KelabMama

11 Tips Penjagaan Rambut Anak-Anak Yang Betul Supaya Cantik dan Sihat

mama menyikat rambut anak sambil menerangkan tips penjagaan rambut

“Kakak tak nak potong pendek, Kakak nak buat rambut macam Elsa”

Itulah kata-kata dari anak saudara Mama Siti yang menolak ketika ibunya mencadangkan agar rambutnya dipotong.

Melayan kerenah anak-anak dalam penggayaan rambut acapkali buat kita rasa seperti sedang berunding dengan ejen jualan. Pelbagai ragam perlu dilalui.

Tetapi apa yang paling penting ialah langkah penjagaan rambut anak-anak perlu diutamakan berbanding dandanan rambutnya.

Kali ini Mama Siti kongsikan 11 cara menjaga rambut anak yang panjang mahupun pendek, rambut lebat, rambut anak kecil yang masih bayi atau sudah besar.

Mari ikuti lebih terperinci tips penjagaan rambut kanak-kanak yang betul.

Tips Penjagaan Rambut Untuk Kanak-Kanak

#1 Keringkan Rambut Selepas Mandi

Kredit gambar: Freepik

Pertama sekali selepas syampu, buangkan lebihan air dengan cara perahan menggunakan kedua belah tangan. 

Seterusnya, gunakan tuala mikrofiber kerana ianya lebih cepat menyerap air dan lebih cepat mengeringkan rambut anak-anak.

#2 Sikat Ikut Jenis Rambut

Kredit gambar: thebeautyholic.com

Rambut keriting hendaklah memilih sikat dengan gigi besar manakala rambut lurus disarankan agar menyisir menggunakan gigi sikat yang lebih kecil. 

Apabila memberus rambut keriting dengan berus bergigi kecil, ia akan mengakibatkan rambut bertambah kusut dan berkemungkinan besar menyakitkan anak-anak. 

#3 Kurangkan Haba

Apabila Mama ingin mengeringkan rambut atau menggunakan alat riasan seperti pengering rambut dan straightener, pastikan segala aksesori diperbuat daripada besi telah ditanggalkan. Jika tidak, besi yang melekat pada rambut sambil dikenakan haba akan merosakkan rambut dan kulit kepala.  

#4 Pilih Produk Yang Tepat

Kredit gambar: momhaul.com

Syampu yang terbaik ialah apabila ia diformulakan khas untuk anak-anak seawal usia bayi hinggalah menjadi kanak-kanak. 

Cara-cara memilih produk penjagaan rambut untuk anak-anak ialah berdasarkan kadar pH antara 4.5 hingga 5.5. Selain itu, pastikan ianya bebas daripada bahan kimia merbahaya seperti paraben, silikon dan sulfat. 

#5 Minyakkan Rambut

Kredit gambar: Freepik

Rutin meminyakkan rambut anak-anak menggalakkan pertumbuhan rambut yang lebih baik. Bagi meningkatkan peredaran darah ke akar rambut, urut perlahan bahagian kulit kepala anak-anak. 

Mama Siti syorkan agar Mama menggunakan minyak rambut dari sumber semulajadi seperti minyak kelapa dara, minyak zaitun dan minyak argan. 

#6 Potong Rambut

Rambut pendek lebih mudah diuruskan berbanding rambut panjang. Ini sebab-sebabnya;

  1. Tidak memerlukan masa lama di waktu pagi sebelum ke sekolah dan taska. Mahu itu Mama atau anak-anak, rambut pendek tidak memerlukan pengering rambut (hair dryer) di waktu pagi kerana kipas dan tuala sahaja sudah memadai.
  2. Kurang potensi kusut. Lebih panjang rambut, lebih besar risikonya. Rambut yang kusut menyebabkan kulit kepala anak-anak menjadi sakit apabila memberus rambut. Jika salah teknik menyikat rambut, silap-silap Mama terpaksa potong rambut anak-anak kerana masalah rambut tersekat pada berus sikat. 

#7 Cara Penggayaan

Kredit gambar: smartbabyadvice.com

Pertama sekali, kenal pasti jenis rambut anak sama ada ikal, lurus atau keriting. Ketiga-tiga jenis rambut ini memerlukan cara penggayaan yang berbeza. 

Apa-apa pun setiap rambut kanak-kanak tidak boleh diikat dengan sangat ketat kerana boleh mengakibatkan kerapuhan. Tambahan pula, ikatan yang terlalu kuat berisiko menyebabkan keguguran rambut. 

#8 Aksesori Sesuai

Kredit gambar: TLC

Riasan rambut mempunyai potensi merosakkan struktur rambut kanak-kanak. Bagi mengekalkan kesihatan rambut mereka, kanak-kanak digalakkan menggunakan pin dan klip rambut yang disalut dengan getah di bahagian hujung atau secara keseluruhan. 

Ini kerana, bahagian hujung klip yang tajam berkemungkinan besar boleh memutuskan rambut serta menyebabkan luka apabila terkena kulit kepala. 

#9 Anti Kutu

Kredit gambar: slma.cc

Aktiviti sosial anak-anak di taska dan di sekolah mendedahkan risiko jangkitan kutu. Oleh itu, periksa rambut anak-anak lebih kerap agar tiada seekor kutu pun boleh hinggap ke atas rambut mereka. 

Jika terdapat tanda-tanda segera hilangkan kutu-kutu tersebut melalui cara syampu, losyen dan meletakkan ubat anti kutu di rambut anak-anak. 

#10 Bilas Selepas Mandi Kolam

Kredit gambar: totalpoolsafetyinspections.com.au

Kandungan klorin dalam kolam renang menanggalkan minyak semulajadi (sebum) yang bertindak melindungi rambut. Oleh itu, setiap kali selepas mandi kolam, segera bilas rambut dengan air bersih.

Sebagai langkah perlindungan di masa hadapan, oleskan perapi atau minyak rambut semulajadi sebelum memakai topi renang (swimming cap) agar rambut kekal dilindungi dari bahaya klorin. 

#11 Perlindungan Matahari

Kredit gambar: vecteezy.com

Adakah cahaya matahari mengancam kesihatan rambut? 

Ya, jika rambut anak-anak sering terdedah kepada cahaya matahari yang berpanjangan, ultralembayung A (UVA) dan ultralembayung B (UVB) boleh merosakkan lapisan kutikel rambut. Akhirnya, jika kutikel rosak, rambut menjadi rapuh, gugur dan bercabang. 

Sebagai cadangan, apa kata Mama memakaikan topi atau tudung kepada anak-anak ketika berada di luar terutamanya ketika cuaca panas terik. 

Apa boleh buat Mama kalau anak-anak ada pilihan dandanan sendiri. Sebagai ibu bapa, selagi boleh runding, kita cuba. Jika tidak berjaya, kita ikutkan sahaja.

Oleh itu, kita perlu ambil langkah praktif supaya menjaga rambut anak-anak agar sentiasa sihat dan cantik. 11 tips penjagaan rambut yang Mama Siti kongsikan ini ialah perkongsian dari ibu-ibu diluar sana yang pernah mengalami hal yang sama sebelum ini.

Jadi bagaimana Mama? Masih risau dengan rambut anak-anak? Tidak mengapa, itu normal. Asalkan sahaja kita mencuba yang terbaik untuk anak-anak kita, itu langkah yang bijak kan.

Nak lagi petua-petua lain? Klik SINI.