KelabMama

8 Tips untuk Mama Papa Yang Sambut Raya Dengan Anak Kecil

Alhamdulillah, tinggal beberapa hari sahaja lagi umat Islam seluruh dunia bakal menyambut kedatangan Syawal. Dalam masa yang sama, berat pula rasa hati memikirkan Ramadan juga bakal berakhir. Nikmat Ramadan itu sangat berbeza dengan bulan-bulan yang lain.

Untuk Mama Papa yang bakal menyambut raya bersama anak kecil Syawal ini, mesti anda rasa sangat gembira dan teruja bukan? Kelahiran ahli keluarga baru menambahkan keceriaan dan mengeratkan hubungan satu sama lain. Dengan keadaan persekitaran yang tidak bersih, penyakit berjangkit dan sebagainya, ikuti tips dibawah oleh Dr Azlindarita Aisyah yang dikongsikan di laman Facebook Medical Mythbusters Malaysia.

#1 Bayi dibawah umur 2 bulan.

Jika ada bayi baru lahir, terutamanya kurang dari 2 bulan, imunisasi bayi anda belum lengkap lagi. Sebaiknya tidak perlu ke tempat yang ramai orang berkumpul bagi mengurangkan risiko jangkitan kuman. Kita tidak tahu siapa yang sudah divaksin, siapa yang tidak divaksin, siapa yang sedang sakit dan sebagainya.

Faham, raya setahun sekali. Tetapi bayi anda juga kecil sekali seumur hidup sahaja. In shaa Allah tahun depan kita boleh raya sepuas hati ya?

#2 Tetamu elakkan daripada mendukung bayi.

Jika tetamu datang ke rumah, sebaiknya mereka tidak perlu mendukung bayi kecil anda. Pakaian dari luar belum tentu bersih. Mungkin sudah terkena asap kenderaan dan sebagainya.

Sebaiknya biar si ibu sahaja yang mendukung bayi. Anggap sahaja bayi itu permata berharga di dalam kaca display ya.

#3 “Sila cuci tangan jika anda sayang saya.”

Ibu ayah boleh sediakan hand sanitiser untuk para tetamu, letakkan di sebelah katil bayi. Untuk lebih comel, letakkan tanda “Sila cuci tangan anda jika anda sayang saya, ” dengan satu smiley face.

Kita tak tahu tangan pengunjung sudah menyentuh dan bersalaman berapa ramai orang lain, sebelum mereka mahu menyentuh pipi comel bayi kita yang masih merah ini, kan?

#4 Tetamu yang tak sihat, tolong jaga jarak anda dengan bayi.

Para tetamu juga, mesti mengambil tanggungjawab jika ada batuk, selsema sama ada diri sendiri mahu pun anak-anak, jauhkan diri dari bayi kecil pada jarak sekurang-kurangnya 5 meter. Paling baik, jangan masuk langsung ke dalam bilik yang ada bayi kecil.

Iyalah takut terbatuk di wajah bayi itu, terkena jangkitan, kasihan bayi itu.

Batuk biasa pada kita, jika terkena pada bayi pramatang, boleh menyebabkan jangkitan paru-paru yang serius hingga perlu alat bantuan pernafasan di ICU!

#5 Elakkan cium bayi baru lahir.

Para tetamu, elakkanlah mencium bayi baru lahir pada wajah mereka, terutamanya jika anda ada batuk dan selsema. Ini bagi mengelakkan jangkitan kuman.

Jika geram sangat dengan kecomelan bayi itu, boleh saja pegang sedikit di tangan atau badan bayi, dan doakan bayi itu mengikut sunnah Rasulullah SAW:

وَإِنِّي أُعِيْذُهَا بِكَ وَذُرِّيَتَهَا مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ

“Dan aku meminta perlindungan untuknya kepada-Mu dan juga untuk anak keturunannya dari syaitan yang terkutuk,”. Hadith Riwayat Al-Bukhari (3/110 –As-Sindi) dan Muslim (15/128 Nawawi). Doa ini adalah dari Surah Ali Imran ayat 36.

#6 Vaksin anak mengikut jadual.

Pastikan anak-anak kita divaksinkan mengikut jadual imunisasi Kementerian Kesihatan Malaysia, bagi memastikan mereka mendapat perlindungan yang secukupnya dari jangkitan kuman yang merbahaya seperti batuk kokol, demam campak, rubella dan sebagainya.

Pencegahan adalah lebih baik dari merawat.

#7 Usah hiraukan kata-kata orang lain.

Para ibu yang tersayang, usah bimbang digelar paranoid kerana mahu melindungi bayi kita, ya. Mungkin ibu bimbang ada suara yang berkata “Macam dia seorang yang ada bayi!”, tapi memanglah kita seorang sahaja yang ada bayi kita kan!

#8 Penyusuan ibu amat penting.

Teruskan penyusuan susu ibu untuk memberikan imuniti pasif kepada permata hati kita, di samping mengambil langkah-langkah penjagaan di atas demi keselamatan dan kesihatan anak-anak kita in shaa Allah.

Pesan Dr Azlinda lagi,

“Walaupun di musim perayaan, jika anak-anak ada sebarang simptom tidak sihat seperti demam yang berpanjangan, sesak nafas, batuk yang berlarutan dan sebagainya, segeralah bertemu dengan doktor untuk mendapatkan rawatan di klinik dan hospital berdekatan. Semoga Allah melindungi keluarga kita sentiasa in shaa Allah, amin. “

Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah

Pesan Mama Siti

Kepada para tetamu, harap anda faham dengan tindakan ibu-ibu pada hari raya nanti. Tak dinafikan, dengan keadaan persekitaran sekarang yang kurang bersih, bayi-bayi kecil lebih mudah terdedah kepada penyakit. Itu tak termasuk ibu bapa yang masih berdegil untuk tidak memberi vaksin pada anak-anak! Untuk mengelakkan salah faham, Mama boleh jelaskan dengan baik pada tetamu tentang perkara yang menjadi kerisauan Mama. Pasti mereka akan faham permintaan Mama itu.