KelabMama

Pemberian Vaksin Pneumokokal Percuma Kepada Kanak-kanak Berumur 4 dan 5 Tahun

pemberian vaksin pneumokokal percuma

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperluaskan lagi pemberian vaksin pneumokokal secara percuma kepada kanak-kanak yang berusia empat dan lima tahun bermula 1 Jun 2023 sehingga 31 Mei tahun depan.

Menteri Kesihatan Dr. Zaliha Mustafa berkata, pemberian vaksin menerusi inisiatif imunisasi catch-up pneumokokal (CHUP) bagi mengoptimumkan lagi perlindungan terhadap penyakit pneumokokal invasif dalam kalangan kanak-kanak yang lahir pada tahun 2018 dan 2019.

“Ibu bapa boleh bawa anak-anak ke mana-mana fasiliti secara walk-in serta ada juga janji temu melalui MySejahtera untuk membuat tempahan dapatkan vaksin pneumokokal di semua fasiliti kesihatan,” kata beliau.

Beliau berkata KKM menyasarkan seramai 700,000 atau sekurangnya 70 peratus daripada satu juta kanak-kanak yang berusia empat dan lima tahun untuk diberikan vaksin pneumokokal dalam tempoh setahun itu.

Pemberian vaksin ini, untuk mencegah penyakit yang disebabkan oleh jangkitan Streptococcus pneumoniae yang dikenali sebagai pneumokokus.

Bakteria ini boleh menyebabkan penyakit seperti radang paru-paru (pneumonia), radang sinus, jangkitan telinga tengah, radang selaput mata dan sarah tunjang serta jangkitan bakteria dalam darah.

Penting tau pemberian vaksin ini. Komplikasi daripada penyakit pneumokokal termasuk lah cacat pendengaran, kecacatan otak dan kematian.

KKM telah memulakan pelaksanaan pemberian vaksin pneumokokal dalam Program Imunisasi Kebangsaan sejak 1 Disember 2020 bagi kanak-kanak yang lahir bermula 1 Januari 2020.

Katanya lagi, program imunisasi yang dijalankan diperingkat global ini telah menunjukkan penurunan kadar kematian bagi kanak-kanak bawah lima tahun di seluruh dunia.

Di bawah Program Imunisasi Kebangsaan untuk bayi dan kanak-kanak, terdapat 11 jenis produk vaksin diberikan untuk mencegah 13 penyakit cegahan vaksin iaitu Tuberkulosis, Hepatitis B, Difteria, Tetanus (kancing gigi), Pertussis (batuk kokol), Haemophilus influenza type B, polio, maesles (campak), mumps (beguk) dan rubella, katanya.

“Kini pencapaian liputan imunisasi untuk bayi dan kanak-kanak adalah tinggi di peringkat kebangsaan dan mencapai sasaran yang telah ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu melebihi 95 peratus bagi kebanyakan vaksin utama dalam program imunisasi. Pencapaian ini juga telah diperakui oleh WHO,” katanya lagi.

Jadi, Papa Mama dapatkan vaksin pneumokokal ini untuk anak yang berumur empat dan lima tahun ye, untuk mencegah penyakit dan meningkatkan imunisasi badan anak-anak.


Mama Papa dapatkan info kesihatan anak-anak di SINI.