KelabMama

PPUM Perluas Vaksinasi Denggi dan Saringan Kesihatan Percuma untuk Kanak-kanak di Seluruh Lembah Klang

Program Saringan Anemia & Vaksinasi Denggi Percuma untuk Kanak-kanak

Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) memperluas akses kepada saringan anemia (kurang darah) dan vaksinasi denggi percuma untuk kanak-kanak yang layak, berumur 7 tahun hingga bawah 12 tahun, menerusi sesi komuniti tambahan pada hujung minggu di seluruh Lembah Klang. Vaksinasi denggi ditawarkan secara pilihan. Butiran lengkap lokasi, masa dan pautan pendaftaran disediakan di bawah.

Program ini menyediakan saringan anemia dalam kalangan kanak-kanak, iaitu keadaan kekurangan sel darah merah atau hemoglobin yang sering tidak dikesan.

Kanak-kanak yang mengalami anemia mungkin mudah letih, sukar menumpukan perhatian di sekolah, kelihatan pucat atau kurang bertenaga. Jika tidak dikenal pasti, anemia boleh menjejaskan pembelajaran, pertumbuhan dan perkembangan mereka.

Kanak-kanak yang mengalami anemia juga lebih berisiko mendapat penyakit yang teruk sekiranya dijangkiti denggi. Oleh itu, pengesanan awal amat penting, khususnya di kawasan endemik denggi.

Peluasan program ini menyusuli sambutan yang menggalakkan terhadap program terdahulu di seluruh Lembah Klang, dan bertujuan menjangkau lebih ramai keluarga dalam menghadapi beban denggi yang semakin meningkat di Malaysia. Sehingga 14 Oktober 2026, lebih 76,000 kes denggi telah dilaporkan di seluruh negara.1

Selain itu, jumlah kematian berkaitan denggi sehingga awal September 2026 sudah hampir dua kali ganda berbanding tempoh yang sama pada 2025, iaitu 62 kematian berbanding 32.2 Satu ulasan antarabangsa turut mendapati bahawa, dalam kalangan pesakit denggi, kanak-kanak mempunyai odds untuk mengalami denggi teruk yang hampir dua kali ganda berbanding orang dewasa.3

Bagi kanak-kanak dan keluarga mereka, denggi boleh menyebabkan kemasukan ke hospital, ketidakhadiran ke sekolah dan gangguan kepada aktiviti harian. Kelesuan boleh berlarutan selama beberapa minggu selepas sembuh,4 manakala ibu bapa mungkin perlu mengambil cuti kerja untuk menjaga anak mereka.

Profesor Dr Rafdzah Ahmad Zaki,
Pakar Perubatan Kesihatan Awam
PPUM

Antara Mei dan Oktober 2026, lebih 3,600 kanak-kanak menyertai program ini, dengan 60-70% memilih untuk menerima vaksinasi denggi. Sesi komuniti telah diadakan di Petaling Jaya, Ampang, Kepong, Subang dan Shah Alam.

“Setakat ini, sambutan amat menggalakkan dan kami mahu lebih banyak keluarga dapat menyertai program ini. Dengan mengadakan lebih banyak sesi berhampiran tempat tinggal penduduk dan pada hujung minggu, kami berharap dapat memudahkan ibu bapa membawa anak mereka menjalani saringan serta berbincang tentang pencegahan denggi bersama pasukan perubatan kami,” kata Profesor Dr Rafdzah Ahmad Zaki, Pakar Perubatan Kesihatan Awam PPUM.

Sesi komuniti tertentu turut menampilkan badut, belon, supadoopa dan beg cenderahati. Ibu bapa dan penjaga boleh mendaftarkan anak yang layak untuk sesi akan datang atau hadir terus ke PPUM tanpa janji temu, dari Selasa hingga Jumaat sehingga 30 Oktober 2026.

Semua keluarga juga digalakkan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk, melindungi diri daripada gigitan nyamuk dan mendapatkan nasihat perubatan dengan segera jika mengesyaki jangkitan denggi.4

Sesi komuniti akan datang

TarikhLokasi dan masaPendaftaran
24 Oktober 2026 (Sabtu)SJK(C) Poi Min
11.00 pagi hingga 5.00 petang
https://forms.gle/nkdqJ6sTHPAsBwe27
1 November 2026 (Ahad)Masjid Subang Perdana
9.00 pagi hingga 3.00 petang
https://forms.gle/AG3DVsqNufn9FGVN9
14 November 2026 (Sabtu)PPR Pinggiran Bukit Jalil
9.00 pagi hingga 3.00 petang
https://forms.gle/YX7cajrj7UjpDWVeA
22 November 2026 (Ahad)Apartment Idaman Damansara Damai PJU 10/1
9.00 pagi hingga 3.00 petang
https://forms.gle/dvP9ufY7hd5BRCEL9
28 November 2026 (Sabtu)PPR Lembah Subang 2
9.00 pagi hingga 3.00 petang
https://forms.gle/quxxMDsQgsA2xuAD9

NOTA: Ibu bapa dan penjaga boleh mendaftarkan anak mereka melalui pautan yang berkaitan di atas, atau hadir terus pada hari acara.

Sesi yang sedang berlangsung di PPUM tanpa janji temu

Sehingga 30 Oktober 2026, Selasa hingga Jumaat, 9.00 pagi hingga 4.00 petang, di Aras 5, Kompleks Kesihatan Wanita dan Kanak-kanak, PPUM. Ditutup pada hari Isnin, hujung minggu dan cuti umum.

Pendaftaran: https://forms.gle/H44Kpd4GmngdCPRp7

Kelayakan dan pertanyaan

Terbuka kepada kanak-kanak berumur 7 tahun hingga bawah 12 tahun yang belum pernah menerima vaksin denggi. Klinik PPUM menerima kanak-kanak yang menetap atau bersekolah di daerah Petaling, Kuala Lumpur atau Ampang. Ibu bapa perlu mengesahkan kelayakan untuk sesi komuniti dengan pasukan program. Vaksinasi adalah pilihan dan tertakluk kepada kelayakan serta ketersediaan stok.

Pertanyaan program: Profesor Dr Rafdzah Ahmad Zaki / Dr Darishiani di +6018-251 1614.
Pertanyaan media: Sophia Lee, Pengarah Komunikasi, IN.Deed Communications, +6016-229 7727.

Rujukan

  1. Kementerian Kesihatan Malaysia / MYSA. iDengue. Kes kumulatif dari 4 Januari hingga 14 Oktober 2026. https://idengue.mysa.gov.my/
  2. Tan B. Dengue cases soar 66pc, deaths hit 62 in Malaysia, almost double 2025 toll. Malay Mail. 9 September Melaporkan kematian kumulatif sehingga minggu epidemiologi ke-35: 62 pada 2026 berbanding 32 pada 2025, seperti dinyatakan dalam taklimat Jemaah Menteri oleh jurucakap kerajaan. Lihat sumber
  3. Tsheten T, et al. Clinical predictors of severe dengue: a systematic review and meta-analysis. Infect Dis Poverty. 2021;10:123. Jadual 3: 22 kajian; nisbah odds (OR) terkumpul 1.96 (selang keyakinan 95%: 1.22-3.13; I² 90%). Kanak-kanak ditakrifkan sebagai individu berumur bawah 20 tahun dalam ulasan ini. https://doi.org/10.1186/s40249-021-00908-2
  4. Pertubuhan Kesihatan Sedunia. Dengue, 21 Ogos 2025. https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/dengue-and-severe-dengue

Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak Kelab Mama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.


Dapatkan info terkini daripada pakar kesihatan di Malaysia melalui ruang INI.