. Adakah teknik seperti terapi muzik atau seni boleh membantu kanak-kanak autistik meluahkan perasaan mereka?

Ya, muzik dan seni (seperti melukis, mewarna, reka bentuk, drama dan tarian) merupakan dua medium yang sering digunakan oleh kanak-kanak dengan autisme untuk mengekspresikan diri mereka.

Sebab utama adalah kerana muzik dan seni merupakan bentuk ekspresi kreativiti manusia yang boleh dinikmati dan difahami oleh sesiapa sahaja. Muzik dan seni melibatkan pelbagai deria dan emosi.

Oleh itu, kedua-duanya mempunyai potensi besar sebagai alat komunikasi, dan boleh membantu dari segi sosial dan pendidikan.

Seseorang tidak perlu boleh bercakap untuk menikmati muzik dan seni. Kanak-kanak autistik yang tidak verbal juga boleh menikmati muzik dan seni sama seperti orang lain.

Ahli terapi muzik dan seni boleh menggunakan muzik untuk berhubung dengan kanak-kanak yang bersikap tertutup atau kurang berkemampuan, bagi mengajar mereka kemahiran sosial-emosi seperti ekspresi wajah dan perhatian bersama (joint-attention).

Muzik dan seni juga sering disertakan dengan pergerakan fizikal yang membantu dalam perkembangan kemahiran motor halus dan kasar, serta digunakan dalam pembelajaran.

7. Adakah pendedahan kepada teknologi dan skrin boleh memberi kesan negatif kepada anak autisme?

Teknologi dan skrin adalah pedang bermata dua yang tajam kerana ia mempunyai manfaat dan keburukan. Antara manfaatnya ialah gajet dan peraltan teknologi mempunyai platform multisensori untuk pengajaran dan pembelajaran. Kanak-kanak boleh melihat, mendengar dan menyentuh skrin sambil belajar.

Ini menjadikannya sangat menarik dan memikat. Kebanyakan program skrin mudah digunakan dan mudah diakses. Sebaliknya, penggunaan skrin kadang-kadang boleh menggantikan interaksi manusia yang penting untuk perkembangan kemahiran komunikasi dan sosial.

Berinteraksi dengan orang lain selalunya lebih sukar daripada berinteraksi dengan skrin. Antara kedua-dua pilihan ini, kanak-kanak mungkin akan memilih yang lebih mudah. Selain itu, program skrin sangat menagihkan dan apabila kanak-kanak sudah ketagih, mereka tidak akan mampu menahan diri atau akan sangat menginginkannya.

Tantrum dan masalah tingkah laku akan muncul apabila Mama Papa menafikan sesuatu yang mereka sangat inginkan. Oleh itu, saya kadang-kadang melihat Mama Papa menggunakan skrin semasa waktu makan untuk memastikan anak-anak duduk di meja.

Kanak-kanak menjadi terbiasa dengan melihat skrin berbanding mempelajari etika meja, yang merupakan sebahagian daripada kemahiran sosial. Mereka juga tidak memberi tumpuan kepada makanan mereka serta rasa makanan tersebut. Mereka tidak dapat makan dengan baik atau memberi perhatian pada cara pemakanan mereka.

Selain itu, terdapat banyak kandungan dalam talian yang mungkin tidak sesuai untuk kanak-kanak. Kanak-kanak dengan autisme yang sukar untuk membezakan sesuatu perkara berisiko tinggi untuk melihat perkara-perkara yang berbahaya. Tambahan pula, kanak-kanak dengan kemahiran sosial yang lemah cenderung meniru apa yang telah mereka lihat dalam talian.

Oleh itu, mereka mungkin mengambil tingkah laku yang tidak sesuai, atau menggunakan tingkah laku tersebut dalam konteks yang salah. Banyak buli dan ejekan berlaku dalam talian. Kanak-kanak dengan autisme lebih terdedah untuk salah mentafsir isyarat sosial dan menjadi mangsa buli siber.

Penggunaan skrin yang berterusan boleh menyebabkan perhatian yang berkurangan dan boleh menjejaskan kesihatan mental kanak-kanak.


Jom baca pelbagai penerangan pakar tentang topik-topik lain di SINI.