KelabMama

World Health Day: Hanya Brisk Walk Keliling Taman Dengan Anak-anak Pun Dah Bagus. Ini Manfaatnya

Brisk walk ialah senaman berjalan pantas. Brisk walk tidak dilakukan dalam keadaan berlari atau berjalan seperti biasa tetapi ianya lebih kepada berjalan dengan pantas.

Senaman ini juga merupakan salah satu cara untuk meningkatkan tahap kecergasan dan gaya hidup sihat. Brisk walk ini senaman yang paling rendah untuk mendapatkan risiko kecederaan dan juga tidak memerlukan sebarang kos.

Senang cakap, senaman paling mudah dan sesuai untuk dilakukan oleh semua peringkat usia. Tambahan pula, ia tidak memerlukan masa yang lama – cukup sebanyak 5 kali seminggu, selama 30 minit bagi setiap sesi.

Tempat yang sesuai untuk melakukan aktiviti ini ialah di taman rekreasi yang selamat serta mempunyai permukaan jalan yang rata.

Mama Papa bawa anak-anak keliling taman di rumah waktu petang pun dah dikira brisk walk tau. Mudah dan memberi manfaat kepada tubuh badan.

Manfaat Brisk Walk Untuk Seisi Keluarga

1. Memperkuat Otot dan Sendi

Senaman brisk walk dapat memperkuatkan otot dan melonggarkan sendi Mama Papa.

Lagipun brisk walk ini sesuai untuk Mama Papa yang tidak boleh melakukan senaman yang lasak. Kalau Mama Papa mempunyai masalah sakit belakang yang berpanjangan, brisk walk ini boleh membantu memberikan sedikit kelegaan kepada Mama Papa.

Selain itu, brisk walk jugak bagus dalam meningkatkan peredaran darah yang membolehkan fleksibiliti di bahagian bawah punggung. Kaki Mama Papa akan mendapat kekuatan otot apabila melakukan brisk walk dengan kerap.

2. Metabolisme yang Lebih Baik

Ketika Mama Papa berjalan, body kita perlukan lebih banyak tenaga. Dengan melakukan brisk walk ini, ia juga akan meningkatkan metabolisme badan dan membantu kekuatan tubuh secara efisien.

Bukan itu sahaja, dengan melakukan brisk walk secara teratur, ia dapat membantu penghadaman dalam badan Mama Papa.

3. Menurunkan Berat Badan

Bagi sesetengah Mama Papa yang ingin cuba untuk diet, Brisk Walk secara konsisten serta pemakanan seimbang dan rendah lemak boleh membantu Mama Papa mengurangkan berat badan dengan cara yang selamat dan sihat.

Jadi, Mama Papa yang mahu kurangkan lemak perut tu, bolehlah lakukan brisk walk secara konsisten. Ini membantu kesihatan jantung, disamping meningkatkan kualiti pernafasan dan hidup Mama Papa.

Brisk walk juga dapat membantu dalam toning badan Mama Papa kerana ia tidak menekankan otot, sebaliknya, ia membuatkan badan kita bergerak dalam kadar yang cukup untuk mengekalkan bentuk badan.

4. Dapat Mencegah Penyakit

Brisk walk juga boleh mengurangkan risiko serangan penyakit kronik seperti strok, tekanan darah tinggi dan diabetes type 2 dengan hanya melakukan aktiviti ini selama 150 minit seminggu.

Dalam pada itu, brisk walk juga dapat mengurangkan kemurungan dan meningkatkan keceriaan dalam hidup kita.

Kalau Mama Papa ada insomnia atau kesukaran untuk tidur pada waktu malam, amalkan brisk walk secara konsisten. Berjalan je dah boleh tidur lena nanti!

Brisk walk juga dapat meningkatkan hormon endorfin yang boleh meningkatkan perasaan Mama Papa dan membawa kepada perasaan yang ceria.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) telah mengklasifikasikan bahawa aktiviti ini mampu membuatkan seseorang berpeluh dan meningkatkan kadar degupan jantung tetapi masih mampu membolehkan mereka bercakap tapi tidak menyanyi.

Selain itu, ia juga mampu mengurangkan tekanan hidup Mama Papa serta anak-anak yang adakalanya mengganggu kehidupan seperti tekanan emosi, sosial dan mental.

Tips untuk Melakukan Brisk Walk:

Sekiranya kaki Mama Papa terasa sakit selepas melakukan brisk walk, Mama Papa boleh cuba merendam air suam atau lakukan urutan yang sesuai pada kaki.

Mama Siti galakkan Mama Papa untuk sentiasa bersenam walaupun dengan hanya brisk walk ini supaya kekal sihat. Lagi menarik, senaman mudah ini sangat sesuai dilakukan bersama anak-anak.

Tak perlu pergi jauh, pusing taman perumahan atau taman permainan yang berdekatan je pun dah cukup. Lakukan secara konsisten setiap petang atau minggu, dan lihat kesannya pada tubuh badan, mental, dan semestinya hubungan Mama Papa bersama anak-anak. 


Dapatkan lebih banyak petua kesihatan di SINI.