KelabMama

KANAK-KANAK TRAUMA, MENYESAL TAK SUDAH KEPALA ZAKAR TERPOTONG KETIKA BERSUNAT

Lepas satu, satu. Berkhatan atau bersunat merupakan satu proses yang harus dilalui kanak-kanak lelaki. Baru-baru ini, seorang kanak-kanak lelaki 11 tahun bernasib malang apabila sebahagian kemaluannya yang mahu dikhatankan telah terpotong! Kejadian malang itu berlaku disebuah majlis berkhatan beramai-ramai di Shah Alam, Selangor. Kemaluan kanak-kanak tersebut terpotong oleh seorang pegawai perubatan pada 8 Disember yang lalu.

Dikatakan hanya berlaku pendarahan biasa.

Ibu kanak-kanak terbabit, Rohani (bukan nama sebenar), 36, berkata, pegawai perubatan yang mengkhatankan anaknya tidak memaklumkan apa sebenarnya berlaku, tetapi memberitahu anaknya perlu dihantar ke HKL kerana menjalami pendarahan.

Bagaimanapun, di HKL, doktor memaklumkan bahagian kepala alat sulit anak putus akibat ‘terlebih potong’ menyebabkan anak saya perlu menjalani pembedahan,

katanya.

Kanak-kanak itu kemudian dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menjalani pembedahan bagi menyambung bahagian kepala kemaluannya yang terpotong. Andai gagal, doktor melakukan pembedahan plastik bagi membetulkan atau mengantikan bahagian yang terpotong itu.

BACA: Kesan Penggunaan Produk Bertoksik kepada Bayi 

Proses Bersunat Menggunakan Kaedah Solehring

Puan Rohani berkata, terdapat lapan pegawai perubatan telah ditugaskan untuk melakukan proses berkhatan yang menggunakan kaedah solehring. 

Anak saya giliran ke-45 dan dia masuk ke bilik berkhatan jam 12.30 tengah hari. Bagaimanapun, sewaktu melakukan proses itu berlaku kejadian tidak diingini menyebabkan kecederaan pada alat sulit anak saya. Susulan itu, anak saya dihantar ke HKL dan menjalani pembedahan pada hari sama,

ujarnya lagi.

Ibu empat anak itu berkata, keadaan anaknya kini stabil.

Emosi Anak Terganggu

Menurut laporan yang dikeluarkan Berita Harian, kejadian yang berlaku telah menyebabkan gangguan emosi kepada anaknya. Anak Puan Rohani juga sukar tidur malam kerana sakit dan hanya boleh bergantung kepada ubat tahan sakit. 

Anak beritahu saya dia menyesal bersunat, seolah-olah tidak dapat terima hakikat. Perkara ini memberikan kesan mendalam apabila dewasa kelak. Kami juga bimbang pelajarannya terganggu disebabkan kejadian ini kerana dia menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun depan,

katanya.

Keluarga Sedia Mengambil Tindakan Undang-undang

Susulan kejadian yang berlaku, pihak keluarga Puan Rohani telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi pada hari yang sama.

Tindakan itu mungkin tidak dapat mengembalikan keadaan kemaluan anak seperti sedia kala. Sekurang-kurangnya memberi pembelaan kepada anak, selain memberikan pengajaran kepada individu yang cuai. Kami juga mengeluarkan kos bagi pengangkutan berulang-alik ke HKL, selain suami perlu mengambil cuti tanpa gaji untuk menjaga anak sejak hari pertama di masukkan ke wad kerana saya perlu menjaga tiga lagi anak di rumah,

katanya.

Semoga kejadian ini tidak berlaku kepada adik-adik yang lain diluar sana. Kongsikan pendapat Mama mengenai kejadian ini diruang komen di bawah!