KelabMama

Tuam Ais Atau Tuam Haba – Mana Satu Untuk Kecederaan Sukan? Perkongsian Dari MedTweetMY

tuam ais atau tuam haba

Bengkak merupakan simptom biasa yang kita boleh nampak sekiranya berlaku sebarang kecederaan disebabkan beberapa faktor.

Tambah-tambah pula untuk anak-anak yang baru membesar, atau yang aktif bersukan, segala macam kecederaan boleh berlaku. Terseliuh, terkehel, kejang dan pelbagai lagi.

Antara cara utama yang selalu digunakan, tuam merupakan remedi untuk meredakan bengkak, sekaligus mempercepatkan proses untuk sembuh.

Dua cara tuaman adalah tuam dengan haba (thermotherapy) atau tuam dengan ais (cryotherapy). Namun, mesti ramai yang masih keliru – mana satu tuaman yang sesuai untuk u terseliuh? Macam mana pula kalau kejang?

Jangan pakai hentam sahaja tau! takut-takut nya bukan makin baik, langsung tak ada kesan, malah mungkin jadi lebih parah!

Mari sini Mama Siti kongsikan satu perkongsian dari Twitter MedTweetMY tentang bila perlu gunakan ais, bila perlu gunakan haba, dan bagaimana cara menggunakannya.

Cara Menuam Bengkak

Cryotherapy

Kredit gambar: SirapLimau.com

Menuam dengan ais atau cryotherapy sesuai untuk kecederaan akut seperti terseliuh, terkehel, otot terlebih regang, dan sebagainya.

Pembuluh darah akan mengecut jika didedahkan kepada kesejukan. Ini menyebabkan bekalan darah turun, kurangkan keradangan, dan mengekang pembentukan bengkak yang teruk.

Tuaman ais dapat menurunkan aktiviti saraf. Ini boleh memberi kesan kebas kepada bahagian yang kesakitan dan mengurangkannya pada kawasan kecederaan.

Tempoh yang paling sesuai untuk tuaman ais adalah pada awal tempoh kecederaan, iaitu sepanjang 48-72 jam selepas kecederaan. Sekiranya kecederaan masih tidak reda, anda perlu memeriksa kecederaan tersebut di klinik atau hospital berdekatan.

Langkah-Langkah

Cara-cara lakukan tuaman ais:

  1. Letakkan ais atau pek ais ke dalam balutan tuala kecil.
  2. Tuam ais pada bahagian yang tercedera selama 10 minit dan angkat tuaman 5 minit.
  3. Ulang langkah 2 selama 4 kitaran. Boleh ulang set ini 2-3 kali sehari.

Thermotherapy

Kredit gambar: Twitter- MedTweetMY

Tuam haba, atau thermotherapy sesuai kecederaan kronik atau yang melibatkan kekejangan dan sengal otot.

Haba baiki aliran darah ke kawasan yang di tuam, merelakskan otot, melegakan kesakitan, dan jadikan otot lebih fleksible. Ia memberi keselesaan, percepat proses pemulihan.

Tuam haba sesuai dibuat bermula 72 jam selepas kecederaan. Jangan lakukan tuam haba sejurus selepas kecederaan kerana ia akan menyebabkan bengkak yang lebih besar.

Langkah-Langkah

Cara-cara lakukan tuaman haba:

  1. Lembabkan tuala dengan air suam atau letakkan pek haba dalam balutan tuala.
  2. Tuamkan pada bahagian yang tercedera selama 5 minit, dan berhenti seketika.
  3. Ulang langkah beberapa kali sehingga kesakitan lega.

Untuk lebih banyak info kesihatan klik SINI.