KelabMama

Tips Perjalanan Jauh Naik Kenderaan Bersama Anak Kecil

Anda mungkin keberatan untuk berjalan jauh dengan membawa bayi kecil, tetapi kadang-kala ini tidak boleh dielakkan. Semasa cuti perayaan, ramai rakyat Malaysia yang bekerja dan tinggal di bandar-bandar besar akan membawa kereta masing-masing meredah kesesakan untuk pulang ke kampung halaman demi untuk bersama-sama orang tersayang menyambut perayaan tersebut. Dan perayaan kali ini juga mungkin lebih bermakna bagi anda dengan kehadiran si comel untuk diperkenalkan kepada semua ahli keluarga. Namun sekiranya anda merasa panik apabila memikirkan bagaimana hendak menangani keperluan untuk berebut-rebut balik kampung dengan membawa bayi bersama, buatlah sedikit perancangan dan susunlah perjalanan itu terlebih dahulu untuk menenangkan fikiran anda. Perkara yang perlu dipertimbangkan:

 

KESELAMATAN DAN KESELESAAN SEMASA PEMANDUAN

Jika anda belum mendapatkan kerusi kereta bayi untuk bayi anda, inilah masa untuk membelinya. Kegunaannya mungkin tidak dimandatkan dari segi undang-undang di sini, tetapi di kebanyakan negara membangun, semua bayi mesti diletakkan di kerusi kereta bayi bayi. Kanak-kanak kecil pula mesti duduk di kerusi keselamatan.

Ini kerana kajian telah menunjukkan bahawa anak kecil akan lebih selamat jika diletakkan dalam kerusi keselamatan berbanding di pangkuan atau di atas riba orang dewasa. Pusat Kajian Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia, dalam satu laporan mengenai kemalangan jalan raya di Malaysia, mengesahkan bahawa kerusi keselamatan dan yang seumpamanya boleh mengelakkan kecederaan kepada penggunanya semasa kemalangan. Selain keselamatan, bayi anda akan rasa paling selesa di sini, terutamanya jika perjalanan anda jauh. Seorang penjaga yang sangat berdedikasi pun akan merasa letih memangku bayi berjam-jam lamanya dalam keadaan yang agak sempit di dalam kereta.

 

RANCANG WAKTU PERJALANAN

Semakin ramai yang kini mula memandu ke kampung halaman pada waktu lewat petang, malam, malah sebelum subuh lagi. Pihak berkuasa menggalakkan amalan ini dengan menguatkuasakan waktu-waktu bebas tol dan diskaun untuk perjalanan pada waktu bukan waktu puncak di lebuh raya tertentu. Dapatkan maklumat mengenai promosi-promosi istimewa ini dalam akhbar-akhbar harian dan media lain.

Jika anda memandu pada waktu-waktu tersebut, anda boleh mengambil masa untuk memberi bayi anda makan dan memandikannya dan letakkannya di tempat duduk bayi pada waktu dia biasanya tidur. Bawalah CD lagu kanak-kanak kegemarannya. Jika nasib anda baik, dia akan tertidur sebelum anda sampai ke plaza tol yang pertama. Namun anda juga mungkin akan berhadapan dengan kesesakan, maka langkah-langkah keselamatan biasa perlu diambil.

 

GUNAKAN KEMUDAHAN HENTIAN REHAT

Kebanyakan lebuh raya utama di Malaysia menyediakan hentian rehat di sepanjang lebuh raya tersebut. Di Semenanjung Malaysia contohnya, terdapat banyak hentian rehat di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan. Atas sebab keselamatan, elakkan berhenti di hentian rehat yang kecil dan pilihlah hentian yang besar dan sibuk, terutamanya pada waktu malam.

 

TAKE NOTE MAMA & PAPA!

 

 

 

 

Sumber: babycenter.com & internet