KelabMama

5 Tips Utama Keluar Shopping Bersama Anak Kecil Ramadan Ini – No 4 Sangat Penting!

Kali ni Mama Siti ada tips untuk Mama Papa yang nak shopping sambil bawa anak kecil terutamanya sepanjang Ramadan ini – tak kisahlah untuk membeli persiapan raya mahupun barangan keperluan rumah sepanjang Ramadan. Alhamdulillah, tahun ni kita dapat beraya dengan lebih meriah (tetapi masih harus berjaga-jaga ya!) sejak bermulanya pandemik COVID-19.

Artikel kali ini juga sangat sesuai untuk Mama dan Papa yang ada bayi dan anak kecil terutamanya untuk mereka yang baru bergelar ibu bapa. Jangan fikir seronok berbuka atau shopping sakan sahaja ya Mama.

Pastikan Mama terapkan tip-tip di bawah dan juga kekal memakai mask, menjaga jarak dan mengikuti SOP yang telah ditetapkan kerana virus tersebut masih ada di mana-mana sahaja.

Tips Berbelanja Bersama Anak Kecil dan Bayi

1. Sediakan senarai barang 

Tak kisahlah baju atau hiasan untuk raya atau groceries, lebih baik sediakan catatan barangan terlebih dahulu. Cara ini dapat membantu Mama fokus dan dapat melengkapkan senarai walaupun perlu bahagikan perhatian pada pembelian dan anak-anak. 

Kredit gambar: Unsplash

Untuk cara yang lebih berkesan, kenal pasti barangan yang diperlukan sehari sebelum keluar shopping. Sebaiknya, lakukan selepas anak-anak tidur atau saat tiada di rumah. Mama dapat selesaikan kerja dengan tenang dan boleh semak senarai mengikut kategori.

Jika tidak berkesempatan untuk tulis senarai sehari awal, lakukan pada waktu malamnya. Menjadi seorang ibu dan ayah memaksa kita untuk jadi lebih aktif dan proaktif. Oleh itu, Mama Siti cadangkan kita buat senarai secara atas talian supaya mudah dikemas kini dan dikongsi dengan ibu atau ayah. 

2. Libatkan anak dalam aktiviti berbelanja

Tips yang kedua ini adalah yang paling Mama Siti gemari sebab cara ini mampu memberi pendedahan awal kepada anak tentang kemahiran kewangan dan pemerhatian. Lagipun anak suka kalau mereka dianggap seperti seorang dewasa. Mereka suka rasakan diri sendiri sebagai individu penting dalam sesuatu perkara.

Bagaimana nak libatkan anak dalam aktiviti shopping ni? Senang saja, Mama boleh mulakan dari senarai barang. Pilihan yang satu ini bermanfaat jika anak sudah pandai bercakap dan mengira. 

Antara idea yang Mama boleh fikirkan sekarang ialah buatkan pelekat yang mewakilkan barang-barang tertentu, selepas itu boleh tampalkan di kertas. Lanjut, boleh bahagikan seksyen dalam kertas yang sama untuk meletakkan kuantiti barang yang perlu dibeli. Jadi, anak tahu aplikasi pengiraan yang mereka telah pelajari. 

Seterusnya ketika di tempat beli-belah. Mama bebas memilih tempat di mana saja sama ada di pusat membeli-belah atau pasar awam.

Setibanya di tempat, ambil troli sesuai saiz kanak-kanak jika ada. Mereka akan rasa lebih enjoy dan bertanggungjawab untuk memenuhi troli dengan barang keperluan rumah. Mulakan dengan barang yang pertama di dalam senarai dan diikuti dengan barang seterusnya hingga lengkap. Mama jangan lupa untuk tandakan barang-barang yang sudah diambil untuk memudahkan pembelian yang seterusnya.

Aktiviti seperti ini dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan terutamanya untuk Mama dan Papa yang sibuk sepanjang minggu dan tiada masa bersama anak-anak. 

