KelabMama

7 Wallpaper Dinding Rumah Yang Berjaya Cipta Titik Perhatian Dalam Rumah

Tahun baru ini, mungkin ada antara Mama berniat ingin mengubah suasana rumah. Berdasarkan pengalaman Mama Siti sendiri, bila kita tukar dekorasi rumah, mood kita pun ikut berubah jadi lebih baik. 

Oleh itu, Mama Siti cadangkan supaya kita mulakan dengan wallpaper dinding rumah. Kertas dinding memberikan kesan ruang rumah lebih luas dan mencipta titik perhatian (point of attention).

Tidak cuma itu, Mama Siti turut sertakan sekali cara pemasangan dan kaedah penjagaan yang betul supaya wallpaper dinding rumah Mama tu tahan lama. 

Tujuh Wallpaper Dinding Rumah Tahun 2023

#1 Kertas Dinding Garis Jalur (Simple Stripes)

Memandangkan tema simple, moden dan minimalis masih lagi diminati ramai, maka wallpaper garis jalur dijangkakan masih kekal relevan di tahun 2023. 

Apa yang Mama Siti sukakan tentang kertas dinding garis jalur ialah tentang kebebasannya. 

Kebebasan yang macam mana? 

Oh, begini maksud Mama Siti. Kertas dinding dengan motif ini boleh dipasangkan di mana-mana ruangan di rumah Mama secara menegak, melintang dan serong.

Tambahan pula, ia boleh digunakan sebagai penghias dinding di bilik kanak-kanak mahupun dewasa. 

#2 Gabungan Hitam dan Putih

Wallpaper hitam dan putih ialah kanvas versatil. Gabungan kedua-dua warna ini ialah penyelesaian kepada pelbagai hiasan rumah, tidak kira apa pun rekaan mahupun warnanya. 

Pendek kata, tahun 2023 memberikan ruang untuk Mama bebas berkarya. Contohnya, Mama tidak perlu lagi risau samada perabot pilihan Mama sesuai dengan ruangan tersebut kerana kertas dinding jenis ini boleh ‘masuk’ dengan apa-apa warna dan gaya hiasan rumah.

#3 Motif Bunga-Bungaan

“Abang saya minta saya hiaskan bilik, tapi dia nak wallpaper corak bunga. Macam mana nak buat ya Mama? “

Baik begini ya, memang selalunya bunga sering dikaitkan dengan ciri-ciri keperempuanan. Namun begitu jika kita tambahkan warna-warna gelap seperti merah maroon, biru langit, ungu dan oren gelap ia boleh kelihatan maskulin

Manakala jika ingin menghiaskan ruangan dengan ciri-ciri feminin, gunakan kertas dinding dengan motif bunga berwarna lembut seperti merah jambu. Begitu juga dengan warna-warna pastel yang lain. 

#4 Corak Saiz Kecil (Tiny Prints)

Corak wallpaper rumah bersaiz kecil menampilkan ilusi elegan di ruangan rumah Mama. Kelebihan kertas dinding bersaiz bercorak kecil ini ialah boleh dipasang hingga ke bahagian siling

Kertas dinding corak kecil dicadangkan dipasang di ruangan tertutup seperti bilik air, bilik solek dan bilik bacaan. 

Percayalah, sekali Mama melangkah ke ruangan tersebut, pandangan mata akan terpesona dengan hasilnya. Ianya seolah-olah Mama berada di satu tempat yang lain. 

#5 Corak Saiz Besar (Large-Scale Prints)

Menghias ialah tentang jiwa penghuninya. Dekorasi rumah seolah-olah tafsiran dari pemilik rumah tersebut. 

Corak wallpaper bersaiz besar boleh dipadankan dengan warna-warna kontra. Kadangkala, kertas dinding bercorak besar ini mempunyai satu imej utama yang ingin dipaparkan. Dari jauh, ia kelihatan seolah-olah lukisan sebenar yang dilukis pada dinding. 

Kesan pemasangan wallpaper saiz besar ini menampakkan ruang rumah Mama kelihatan lebih luas.  

#6 Kertas Dinding Vinil

Terdapat beberapa nilai tambah yang menjadikan kertas dinding vinil ini unik. Sifat anti calar dan tahan lasak serta konsistensi warnanya yang tidak pudar antara faktor yang diambil kira.

