KelabMama

Mama Stress? Ini Tanda-tanda Mama Harus Lakukan Ujian Psikiatri & Dapatkan Rawatan Segera

Isu kesihatan mental semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat Malaysia. Perubahan positif ini patut kita banggakan.

Bukan kita tak tahu, penyakit mental antara pembunuh senyap (silent killer) rakyat Malaysia selepas penyakit jantung.

Kementerian Kesihatan merekodkan sebanyak 2.3% orang dewasa manakala 9.5% kanak-kanak berusia 10 hingga 15 tahun mengalami masalah kesihatan mental pada tahun 2019.

Langkah proaktif perlu diambil dengan mendorong diri dan orang sekeliling untuk melakukan ujian psikiatri secara atas talian dan fizikal. Tujuannya adalah supaya penyakit mental dapat dikawal dan dipulihkan.

Apakah Ujian Psikiatri? 

Kredit gambar: 123rf.com

Ujian psikiatri ialah saringan awal bagi mengenal pasti tahap stres, kebimbangan dan kemurungan seseorang. 

Selain itu, ia juga dikenali sebagai Depression Anxiety Stress Scales (DASS).

Mama Siti ingin menekankan disini bahawasanya ujian psikiatri bukan diagnosis samada seseorang mempunyai penyakit mental atau tidak.

Mama perlu menjawab kesemua 21 soalan berdasarkan keadaan diri dan emosi sejak dua minggu yang lalu. Jangan risau kerana tiada jawapan yang salah atau betul. 

Soalan-soalan yang ditanyakan adalah seperti;

Mama perlu memilih salah satu dari pilihan jawapan tidak pernah, jarang, kerap atau sangat kerap.

Jawapan tersebut akan dinilaikan sama ada Mama perlu mendapatkan rawatan dengan pakar atau hanya perlukan terapi sahaja. 

Selepas itu, barulah doktor bertugas akan meminta Mama ceritakan masa, tempat dan faktor yang menyebabkan Mama rasa sedemikian. 

Siapa Yang Perlukan Ujian Psikiatri?

Semua golongan usia boleh mendapatkan ujian saringan DASS. Ini bermakna kanak-kanak, remaja, orang dewasa dan warga emas juga bebas menjawab soalan saringan tersebut. 

Apabila seseorang merasakan emosi yang keterlaluan, dia sangat disarankan untuk menjalankan ujian psikiatri di klinik-klinik berdekatan. 

Contoh-contoh emosi keterlaluan;

  1. Kesedihan melampau hingga tidak pernah merasa gembira dan bahagia.
  2. Resah gelisah dan menggeletar terhadap perkara yang diketahui sebabnya dan tidak diketahui sebabnya.
  3. Kerap marah dan menyakiti orang sekeliling. 

Perasaan tersebut mungkin tidak difahami dan dirasakan oleh orang lain terutamanya yang tidak pernah mengalami gangguan emosi. Oleh itu, kita perlu mendapatkan rawatan supaya penyakit ini tidak menjadi lebih buruk. 

Terdapat banyak kesan negatif jika seseorang mengabaikan kesihatan mental mereka. Paling dikhuatiri ialah ketika mereka bertindak di luar kawalan seperti mencederakan diri sendiri dan orang lain.

Tanda-tanda Perlu Dapatkan Ujian Psikiatri

Kredit gambar: Freepik

Keadaan persekitaran, situasi di tempat kerja dan hubungan dengan orang lain memainkan peranan terhadap emosi dan mental seseorang. 

Ada beberapa keadaan yang menurut Mama Siti wajar untuk dipertimbangkan untuk melakukan ujian saringan DASS. 

