KelabMama

Ada Masa Lagi! Tingkatkan Ibadah Dengan Mengamalkan Amalan-amalan Ini Sehingga Akhir Ramadan

Bagi umat Islam yang ingin tingkatkan dan perbaiki kualiti ibadah anda sepanjang Ramadan ini, jangan risau – masih belum terlambat!

Bulan ramadan merupakan bulan yang dijanjikan dengan pelbagai ganjaran bagi mereka yang sentiasa mencarinya.

Antara ganjarannya ialah keampunan, kerahmatan, dibuka pintu-pintu syurga, dimakbulkan doa dan terdapat satu malam dimana amalan pada malam tersebut akan dilipat gandakan seperti ibadah selama 1,000 bulan.

كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ يُضَاعَفُ الْحَسَنَةُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعِمِائَةِ ضِعْفٍ قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ إِلاَّ الصَّوْمَ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ يَدَعُ شَهْوَتَهُ وَطَعَامَهُ مِنْ أَجْلِي لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ فَرْحَةٌ عِنْدَ فِطْرِهِ وَفَرْحَةٌ عِنْدَ لِقَاءِ رَبِّهِ ‏.‏ وَلَخُلُوفُ فِيهِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ

Maksudnya: Setiap amalan anak Adam akan digandakan pahalanya sebanyak sepuluh kali ganda sehingga 700 kali ganda. Allah SWT berfirman: Kecuali puasa, sesungguhnya ia milik Aku dan Aku yang akan membalasnya. Orang yang berpuasa meninggalkan nafsu syahwat dan makannya kerana-Ku. Orang yang berpuasa mempunyai dua kegembiraan iaitu kegembiraan ketika berbuka puasa dan Kegembiraan ketika bertemu Tuhannya. Sesungguhnya bau mulut orang berpuasa lebih wangi di sisi Allah berbanding kasturi. 

(Riwayat Muslim)

8 Amalan Yang Umat Islam Harus Istiqamah Hingga Akhir Ramadan

Bukan Mama Papa sahaja yang digalakkan melakukan amalan ini. Bahkan, adalah lebih baik untuk Mama Papa turut mengajak anak-anak bersama-sama menunaikan ibadah dan amalan di bawah:

1. Tadarus dan Khatam Al-Quran

Bulan puasa ini, isikan masa Mama Papa dengan membaca Al-Quran. Bila bulan puasa, pasti aktiviti kehidupan kita sudah dikurangkan sedikit. Jadi Mama Papa isikan masa yang terluang tersebut dengan membaca Al-Quran.

Sini, Mama Siti nak kongsikan satu tips kepada Mama Papa supaya target untuk khatam Al-Quran di bulan Ramadan ini berjaya. Kekal istiqamah dengan membaca 4 atau 5 muka surat Al-Quran setiap kali selepas solat.

Selain itu, Mama Papa juga boleh mengajak anak-anak untuk membaca al-Quran bersama-sama. Ini adalah untuk memupuk minat anak-anak membaca al-quran dari kecil.

Dengan cara ini juga, mudah-mudahan kita dapat mendidik mereka menjadi anak yang soleh dan solehah, serta patuh akan perintah Allah SWT.

Orang tua-tua kan ada berpesan melentur buluh biarlah dari rebungnya.

2. Banyakkan Mendengar Kuliah Agama

Mama Papa juga harus kerap hadirkan diri dalam kuliah-kuliah agama. Lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan ni. Beri peluang pada diri sendiri untuk melakukan ibadah yang lebih baik atau dengan lebih khusyuk.

Tidak semestinya mendengar kuliah di masjid sahaja. Ada juga surau-surau di sekitar perumahan yang menganjurkan kuliah agama lebih-lebih lagi di bulan ramadan ini.

Kalau Mama Papa mempunyai kekangan masa untuk pergi ke surau atau masjid. Mama Papa boleh juga mendengar kuliah dalam secara online seperti di YouTube atau Facebook.

Zaman teknologi yang serba canggih ini semuanya ada di hujung jari je. Lagipun, kuliah atau ceramah sekarang sudah banyak yang di upload dalam media sosial sebagai siaran ulangan kepada sesiapa yang tidak sempat menyertai kuliah pada waktu tersebut.

