KelabMama

Plasenta Previa atau Apabila Uri Menghalang Laluan Bayi. Ini Penjelasan Pakar OBGYN

uri jatuh atau plasenta previa

Artikel ini dikongsikan oleh Dr. Nurliyana Abdul Razak, Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi dari Columbia Asia Hospital – Setapak, khas buat pembaca KelabMama.

Bagi ramai wanita, perjalanan menjadi seorang ibu bukan sahaja indah dan dinantikan, tetapi juga mendebarkan.

Dr. Nurliyana Abdul Razak, Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi dari Columbia Asia Hospital – Setapak

Sepanjang tempoh kehamilan, para ibu semestinya mahukan yang terbaik untuk kandungan dan diri sendiri.

Namun, keadaan yang tidak dijangkakan seperti uri yang menutup laluan untuk bayi dilahirkan boleh menimbulkan pelbagai kebimbangan.

Sekiranya ini berlaku, apakah yang perlu kita ketahui dan lakukan? Berikut merupakan penjelasan khas oleh Dr. Nurliyana Abdul Razak, Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi dari Columbia Asia Hospital – Setapak, mengenai keadaan ini.

Apakah plasenta previa?

Plasenta previa atau uri di bawah, ialah sesuatu yang berlaku kepada seseorang ibu hamil dimana plasenta melekat di bahagian bawah rahimnya, lantas membawa risiko serviks tertutup dan menghadang salur kelahiran bayi sepenuhnya.

Secara amnya, punca sebenar plasenta previa masih belum difahami sepenuhnya. Namun, terdapat kaitan jelas antara kerosakan terdahulu pada dinding rahim, contohnya akibat pembedahan caesarean, dengan risiko plasenta previa.

Berapa kerap keadaan ini boleh berlaku?

Dianggarkan satu daripada setiap 200 kehamilan mengalami plasenta previa ketika kandungan mencapai usia matang.

Siapakah yang lebih berisiko mendapat plasenta previa?

Risiko untuk mengalami plasenta previa meningkat jika seseorang pernah mengalami keadaan yang sama ketika kehamilan terdahulu, mempunyai sejarah kelahiran secara pembedahan caesarean, atau pernah menjalani pembedahan rahim seperti miomektomi (pembuangan fibroid rahim) dan prosedur seperti Dilation and Curettage (D&C), iaitu prosedur untuk membuang tisu dari dalam rahim.

Faktor lain termasuk usia yang lebih lanjut, pernah menjalani rawatan kesuburan untuk hamil, atau merupakan seorang perokok.

Apakah antara tanda-tanda plasenta previa yang harus diambil tahu oleh ibu-ibu hamil?

Plasenta previa lazimnya menyebabkan pendarahan faraj yang tidak disertai rasa sakit. Ianya biasa berlaku selepas minggu ke-20 kehamilan. Dalam sesetengah kes, pendarahan disertai dengan kontraksi rahim. Ini boleh menyebabkan pendarahan yang sangat banyak, dan amat membahayakan nyawa ibu dan bayi.

Oleh itu ibu hamil harus peka dengan simptom seperti pendarahan faraj, sakit di bahagian abdomen atau kontraksi terutamanya pada peringkat akhir kehamilan. Ini mungkin tanda-tanda plasenta yang berada di bahagian bawah rahim. Sekiranya tanda-tanda ini berlaku, ibu hamil harus segera dibawa ke hospital!

Bolehkah plasenta previa dikesan awal?

Plasenta previa selalunya tidak menunjukkan sebarang gejala pada peringkat awal kehamilan dan biasanya dikesan melalui imbasan ultrasound semasa trimester kedua, seawal minggu ke-20. Apabila kandungan berkembang dan rahim membesar, kedudukan plasenta boleh berubah, lazimnya ia akan bergerak ke atas dan menjauhi serviks.

Namun, dalam sesetengah kes, bahagian rahim yang terlekat pada plasenta tidak bergerak, menyebabkan plasenta kekal berada di bahagian bawah rahim sehingga ke akhir kehamilan. Untuk mengesahkan diagnosis, imbasan ultrasound transvaginal, iaitu prosedur selamat dimana probe dimasukkan dengan lembut ke dalam faraj, akan dilakukan.

Apakah langkah pemantauan dan rawatan yang akan diambil jika ibu hamil didiagnosis dengan plasenta previa?

Pemeriksaan pranatal secara berkala adalah amat penting bagi ibu hamil yang didiagnosis dengan plasenta previa. Pakar Obstetrik & Ginekologi (OBGYN) akan memantau kedudukan plasenta melalui imbasan ultrasound berkala, selain mengesan sebarang tanda komplikasi serta menilai perkembangan dan kesihatan bayi.

Jika plasenta previa dikesan semasa imbasan minggu ke-20, pesakit biasanya akan dijadualkan untuk imbasan susulan pada minggu ke-32 dan sekali lagi pada minggu ke-36, sekiranya kedudukan plasenta masih rendah.

Sekiranya berlaku pendarahan semasa kehamilan, terdapat risiko kelahiran pramatang (sebelum minggu ke-37). Dalam kes seperti ini, pesakit mungkin akan disyorkan untuk menerima suntikan steroid bagi membantu pematangan paru-paru bayi sebagai persediaan menghadapi kelahiran awal.

Adakah plasenta previa memerlukan pembedahan caesarean?

Bagi wanita hamil dengan plasenta previa pada trimester ketiga yang tidak menunjukkan gejala, imbasan transvaginal tambahan disyorkan pada sekitar minggu ke-36 bagi doktor pakar menentukan kaedah bersalin yang paling selamat.

Jika bahagian tepi plasenta berada kurang daripada 20mm dari bukaan serviks atau menutupi serviks sepenuhnya pada imbasan minggu ke-36, pembedahan caesarean adalah disyorkan sebagai kaedah bersalin yang paling selamat.

Pembedahan caesarean mungkin dilakukan antara minggu ke-36 hingga ke-37. Jika pesakit telah mengalami pendarahan sepanjang kehamilan akibat plasenta previa, pesakit mungkin disarankan untuk melahirkan lebih awal daripada itu.

Jika plasenta berada lebih dari 20mm dari serviks, kedua-dua kaedah bersalin secara normal dan pembedahan caesarean dianggap selamat.

Apakah pandangan doktor mengenai urutan tradisional untuk “menaikkan” plasenta?

Tiada apa yang boleh dilakukan untuk mengubah kedudukan plasenta agar ia bergerak ke atas dan menjauhi serviks. Tiada apa yang boleh dilakukan untuk mencegah plasenta previa dan tiada pembedahan atau rawatan perubatan yang dapat membetulkannya. Oleh itu, elakkan dari segala bentuk urutan.

Bolehkah wanita yang pernah menghidap plasenta previa mempunyai kehamilan normal selepas ini?

Wanita yang mempunyai sejarah plasenta previa dalam kehamilan terdahulu berisiko lebih tinggi untuk mengalaminya lagi. Jika pesakit hamil semula di masa depan, mereka perlu memaklumkan kepada doktor mengenai sejarah perubatan mereka. Walau bagaimanapun, masih ada kemungkinan untuk mengalami kehamilan yang normal selepas ini.


Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.


Dapatkan info terkini daripada pakar kesihatan di Malaysia melalui ruang INI.