3. Rancang waktu sesuai keadaan anak

Cukup makan, cukup tidur dan cukup sihat. Tiga perkara ini hendaklah menjadi perhatian Mama setiap kali keluar rumah bersama anak-anak. Acap kali kita lihat ada anak meragam disebabkan tidak cukup tidur atau berada di luar pada waktu mereka berehat. 

Sebagai masyarakat yang bertimbang rasa, kita pun akan rasa tak selesa bila orang lain mula berikan pandangan kurang menyenangkan pada kita. Lebih perit lagi bila Mama dan Papa terpaksa ambil keputusan untuk membatalkan sesi tersebut. 

Bagi membantu melancarkan perjalanan Mama sekeluarga, Mama Siti cadangkan untuk Mama fahami dahulu waktu tidur anak-anak. Elakkan keluar rumah pada masa-masa sensitif ini. Berkemungkinan besar anak akan mula merengek, dan meragam disebabkan ketidakselesaan tempat dan suasana. 

Jika keadaan memaksa, buatlah persiapan awal seperti bekalan susu, mainan dan lain-lain perkara yang berkaitan. Jika perlu, letakkan mereka di dalam kereta sorong bayi supaya anak rasa lebih selesa dan nyaman.

Kredit gambar: Rainier Ridao on Unsplash

Pastikan juga mereka sudah makan dan kenyang supaya tidak berlaku sketsa anak kelaparan. Haru biru jadinya nanti. Bawakan atau belikan manisan untuk mereka pada awal proses shopping ini. 

4. Ajarkan anak Dos & Don’ts semasa berada di luar

Kredit gambar: Irish83 on Unsplash

Anak pada fasa umur 1-6 tahun adalah golden years buat mereka. Ini disebabkan keadaan otak yang sedang aktif berhubung dan senang menerima input baru. Mama boleh memanfaatkan masa shopping ini dengan mengajarkan mereka tentang nilai murni semasa berada di luar. 

Tips yang keempat ini memerlukan kesabaran yang tinggi dari ibu ayah. Biasalah, anak-anak ini sangat aktif, belum tentu mereka ingat dan faham pada sesuatu perkara setelah diberitahu pada kali pertama. Pengulangan adalah kunci, jadi teruskan bersabar dan mendidik ya. 

Didik anak kecil Mama untuk tidak mengganggu orang lain apabila berada di tempat awam – sama ada di dalam shopping mall atau pasar , dan bazar Ramadan. Tegaskan untuk tidak berlari dan menyentuh barang jualan sesuka hati.

Berikan peringatan awal tentang akibat perbuatan mereka. Contohnya, perbuatan mencurahkan air di lantai menyebabkan kemalangan bagi para pekerja dan orang awam. Janganlah kita menjadi individu yang tidak disenangi masyarakat. 

5. Susun laluan berbelanja         

Untuk ibu ayah yang perlu menyelesaikan urusan secepat mungkin, Mama Siti ada saranan untuk Mama semua. Susunlah laluan perjalanan Mama. 

Ianya mudah jika Mama membeli belah di pasaraya besar namun sedikit mencabar bagi Mama yang tidak mempunyai kemudahan yang sama. Di pasaraya besar, Mama boleh terus ke kedai yang diinginkan. Namun lain pula jika barang yang diinginkan tidak berada dalam pasaraya yang sama kerana Mama harus berhenti ke kedai yang berbeza.

Di sini, Mama cadangkan untuk ibu ayah tuliskan laluan perjalanan bermula dari kedai pertama yang bakal dilawati. Pastikan semua barang yang perlu telah lengkap dibeli.

Itu saja perkongsian Mama Siti pada kali ini. Lumrah menjadi ibu ayah, memang sentiasa sibuk tetapi itu bukan alasan untuk kita tidak meluangkan masa bersama keluarga.

Ceriakan hari anak-anak dengan seharian di shopping mall dan membeli-belah barangan keperluan rumah serta satu atau dua barang yang diinginkan anak-anak. Pasti mereka lebih gembira dan rasa disayangi walaupun Mama dan Papa sibuk dengan kerjaya.