KelabMama

Tips Kepada Bakal Bapa Sebelum & Selepas Menimang Cahaya Mata

bakal bapa

Seperti wanita, lelaki juga sebenarnya mempunyai perasaan teruja dan gembira saat diberitakan bakal menjadi Bapa. Perasaan risau, gelisah, gembira dan teruja, semuanya bercampur baur bila saat kali pertama lelaki bergelar Bapa. Pada saat ini, anda sebenarnya sedang melangkah satu lagi tahap dalam kehidupan iaitu alam keibubapaan. Tetapi bersediakah anda untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang bapa. Sebagai seorang suami yang bertanggungjawab, rasanya tentu anda tidak sanggup membiarkan segala urusan anak dilakukan oleh isteri tercinta semata-mata.

TUGAS SUAMI SEBELUM MENJADI BAPA

 +TAHU APA YANG BAKAL BERLAKU

Pastikan anda dan isteri sudah memenuhkan dada dengan ilmu pengetahuan tentang kelahiran yang bakal dilalui nanti. Oleh kerana itulah, anda dianjurkan untuk mengikuti kelas antenatal bersama sama isteri. Kelas ini lazimnya ditawarkan oleh pihak hospital yang boleh disertai sejak dari awal usia kehamilan. Menerusi kelas tersebut anda berdua akan memperoleh pelbagai maklumat asas yang berinformatif untuk dipraktikkan. Langkah ini amat penting untuk anda berdua meluaskan minda agar dapat menghadapi cabaran yang bakal timbul apabila tiba saatnya. Oleh kerana itulah, anda dan isteri perlu sentiasa memantau pergerakan kontraksi dengan mencatat setiap kontraksi yang berlangsung. Jadi, ia dapat memudahkan anda mengetahui apa yang sedang dan bakal berlaku.

Luangkan masa-masa terakhir yang ada ini dengan memenuhi  apa yang isteri mahu demi memastikan dia kekal selesa. Sebagai contoh, anda bolehlah mengurutnya di bahagian-bahagian tubuhyang kurang selesa menggunakan minyak bayi ataupun minyak aromaterapi.

+BERSEDIA UNTUK MELALUINYA

Kebanyakan wanita terutamanya hamil sulung perlu melalui proses bersalin yang lebih panjang sebelum selamat melahirkan. Sesungguhnya, adalah lebih baik dan selesa jika isteri anda melalui peringkat awal fasa kelahiran (kontraksi awal) di rumah sahaja. Lagipun, kebanyakan hospital tidak menerima pesakit melainkan kontraksi yang dialami adalah tetap dan berlaku setiap lima minit. Oleh itu sebagai suami anda perlu tahu apa itu kontraksi ketika hendak bersalin. Jangan anda pula yang panik dan kelam kabut sehingga memaksa isteri cepat ke hospital. Itulah sebabnya mengapa pentingnya bakal ayah mempersiapkan diri dengan ilmu kehamilan dan kelahiran.

+FLEKSIBEL

Tidak semua wanita hamil akan melalui pengalaman bersalin yang sama. Dengan itu, anda dan isteri perlu sama-sama berbincang tentang kemungkinan yang bakal berlaku dan apakah pilihan yang ada bagi mengatasinya. Gunakan pengetahuan yang telah anda berdua kumpul ketika menyertai kelas antenatal dahulu. Apabila tiba masanya nanti, anda sudah tahu apa yang patut diputuskan. Namun, persiapkan juga mental, fizikal mahupun ekonomi untuk melalui apa jua perubahan drastik yang mungkin hadir tanpa disedari.

+USAH AMBIL HATI

Mana-mana wanita akan berubah sikap apabila melalui proses kelahiran terutamanya di tahap terakhir. Ini kerana kesakitan dan keletihan yang dialaminya membuatkan dia mudah hilang pertimbangan diri. Apatah lagi jika proses itu memakan masa yang sangat panjang. Pada peringkat awal proses bersalin dia mungkin suka diurut. Namun, ada kemungkinan juga di tahap terakhir, dia beranggapan urutan anda menambahkan kesakitan yang dirasainya. Tanpa disedari dia mungkin bersikap atau berbicara kasar. Jadi, janganlah mudah terasa dengan sikap atau kata-katanya itu.