Kertas dinding vinil juga memberikan kesan berkilat pada dinding rumah Mama. Sekaligus, menonjolkan ruangan apabila menerima pantulan cahaya lampu dan sinar matahari.

#7 Wallpaper 3D

Penghias dinding bertekstur 3D dijangka akan terkenal pada tahun hadapan. Kelebihan wallpaper 3D ialah menampakkan seperti dinding rumah Mama benar-benar diukir oleh artis profesional. 

Namun begitu, aspek dekorasi lain seperti tona perabot, warna lampu dan lantai serta permaidani juga mempengaruhi kertas dinding 3D. 

Mama perlu pastikan corak kertas dinding 3D yang dipilih sesuai dipadankan dengan lansir, perabot, bingkai gambar dan hiasan lain. Langkah ini penting supaya kertas dinding tidak merosakkan tema ruangan tersebut. 

Tips Pemasangan dan Penjagaan Wallpaper Dinding Rumah

Kredit gambar: wallsauce.com
  1. Kenal Jenis Wallpaper Rumah

Kenal pasti jenis wallpaper yang ingin digunakan. Lebih baik lagi jika Mama dapatkan maklumat tentang ciri-ciri dan kesesuaian kertas dinding di ruangan di rumah. 

Jika ruang tersebut sering dilalui atau sering dilakukan aktiviti lasak, Mama Siti cadangkan untuk menggunakan wallpaper vinil. Begitu juga dengan empunya bilik tersebut. Pilihlah berdasarkan personaliti pemiliknya. 

  1. Pastikan Dinding Kering dan Bersih

Permukaan dinding yang berhabuk dan basah mengganggu ketahanan dan nilai kosmetiknya. Oleh itu, sentiasa pastikan dinding dibersihkan dari debu dan habuk serta kering sebelum menampak kertas dinding. 

Kelembapan disebabkan air menyebabkan kertas dinding menggelupas dan cepat rosak. Manakala habuk di permukaan dinding mengakibatkan kertas dinding cepat tertanggal. 

  1. Tampal Gam Dengan Cermat
Kredit gambar: schoolhouse.com

Selepas Mama lakukan langkah nombor dua seperti di atas, Mama perlu perhatikan pula cara tampalan kertas dinding tersebut. 

Kuantiti gam yang digunakan haruslah sesuai dengan jenis kertas dinding. Gam yang berlebihan atau berkurangan mungkin membuat kertas dinding tertanggal. 

Seterusnya, permukaan dinding mestilah licin dan rata. Ia sangat membantu dalam memastikan kertas dinding senang melekat dan tahan lama. 

  1. Penataan Cahaya

Elemen pencahayaan memainkan peranan dalam menonjolkan ruang di rumah Mama. Ianya akan menjadi lebih menarik lagi jika punca cahaya lampu diarahkan terus ke kertas dinding. 

Lebih-lebih lagi jika Mama memilih jenis kertas dinding dengan corak bersaiz besar. Imej utama kertas dinding tersebut dapat diserlahkan dan menjadi tumpuan ruangan tersebut. 

  1. Bersihkan Secara Berkala
Kredit gambar: zameen.com

Kertas dinding jenis 3D dan vinil mempunyai jangka hayat sehingga 15 tahun jika dijaga dengan rapi. 

Jadi demi menjamin kualiti kertas dinding di rumah Mama, Mama Siti nasihatkan agar ia dibersihkan secara berkala. Tempoh yang dicadangkan ialah pada setiap tiga hingga empat bulan sekali. 

Namun begitu, Mama tidak perlu tunggu hingga mencapai tiga bulan untuk membersihkan kertas dinding. Apabila terdapat kotoran seperti kesan air atau kesan makanan, cukup bersihkan dengan kain bersih yang dilembabkan. 

Wallpaper rumah mampu merubah mood seseorang menjadi lebih baik. Bahkan ianya memberi ilusi ruang menjadi lebih luas dan mencipta perhatian. 

Tujuh kertas dinding rumah yang Mama Siti kongsikan tadi diharap dapat mencetuskan idea dekorasi rumah Mama. Paling penting Mama perlu ambil tahu cara pemasangan kertas dinding dan kaedah penjagaannya. 


Dapatkan rumah idaman Mama dengan pelbagai tips dan inspirasi dekorasi DI SINI.