KelabMama

10 TIPS PEMAKANAN IBU HAMIL KETIKA BERPUASA

Mama semua, bukan senang ye untuk berpuasa penuh bagi kaum hawa. Akan tetapi jika berpuasa itu boleh memudaratkan kesihatan ibu dan kandungan, dinasihatkan supaya tidak berpuasa. Bagi ibu hamil yang masih kuat untuk berpuasa, di sini ada tips pemakanan supaya mendapat tenaga yang cukup sepanjang hari.  Ibu hamil seeloknya 3 kali makan utama iaitu ketika berbuka, bersahur dan sela waktu antara masa berbuka dan sahur.

Bahkan makan makanan seimbang dan berkhasiat dapat membantu mengelakkan masalah seperti sembelit, sakit kepala, lesu, pedih ulu hati dan lain-lain. Ketahuilah bahawa waktu makan sahur adalah sangat penting. Jangan sesekali tinggal sahur kerana sahur dapat membantu anda mengekalkan tahap tenaga dengan membekalkan nutrien penting yang diperlukan untuk kekal cergas.

Sewaktu berbuka, ibu hamil disarankan mengutamakan makanan berkarbohidrat yang mudah dihadam. Elakkan daripada mengambil hidangan makanan yang berlemak tinggi. Ini untuk mencegah pertambahan berat berlebihan malahan ia kurang berkhasiat.

Selain it, ibu hamil juga digalakkan minum jus buah-buahan segar, minuman smoothie yang mengandungi susu, yogurt dan buah. Smoothies dapat menyegarkan dan mampu membekalkan khasiat pemakanan yang diperlukan kepada ibu hamil. 

Berikut adalah tip pemakanan yang perlu diamalkan ibu hamil :

1. Wajibkan bersahur setiap hari bagi mengelakkan kurang gula (hypoglisemia) pada waktu petang.

2. Elakkan pengambilan minuman berkafein pada waktu sahur bagi mengelakkan dehidrasi.

3. Banyakkan minum air masak.

4. Sahur perlulah makanan yang lengkap iaitu di mana setiap nutrien termasuklah karbohidrat, protein, lemak, serat dari sayuran dan buah, susu atau sumber tenusu.

5. Makan secara sedikit tetapi kerap selepas berbuka, dicadangkan ada snek malam bagi mengelakkan rasa lapar di tengah malam.

6. Makanan jenis bersup, bakar atau stim digalakkan semasa mengandung. Cuba kurangkan makanan yang digoreng dengan minyak yang banyak dan berlemak bagi mengelakkan kenaikan berat badan terlalu banyak semasa mengandung.

7. Lebihkan juga pemakanan daripada kumpulan kacang dan kekacang yang bakar atau panggang bagi banyakkan zat besi dan sedikit serat.

8. Bagi wanita hamil yang tiada apa-apa masalah seperti gastrik, makanan pedas tiada masalah untuk diambil. Tetapi bagi yang ada gastrik memang tidak digalakkan mengambil makanan pedas atau makanan jenis berasid tinggi.

9. Makanan atau minuman yang manis atau berlemak tidak digalakkan semasa mengandung kerana ia boleh menyebabkan kenaikan berat badan yang berlebihan serta mencegah kencing manis semasa mengandung. Jika ingin minum, hanya ambil dalam kuantiti yang sedikit. Minuman manis hanya sekali sehari dan makanan manis pula tiga hari sekali.

10. Makanan atau minuman yang berasid tinggi serta pedas juga boleh menyebabkan pedih ulu hati serta gastrik. Pada awal kehamilan biasanya ibu akan mengalami alahan, jadi pada peringkat ini ibu mesti mengelakkan makanan yang berbau, berminyak dan berlemak. Makanan yang kering sahaja digalakkan kepada yang mengalami morning sickness.

Semoga dengan tips ini, ibu hamil dapat tenaga yang secukupnya untuk berpuasa sepanjang hari. InshaAllah, ibu hamil dapat berpuasa penuh di bulan Ramadhan kali ini. 

Sumber: Majalah Pama