KelabMama

Tips Bawa Bayi Naik Pesawat. Mama Papa Jangan Cuak Tau!

Ramai berpendapat menaiki pesawat bersama bayi berusia bawah dua tahun adalah suatu yang cukup mencabar, lebih-lebih lagi jika terpaksa mengembara berdua bersamanya. Anak cerewet, hendak berlari-lari dalam pesawat, menangis sepanjang penerbangan, susah hendak menyusukan anak dan banyak lagi perkara yang menjadi kerisauan.  Namun, penerbangan anda boleh menjadi lebih mudah dan menyenangkan dengan perancangan teliti, tidak kira anda mengembara berdua saja dengan bayi atau bersama ahli keluarga lain.  Oleh itu, tip melancong minggu ini memberikan beberapa panduan kepada ibu yang akan menaiki pesawat untuk sampai ke destinasi dituju.

Dapatkan Penerbangan Yang Betul – Lihat jadual bayi anda dan anda mungkin boleh merancang perjalanan ketika waktu tidurnya. Dengan perancangan teliti itu, anak boleh tidur lena sepanjang penerbangan ke destinasi dituju, sekali gus memberi peluang kepada anda untuk berehat.  Jika bayi anda sudah menunjukkan tanda mengantuk ketika di balai menunggu, usahakan untuk membuatkan dia tidak tidur sebelum masuk dalam pesawat dengan mengalihkan perhatiannya kepada apa juga perkara atau bermain bersamanya.  Ini bagi mengelak dia tidur sebelum menaiki pesawat dan membantu dia lena sepanjang penerbangan.

Kerusi Tambahan Untuk Bayi Yang Sudah Boleh Duduk- Bayi berusia dua tahun ke bawah biasanya tidak memerlukan kerusi dan hanya duduk di riba ibu atau bapa.  Namun, bagi memberi keselesaan kepada anda sepanjang penerbangan terutama yang mengambil waktu panjang, mengambil satu lagi kerusi adalah digalakkan.  Dengan menempah tempat duduk tambahan, anda boleh membawa ‘carseat’ anda ke atas pesawat dan anak kapal akan membantu anda untuk memasangnya. Bagi anak yang sudah boleh duduk, mereka pastinya boleh duduk dengan selesa dengan kerusi tambahan yang anda minta.  Caj tambahan sememangnya dikenakan tetapi ia tidak semahal yang disangkakan dan pastinya anak dan anda dapat duduk lebih selesa. Bagi bayi yang tidak boleh duduk sendiri, anda mungkin boleh menggunakan anduh atau kain untuk memberikan keselesaan.

Pemilihan Tempat Duduk Di Dalam Pesawat- Ketika memilih tempat duduk dalam pesawat, pilih tempat duduk berdekatan tingkap untuk mendapatkan lebih privasi kepada anda dan anak.  Selain itu, anda juga boleh memilih tempat duduk yang memudahkan anda untuk bangun ketika menukar lampin atau untuk melayan kerenah anak yang ingin berjalan-jalan dalam pesawat.

Pakaian Mudah

Barang Keperluan Secukupnya – Pastikan anda mempunyai lebih daripada cukup segala-galanya dalam kes penerbangan anda terlewat. Ini bermakna lampin tambahan, pakaian tambahan, makanan ringan tambahan, tisu tambahan dan susu formula tambahan.  Pastikan juga anda membawa pakaian sesuai dengan suhu dalam pesawat untuk bayi dan anda sendiri. Baju tambahan untuk anda juga jangan diabaikan. Simpan semua keperluan ini dalam beg lampin anda yang akan sentiasa dibawa bersama untuk menyenangkan anda.

Jangan Malu Untuk Meminta Bantuan- Anak kapal boleh membantu anda untuk mendapatkan keselesaan sepanjang penerbangan. Mereka juga bukan saja boleh membawakan air untuk membuat susu, mengambil barang dalam tempat penyimpanan barang, bahkan menjaga anak anda sementara anda mahu ke bilik air.

 

Bayi Menangis Di Dalam Pesawat –Banyak faktor yang menyebabkan bayi menangis dalam pesawat dan satu daripadanya adalah tidak selesa terhadap tekanan yang dirasai mereka.  Orang dewasa juga sering mengalaminya, inikan pula bayi yang membuatkan telinga mereka sakit dan sebagainya.  Bagi mengelak perkara ini berlaku, pastikan anda memberikan bayi anda susu, makan, minum atau apa saja yang boleh membuatkannya menelan sebaik pesawat berlepas sehingga isyarat tali pinggang keledar dipadamkan.  Lakukan perkara sama ketika pesawat mendarat. Pastikan juga si dia sentiasa selesa berada di tempat duduk dan sediakan permainan yang boleh menghilangkan kebosanannya. Membawa si dia berjalan-jalan buat seketika dalam pesawat juga boleh mengelak daripada meragam dan menangis.

Penyusuan Susu Ibu- Bagi anda yang menyusukan bayi, mengambil kerusi di tepi tingkap adalah pilihan terbaik. Ia bukan saja memberikan keselesaan kepada anda ketika menyusukan anak tetapi juga lebih terlindung daripada penumpang lain.  Jika penumpang di sebelah tempat duduk anda adalah lelaki yang bukan pasangan anda, minta bantuan anak kapal untuk meminta supaya anda ditempatkan di tempat duduk bersebelahan perempuan.

Peti Kecemasan –Bawa bersama anda peti kecemasan sendiri. Di dalamnya letakkan ubatan yang digunakan anak anda sekiranya diserang masalah kesihatan secara tiba-tiba. Misalnya ubat batuk, ubat demam, ubat selesema, pembalut luka dan salap berwap.

                                                                                                                                                                                                                 

JANGAN BAWA INI KE DALAM PESWAT YA MAMA!

Bagi mengelakkan kerugian dan terpaksa meninggalkan barangan yang dibawa atau dibeli saat menaiki pesawat, jom semak senarai barangan yang dilarang dibawa bersama ketika menaiki pesawat.

 

 

 

 

Sumber: Harian Metro