+SIAPKAN KEPERLUAN DIRI

Kebanyakan wanita hamil disarankan untuk mempersiapkan beg khas yang mengandungi pelbagai kelengkapan diri dan bayi bagi menghadapi proses kelahiran sebelum tarikh jangkaan bersalin. Memandangkan anda juga akan bermalam di hospital, jadi apa kata anda sendiri menyediakan beberapa kelengkapan diri sendiri. Contohnya pakaian sejuk, stoking, bantal, makanan ringan dan lain-lain.

+BERTANYA SOALAN

Tidak semua doktor yang mengendalikan isteri anda sudi menerangkan secara terperinci setiap permasalahan yang dihadapi. Jadi, jangan malu untuk bertanya kepadanya apa sahaja yang mengusutkan fikiran anda. Sekurang-kurangnya, dengan maklumat yang diperoleh, anda dapat membantu isteri untuk berada dalam keadaan yang lebih selesa apatah lagi jika dia kini tidak lagi punya kekuatan untuk bertanya itu dan ini.

+PENDORONG SEMANGAT

Tidak semua wanita hamil kuat dalam menghadapi ujian yang perlu ditempuhinya sepanjang proses bersalin. Jadi, sebagai suami anda perlu terus kuat dan tidak putus-putus menitipkan kata-kata semangat kepadanya. Kekuatan yang ada pada diri anda sangat penting ketika isteri sedang berperang dengan kontraksi dan terutamanya di waktu isteri sedang meneran untuk mengeluarkan bayi.

+BANTU KEKALKAN FOKUS

Praktikkan apa yang telah anda pelajari di dalam kelas antenatal. Bagi menenangkan isteri dan membantunya kekal fokus, anda boleh meminta isteri mengaplikasikan teknik pernafasan, mengubah posisi ataupun anda sendiri boleh menawarkan diri untuk mengurut bahagian tubuh yang tidak selesa.

+BERTERUS-TERANG

Banyak perkara bakal berlaku di dalam bilik bersalin. Ketahui apa yang perlu dan mahu anda lakukan sepanjang proses itu berlangsung. Sebagai contoh, jika anda tidak selesa untuk memotong tali pusat bayi, katakan sahaja anda tidak bersedia melakukannya kepada jururawat mahupun doktor yang bakal menyambut kelahiran bayi anda nanti. Jangan pula anda suami isteri saling bergaduh disebabkan hal tersebut. Perbincangan awal lebih baik.

TUGAS SUAMI SELEPAS MENJADI BAPA

Dek kerana terlalu teruja dengan kehadiran orang baru di dalam kehidupan anda berdua, anda mula membelakangi isteri anda dan lebih memberi tumpuan kepada si comel. Anda perlu tahu, selepas kelahiran, keadaan emosi isteri sangat lemah. Kekurangan kasih sayang dan perhatian anda boleh membuatkan isteri mengalami masalah kemurungan yang tidak baik untuk kesihatan mental isteri. Jangan lupa untuk melebihkan perhatian anda kepada isteri yang sedang berpantang.

