KelabMama

TIP NAIK KENDERAAN BERSAMA SI KECIL. MAMA PAPA JANGAN PANIK YA!

Keperluan kanak-kanak khususnya bayi berumur kurang 24 bulan perlu diambil kira dari dua sudut penting iaitu asas dan keselamatan ketika menaiki kenderaan. Ia perlu dipenuhi bukan saja untuk keselesaan bayi tetapi ibu bapa sendiri. Ada beberapa perkara utama yang perlu dipertimbangkan dalam menyediakan keperluan asas bayi ketika memulakan perjalanan anda pada musim cuti ini dengan kenderaan. Makanan, bekalan lampin, waktu tidur dan perhatian.

Bagi bayi yang masih menyusu badan, si ibu perlu sentiasa bersedia dengan kain pelindung untuk memudahkan penyusuan di sepanjang perjalanan. Namun jika mereka membawa bekalan susu perahan, penghangat botol mudah alih perlu dipastikan ada untuk melancarkan penyusuan bayi. Berbeza dengan bayi yang minum susu formula atau sudah mula makan, ibu bapa perlu memastikan bekalan air panas, susu tepung, makanan seperti puri, bubur atau snek dibawa bersama untuk keperluan sepanjang perjalanan serta percutian nanti.

Keperluan makanan bayi perlu disiapkan lebih awal jika ibu bapa merancang memulakan perjalanan dalam situasi berisiko seperti terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, atau perlu menempuh perjalanan jauh. Sekalipun situasi berkenaan sudah dijangka sesetengah ibu bapa, hakikatnya amalan penyediaan makanan bayi memang kerap diambil mudah kerana dianggap perkara remeh.

Selain makanan, perkara yang perlu diambil kira adalah bekalan lampin. Ketika musim cuti, penyelesaian terbaik untuk ibu bapa adalah dengan memilih lampin pakai buang yang sesuai dengan kulit serta umur bayi. Jika terpaksa menempuh perjalanan jauh, seelok-eloknya ibu bapa mencuri sedikit masa, berhenti di hentian rehat dan rawat (R&R) untuk membersihkan dan memandikan bayi. Untuk itu, baju, lampin pakai buang dan selimut perlu disediakan dalam jumlah yang betul.

Dalam keadaan kenyang dan selesa, bayi biasanya mudah ditidurkan. Oleh itu, pastikan bayi mendapat jumlah tidur yang cukup. Saat bayi terjaga, berikan mereka sepenuh perhatian atau sediakan bahan aktiviti dan permainan bersesuaian untuk mengisi waktu terluang.

Bawa bekalan ubat seperti minyak angin dan sirap paracetamol untuk waktu kecemasan. Bayi mungkin mudah sakit atau demam selepas melalui perjalanan yang panjang. Sementara mendapatkan rawatan di klinik, ubat yang ada boleh digunakan untuk meredakan suhu.

 

KESELAMATAN PALING UTAMA

Berita kemalangan maut membabitkan penumpang bayi dan kanak-kanak sepatutnya membuka ruang kesedaran kepada ramai ibu bapa untuk menggunakan kerusi kereta khusus buat si comel. Walaupun kerusi kanak-kanak tidak menjamin perlindungan dan keselamatan 100 peratus, namun ia mampu mengurangkan risiko kematian akibat kemalangan. Akhir-akhir ini banyak kes bayi terpelanting keluar dan maut akibat kemalangan kereta. Suka atau tidak, ibu bapa harus memastikan kenderaan dilengkapi kerusi kereta kanak-kanak untuk keselamatan bayi. Adalah tidak digalakkan ibu bapa memangku anak ketika dalam perjalanan, khususnya membabitkan bayi atau kanak-kanak di bawah usia tiga tahun. Sepatutnya, setiap anak (empat tahun ke bawah) mempunyai kerusi sendiri. Bagi anak berusia lima tahun ke atas, mereka mungkin boleh mengenakan tali pinggang keselamatan sepanjang perjalanan. Belilah apa saja jenis atau jenama, asalkan ia berguna.

TIP MENGURUSKAN ANAK SEPANJANG PERJALANAN

 

PERJALANAN JAUH TIDAK TERGANGGU

Menaiki kenderaan dengan anak kecil memang mencabar. Tanpa persediaan yang baik, anda mungkin sukar untuk menikmati keseronokan percutian apatah lagi merasa selesa di sepanjang perjalanan. Bagi sesetengah ibu bapa, situasi mungkin lebih menekan jika mempunyai ramai anak kecil berusia enam tahun ke bawah atau setidak-tidaknya bayi kembar! Mana hendak melayan adik jika abang dan kakak tidak henti merengek mahukan perhatian. Bagaimanapun, usah bimbang jika anda memang sudah bersedia dengan segala keperluan, perancangan dan pelan alternatif. Jika belum bersedia, mungkin pesanan di bawah boleh dijadikan panduan di samping mendapatkan nasihat daripada mereka yang lebih berpengalaman!

Setiap orang mempunyai tahap kemampuan kewangan masing-masing. Sama ada berkereta kecil atau mewah, ia bukan masalah asalkan anda tahu mengatur kedudukan anak serta barang yang akan dibawa pulang ke kampung. Seelok-eloknya anak diletakkan di kerusi mereka sendiri dan dipakaikan tali pinggang keledar. Bayi dan anak kecil perlu diletakkan di kerusi kanak-kanak dan dipakaikan tali pinggang keselamatan.Hakikatnya, ramai ibu bapa mengeluh dengan kerenah si manja yang enggan ‘diikat’ pada kerusi. Namun soal keselamatan dan nyawa tidak ada kompromi!

Kanak-kanak memang sukakan snek. Jika anda mempunyai waktu terluang, sediakan snek ringkas seperti biskut, sandwic, keropok, kerepek atau bijirin ringkas. Pek bahan kudapan dalam plastik atau bekas yang mesra ruang serta sukar tumpah. Sediakan air mineral atau jus untuk mereka menghilangkan dahaga. Adalah normal jika kanak-kanak berebutkan sesuatu. Ambil kira situasi ini dan sediakan bahan kudapan secara berasingan bagi setiap orang.

Nampak remeh bukan? Bayangkan jika anda terperangkap dalam kesesakan jalan berjam-jam lamanya. Bekalan air minum tidak mungkin digunakan untuk tujuan kecemasan. Banyak situasi luar jangka yang boleh diselamatkan dengan sebotol air. Mungkin anak membuang air atau muntah. Segalanya mungkin!

Bagaimana hendak menentukan waktu perjalanan paling sesuai? Lihat pola tidur anak anda. Jika merancang memulakan perjalanan di sebelah malah, biarkan si manja bermain sepuasnya di siang hari. Kemungkinan besar anak akan tertidur kepenatan di sepanjang perjalanan. Namun jika anda masih merancang untuk memandu pada sebelah pagi atau siang, pastikan semua keperluan asasnya tersedia. Anak mungkin berjaga sehingga anda tiba ke destinasi kerana terbiasa dengan rutin harian di siang hari.

Satu lagi keperluan yang selalu dipandang remeh. Ada ibu bapa yang semberono membawa keperluan ini tanpa mencuci terlebih dulu. Apa agaknya tindakan anda apabila anak tiba-tiba minta dibancuhkan susu ketika dalam perjalanan? Kemungkinan besar permintaan anak tidak dilayan segera kerana penat atau tiada lokasi sesuai untuk berhenti dan mencuci bekas minuman mereka. Akibatnya, anak akan terus meragam.

 

 

 

 

 

Sumber: Harian Metro / AsianParenting