3. I’tikaf atau Berdiam Diri di Masjid

Beritikaf dilakukan dengan menetap di dalam masjid sama ada waktu malam atau siang hari, dan tidak keluar dari masjid kecuali ada perkara yang mustahak.

Beriktikaf bermaksud menyibukkan diri dengan melakukan ibadah seperti berzikir, membaca al-Quran dan amalan ibadah yang lain.

Dengan melakukan amalan ini akan membuatkan kita meninggalkan perkara-perkara yang melalaikan. Gunakan peluang ini untuk memperbanyakkan ‘lawatan’ ke masjid dan menunaikan ibadah di sana. Pasti rasa lebih tenang.

4. Banyakkan Bersedekah

Untuk pengetahuan Mama Papa, sedekah dalam bulan Ramadan bakal membuatkan Mama Papa memperoleh pahala berlipat kali ganda.

Dan dalam hadis telah menjelaskan bahawa pahala sedekah akan dilipatkan sebanyak 700 benih yang tumbuh daripada satu benih sahaja.

Terpulang kepada Mama Papa untuk bersedekah dalam bentuk wang atau makanan. Orang yang berpuasa ini sebolehnya memperbanyakkan amalan sedekah.

Terutamanya sedekah dalam bentuk makanan atau minuman untuk mereka berbuka puasa nanti.

Kredit gambar: Baitul Maal Hidayatullah

Kerana orang yang memberi makanan atau minuman kepada orang yang berpuasa ini akan mendapat pahala yang setimpal dengan pahala puasa orang yang disedekahi.   

“Siapa yang memberi makan (saat berbuka) untuk orang yang puasa, maka dia mendapat pahala seperti pahala orang yang diberi makannya itu tanpa dikurangi sedikitpun dari pahalanya. (Hadis Riwayat At-Tirmizy, An-Nasai, Ibnu Majah, Ibnu Hibban dan Ibnu Khuzaemah).

5. Memperbanyakkan Doa

Kredit gambar: Beatifulnara

Doa orang yang berpuasa ini adalah doa mustajab di sisi Allah kerana mereka yang berpuasa mempunyai kedudukan yang tinggi serta istimewa apabila mereka berpuasa kerana Allah.

Gunakan peluang ini untuk berdoa, memohon keampunan dari Allah SWT.

Tatkala Allah membuka seluas-luasnya pintu syurga dan menutup serapat-rapatnya pintu neraka serta dibukanya pintu kerahmatan, maka, pada waktu sebeginilah kita sama-sama memohon keampunan Allah dengan kita berdoa:

Wahai Tuhan yang Maha Pengampun dan Maha Mulia dan Engkau menyukai untuk memberikan keampunan, maka ampunilah daku Ya Allah.

Ambil keberkatan Ramadan dengan praktikan berdoa sekurang-kurangnya 10 minit sebelum masuk waktu berbuka bersama ahli keluarga. Doalah sebanyak mungkin dan minta apa sahaja dari Yang Maha Esa.

Ustaz Don Daniyal Don Biyajid pernah berkata bahawa diantara keuntungan bulan Ramadan ialah doa yang mustajab bagi orang yang berpuasa dan 10 minit sebelum berbuka waktu yang sesuai.

Ustaz Don Daniyal juga ada kongsikan doa untuk diamalkan bersama. Doa yang dikongsi ialah,

“Ashadu an la ilaha illallah, Astaghfirullah, As’alukal jannah, Wa a’uzu bika minan naar, Allahumma inna ka afuwwun tuhibbul afwa fa’fu anni.”

Daripada Abdullah bin ‘Amr RA berkata bahawa Nabi SAW bersabda:

“Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu ketika dia berbuka doa yang tidak akan ditolak”. (HR Ibn Majah)

6. Solat Sunat Tarawih

Solat sunat tarawih ini adalah solat sunat muakkad yang sangat dituntut untuk dikerjakan oleh umat islam pada setia malam.

Bulan Ramadan je ada solat tarawih tau! Kalau Mama masih belum berpeluang untuk menunaikan solat ini sejak awal Ramadn hari tu, jangan risau. Mulakan hari ini sehingga akhir Ramadan.

Solat tarawih ini oleh dilakukan sama ada berseorangan atau secara berjemaah. Banyak kelebihan yang kita akan peroleh melakukan solat terawih ini.