Kami faham, ini adalah anak pertama dan anda mahu kelengkapan untuk bayi tidak kurang sedikit pun. Cadangan kami, jangan beli terlalu banyak sebelum kelahiran. Beli perabot untuk bayi selepas isteri selamat melahirkan kerana pada saat itulah anda tahu apa yang anda berdua benar-benar perlukan.  Ayah perlu memastikan simpanan sentiasa mencukupi bagi menghadapi saat-saat kecemasan terutamanya bila membabitkan si kecil yang mungkin diserang demam serta perlu mendapatkan rawatan segera di hospital. Peruntukan sebahagian daripada pendapatan bulanan untuk memenuhi keperluan kecemasan si kecil dan isteri sepanjang bergelar ayah. Apabila anak-anak anda sudah semakin membesar, peranan seorang ayah semakin bertambah

Kami faham, anda harus ke pejabat di waktu pagi dan memerlukan tidur yang cukup untuk sentiasa bertenaga sepanjang hari. Tetapi, anda telah bersetuju untuk mempunyai anak bersama dengan isteri jadi jangan bermimpi untuk dapat tidur yang secukupnya selepas mempunyai anak. Kajian turut membuktikan bapa yang menukar lampin anaknya mempunyai ikatan perkahwinan yang lebih utuh. Sekiranya anda boleh bangun untuk menyaksikan perlawanan bola di waktu pagi, kenapa anda tidak boleh bangun untuk menukar lampin dan menyusukan anak?

Kami percaya ramai pasangan yang memahami dan mengizinkan anda meneruskan aktiviti zaman bujang walaupun sudah berkahwin. Namun begitu, setelah mempunyai anak, anda sendiri perlu tahu mana yang perlu diutamakan. Janganlah sibuk dengan aktiviti futsal ketika si isteri baru habis berpantang atau pergi memancing di hujung minggu dan meninggalkan isteri bersama keluarga mertua. Tanya diri anda, anak dan isteri itu tanggungjawab anda atau masih di bawah penjagaan keluarga mertua?

Inilah saat terbaik untuk melakukan kejutan terbesar buat isteri yang telah berkorban bertarung nyawa untuk melahirkan zuriat anda. Apa kata anda pula yang mengambil peranannya ketika isteri dalam pantang. Mungkin anda boleh mulakan dengan menyediakan sarapan, membantu isteri menguruskan dirinya, menyediakan keperluan si bayi dan sesekali hadiahkan bunga tanda kasih sayang.

Sudah namanya lelaki, tidak dapat tidak, nafsu selalu bsergelora. Jangan gelojoh dan akurlah pada detik yang sesuai untuk bersama isteri dalam hubungan intimasi. Fikirkanlah yang isteri anda sudah bersusah-payah menggendong si kecil ke sana ke sini selama 9 bulan 10 hari tanpa keluh kesah dan kini dalam pantang pula. Tentulah mengambil masa untuk pulih seperti sedia kala. Fikirkan juga yang kini ada orang ketiga yang harus diutamakan.

Sebagai bapa yang masih muda, anda perlu mendapat banyak nasihat dan petua daripada orang yang lebih berpengalaman. Guru terbaik untuk mendapatkan maklumat ialah ibu bapa serta saudara-mara atau kenalan yang lebih arif mengenai soal penjagaan bayi dan kanak-kanak. Tidak perlu malu kerana maklumat yang diberi akan memudahkan urusan menjaga si kecil. Tidak dinafikan, ibu anda mempunyai lebih pengalaman dan ada cara tersendiri untuk membesarkan anda. Tetapi, tidak semestinya isteri akan bersetuju dengan cara tersebut. Biar isteri tentukan caranya sendiri dan lebih baik anda berdua belajar melalui pengalaman sendiri daripada pengalaman orang lain.

Terimalah hakikat bahawa anda harus membersihkan najis bayi dan belajar memakaikan lampinnya. Fikirkan bapa anda juga dahulu pernah melakukan perkara yang sama ketika anda masih kecil dahulu. Mungkin agak kekok pada permulaannya, namun, alah bisa tegal biasa.

 Jika mampu, dapatkan pengasuh untuk meringankan tugas anda dan isteri di rumah. Pengasuh bukan sahaja boleh menguruskan isteri yang sedang berpantang, malah pada masa yang sama boleh menjaga si bayi yang memerlukan perhatian hampir 24 jam sehari.

Sumber: eh.com.my / mummyliciousclub.blogspot