  1. Mula mengasingkan diri seperti berada di dalam bilik tidur, tidak menyertai aktiviti sosial anjuran tempat kerja dan tidak menghadiri majlis keluarga. 
  2. Mengalami kesukaran untuk tidur atau insomnia.
  3. Perubahan berat badan secara mendadak disebabkan oleh tidak mempunyai selera makan atau kerap makan.
  4. Perasaan bersalah walaupun bukan disebabkan oleh diri sendiri
  5. Kerap marah-marah
  6. Perasaan ingin menamatkan riwayat
  7. Ponteng sekolah, vandalisme, dan pemberontakan di kalangan remaja dan kanak-kanak
  8. Tiada apa-apa perasaan pada perkara yang perlu sedih, marah atau gembira.
  9. Cepat berubah mood. Contohnya, tiba-tiba gembira dan kemudian sedih.
  10. Berhalusinasi. Nampak objek yang tidak wujud. 

Jika Mama merasakan hal seperti di atas atau perasan ada ahli keluarga yang seperti itu, bantulah mereka mendapatkan rawatan dan sokongan.

Kadang-kala mereka sendiri tidak tahu bagaimana caranya dan tidak mempunyai kekuatan untuk meluahkan perasaan dan emosi yang sedang dialami.

Cara Dapatkan Ujian Psikiatri 

Kredit gambar: Freepik

Ujian saringan psikiatri boleh dilakukan secara atas talian dan secara fizikal. Ujian DASS tidak perlu pemerhatian semasa menjawab. Ini kerana semuanya bergantung kepada diri sendiri, ini tentang perasaan Mama.

Ujian Saringan Stress, Kebimbangan dan Kemurungan (DASS) Online

Contoh ujian DASS atas talian bahasa melayu ialah seperti yang terdapat di portal Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah.

Selesai menjawab kesemua 21 soalan, skor keputusan analisis saringan akan ditunjukkan. Skor tertinggi mungkin petanda awal untuk Mama mengetahui apa sebenarnya yang berlaku pada diri Mama. 

Seterusnya, Mama boleh tangkap layar (screenshot) hasil skor seperti di atas untuk ditunjukkan kepada kaunter pendaftaran di klinik apabila diminta. 

Namun begitu, ada sesetengah klinik kesihatan meminta Mama untuk menjawab soalan-soalan saringan ujian psikiatri sekali lagi secara fizikal. 

Cara Dapatkan Ujian Psikiatri di Klinik

Kredit gambar: blog.planetmahir.com

Pergi ke mana-mana klinik kesihatan kerajaan dan swasta. Bawa kad pengenalan (IC) bersama-sama untuk sesi pendaftaran. 

Mama perlu memberitahu pegawai bertugas bahawasanya Mama ingin mendapatkan ujian saringan DASS. Selepas itu, Mama akan diminta untuk mengisi butiran diri serta menjawab soalan-soalan saringan. 

Bergantung kepada klinik, ada yang meminta Mama bawa bersama semasa masuk ke bilik rawatan dan ada juga yang meminta borang tadi untuk dikembalikan ke kaunter.

Bawa bersama ujian hasil ujian saringan yang pernah dilakukan dalam tempoh dua minggu sebelum ini. Ini mungkin membantu doktor untuk memahami corak emosi Mama kebelakangan ini. 

Soalan saringan ujian psikiatri boleh dimuat turun di pautan ini. 

Jangan Skeptikal Dengan Ujian Psikiatri

Ujian psikiatri atau DASS ialah saringan awal bagi mengenal pasti tahap stres, kebimbangan dan kemurungan seseorang. Ia ialah langkah pertama untuk mengenal pasti perubahan emosi dan perasaan seseorang.

Sesiapa sahaja yang mengalami emosi keterlaluan perlu melakukan ujian saringan DASS secara online ataupun offline. Lebih-lebih lagi jika Mama ada mengalami tanda-tanda seperti yang dikongsikan diatas tadi.

Rawatan di klinik bertujuan agar Mama diberikan terapi atau berjumpa pakar jika simptom semakin teruk dan berbahaya kepada diri dan orang lain.

Semoga perkongsian kali ini, menjadi panduan untuk Mama, ahli keluarga dan kenalan untuk mendapatkan ujian psikiatri.


Lihat senarai klinik dan pusat perubatan yang berdekatan Mama di SINI.