Solat terawih ini ada 8 rakaat, 20 rakaat dan 36 rakaat tidak termasuk solat witir sebanyak 3 rakaat selepas solat terawih selesai.

Tidak semestinya Mama Papa perlu pergi ke masjid untuk menunaikan solat terawih. Kalau di rumah sahaja pun masih boleh dilakukan. Malah, Mama Papa boleh mengajak anak-anak untuk solat sekali.

Ini secara tidak langsung dapat melatih anak-anak untuk ikut serta menunaikan solat terawih dan ibadah-ibadah lain.

Lafaz niat solat sunat terawih secara bersendirian:

Kredit gambar: Aku Islam

 Usolli Sunnatat-Tarawih Rak’ataini Lillahi Taala 

Maksudnya: Sahaja aku solat sunat terawih dua rakaat kerana Allah Taala.

Lafaz niat solat sunat terawih berjemaah:

Kredit gambar: Aku Islam

 Usolli Sunnatat-Tarawih Rak’ataini Makmuman Lillahi Taala 

Maksudnya: Sahaja aku solat sunat tarawih dua rakaat sebagai makmum kerana Allah Taala.

7. Melakukan Ibadah Solat Sunat – Dhuha dan Tahajud

Solat Dhuha

Kredit gambar: theAsianparent

Solat dhuha memiliki banyak keistimewaan seperti rezekinya sentiasa akan cukup, diberikan pahala seperti orang mengerjakan haji dan umrah dan dibangunkan rumah dalam syurga nanti.

Oleh sebab itu, sebagai umat Islam dianjurkan untuk mengerjakan solat dhuha secara rutin, lebih-lebih lagi pada bulan ramadan ini.

Papa jangan lupa untuk ajak anak-anak sekali untuk menunaikan solat dhuha dan doa bersama-sama.

Solat Sunat Tahajjud

Solat Tahajjud ialah solat malam yang dilaksanakan setelah bangun tidur. Afdalnya solat ini dibuat secara bersendirian waktu selepas tengah malam.

Sebelum Mama Papa bersahur bolehlah sama-sama melakukan solat sunat tahajjud. Solat sunat ini boleh juga dilakukan secara berjemaah. Tapi kalau Mama Papa mahu lebih khusyuk, boleh lakukan secara sendirian sahaja.

Kalau Mama atau Papa bukan jenis bangun awal pagi sebelum ni, gunakan kesempatan bangun sahur untuk menunaikan ibadah solat seperti solat sunat tahajjud ini sepanjang Ramadan.

8. Mengejar 10 Malam Terakhir dan Lailatul Qadar

Dalam bulan ramadan ini, ada malam yang istimewa dari 1,000 bulan iaitu malam Lailatul Qadar. Malam Lailatul Qadar ini akan muncul dalam 10 malam terakhir.

Tiada siapa yang tahu tarikh, hari, atau waktu spesifik munculnya malam Lailatul Qadar ini. Yang kita tahu, ia ada di antara 10 malam terakhir Ramadan.

Ganjaran pada malam itu ialah mendapat pahala yang lebih besar berbanding dengan malam-malam sebelumnya di bulan ramadan.

Sebab tu umat Islam disarankan untuk memperbanyakkan amal ibadah dan doa pada 10 malam terakhir di bulan Ramadan ini. Jangan terlalu sibuk sediakan hal raya sampai lupa untuk kejar Lailatul Qadar.

Daripada ‘Aisyah RA, beliau menyatakan bahawa apabila masuk sepuluh akhir Ramadhan, Baginda akan mengetatkan kain sarungnya, menghidupkan malamnya dan mengejutkan ahli keluarganya. (Sahih al-Bukhari)

Kredit gambar: Twitter

Amalan yang dilakukan sepanjang bulan ini bukan sahaja mendapatkan barakah tetapi meningkatkan ketakwaan dan iman untuk menjalani ibadah puasa.

Justeru, Mama Siti nasihatkan kita semua untuk ambil kesempatan ini dengan menggandakan segala bentuk amal kebaikan, lebih-lebih lagi ibadah yang dikhususkan pada bulan mulia ini.

Menjadi sesuatu yang amat merugikan kepada seseorang yang sempat berada dalam bulan ramadan tetapi tidak mendapat keampunan daripada Allah SWT.


Tingkatkan amal ibadah lain dengan panduan dan bacaan yang betul seperti dikongsikan DI SINI.